1 hari 1 hadis – Permudahkan jangan menyukarkan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Permudahkan dan Jangan Menyukarkan*
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا
_*Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: permudahlah dan jangan menyukarkan, berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari (menjauh).*_ (HR Bukhari No: 67) Status: Hadis Sahih
*Pengajaran:*
1.  Manusia cenderung kepada perkara yang mudah jika dilakukan serta mengembirakan ketika melaksanakan.
2.  Dalam kita mendidik, gunakanlah hikmah dan kebijaksanaan yang boleh menyebabkan orang lain gembira dan suka melakukannya.
3.  Lemah lembut dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran), agar dapat diterima dengan baik oleh orang lain.
4.  Gunakanlah metod yang pelbagai dan menarik serta bertahap dalam mengajarkan ilmu, kerana segala sesuatu yang dimulakan dengan yang mudah, ia akan dapat memikat hati dan menambah rasa cinta terhadap ilmu yang akan dipelajari.
5.  Janganlah kita menjadi penyebab orang lain jauh dari kebaikan yang ingin diajar.
Marilah kita permudahkan menyampaikan ilmu mengikut garis panduan syarak.
Elakkan sesuatu yang menyukarkan sehingga menjadi penyebab orang menjauhkan diri untuk beramal.
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
17hb Februari  2017

20hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis. Jadilah cermin mukmun yg lain

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Jadilah Cermin Mukmin Lain*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ يَكُفُّ عَلَيْهِ ضَيْعَتَهُ وَيَحُوطُهُ مِنْ وَرَائِهِ
_*Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda: “Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin yang lain, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin yang lain; ia membantu saudaranya ketika kehilangan (ikut menanggung kesusahannya) serta menjaganya (membelanya) dari belakang.”*_ (HR Abu Daud No: 4272) Status: Hadis Hasan
*Pengajaran:*
1.  Seorang Mukmin apabila melihat akhlak mulia pada diri saudara mukminnya, maka dia akan mencontohinya. Jika dia melihat berbagai sifat tercela dalam diri saudaranya, dia mengetahui bahwa dirinya memiliki keburukan yang sama, maka dia segera berusaha membersihkan dan menyingkirkan sifat-sifat tercela itu dari dirinya.
2.  Seorang Mukmin apabila melihat sifat tercela pada diri saudara mukminnya, dia akan segera menasihatkan saudaranya itu untuk menghilangkannya. Dia menjadi cermin bagi saudara Mukminnya. Dengan nasihat yang diberi diharap dia sendiri dapat melihat aibnya, seperti cermin yang menampakkan keburukan wajah seseorang.
3.  Seorang Mukmin akan memandang Mukmin yang lain sesuai dengan keadaan hatinya. Jika hatinya baik, suci, jujur dan bersih dari sifat tercela, maka dalam pandangannya semua Mukmin yang lain juga baik. Dia berprasangka baik kepada seluruh Mukmin dan sama sekali tidak akan berfikiran buruk terhadap orang lain.
4.   Seorang mukmin akan saling bertolong bantu sesama mukmin jika berada di dalam kesusahan dan membela mukmin yang lain jika mereka dianiaya atau dizalimi.
Marilah kita jadi cermin kepada saudara Mukmin kita yang lain.
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
15hb Februari  2017

18hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis. Menyayangi binatang

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Menyayangi Binatang Mendapat Keampunan dan Pahala* 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنْ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ مِنِّي فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلَأَ خُفَّهُ مَاءً ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي هَذِهِ الْبَهَائِمِ لَأَجْرًا فَقَالَ فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
_*Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Pada suatu ketika ada seorang laki-laki sedang berjalan melalui sebuah jalan, lalu dia merasa sangat kehausan. Kebetulan dia menemui sebuah perigi, lalu dia turun kedalam perigi itu untuk minum. Setelah keluar dari perigi, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya; Alangkah hausnya anjing itu, seperti yang aku alami. Lalu dia turun kembali ke dalam perigi, kemudian dia menceduk air dengan kasutnya, dibawanya ke atas dan diberikan kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (diterima-Nya amalnya) dan diampuni-Nya dosanya.’ Para sahabat bertanya; ‘Ya, Rasulullah! Dapat pahalakah kami apabila menyayangi haiwan ini? ‘ Jawab Rasulullah SAW: ‘Menyayangi setiap makhluk hidup adalah berpahala.’*_ (HR Muslim No: 4162) Status: Sahih
*Pengajaran:*
1.  Berbuat baik kepada sesama makhluk adalah dituntut sama ada kepada  manusia mahupun binatang.
2.  Memberi makan atau minum kepada binatang juga merupakan amal solleh yang mendapat ganjaran pahala.
3.  Mukmin yang memberi minum kepada binatang yang kehausan, akan diampunkan dosanya oleh Allah. 
Marilah kita berbuat baik dengan saling bantu membantu ke arah mewujudkan  kehidupan yang dirahmati tanpa mengira bangsa, agama mahupun makhluk lain.
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
14hb Februari  2017

17hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis -bersyukur kepada Allah

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Berterima Kasih Pada Manusia Bersyukur Kepada Allah*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ لَا يَشْكُرُ اللَّهَ
_*Dari Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang tidak pandai bersyukur (berterima kasih) kepada manusia, bererti ia belum bersyukur kepada Allah.”*_ (HR Tirmizi No: 1877) Status hadis : Hasan Sahih.
*Pengajaran:*
1.  Satu daripada sifat terpuji ialah mengucapkan terima kasih di atas pemberian serta pertolongan orang lain terhadap kita …Jazakallahu khairan.
2.  Orang yang kebiasaannya tidak berterima kasih terhadap kebaikan orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka niscaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah  dan tidak bersyukur kepada-Nya.
3.  Allah tidak menerima syukurnya seorang hamba atas kebaikan Allah kepadanya jika seorang hamba tidak berterima kasih kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka. (Sunan Abu Daud dengan Syarah Al Khaththaby, 5/ 157-158).
Ucaplah terima kasih … *jazakallahu khairan* (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan) di atas kebaikan dan pertolongan orang lain kepada kita. Moga kita menjadi orang yang bersyukur.
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
13hb Februari  2017

16hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis – Tanda kebahagiaan muslim

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Tanda Kebahagiaan Muslim*
وعن نافع بن الحارث رضي اللّه عنه قال: قال رسول الله  صلى الله عليه وسلم : “مِن سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمُسْلِم: المَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ”.
_*Dari Nafi bin Abdul Harith bahawa Rasulullah SAW bersabda: Diantara kebahagiaan seorang Muslim adalah memiliki tempat tinggal yang luas, tetangga yang baik, kenderaan yang menyenangkan*_ (HR Musdad No: 2420) Status: Sahih dalam Silsilah Ahadits Ash-Shahihah (282)
*Pengajaran:*
Setiap orang ingin kehidupan yang bahagia dan sejahtera. Antara tanda kebahagiaan Muslim apabila ia memiliki:
1.  Tempat tinggal yang di dalamnya hati menjadi tenang dan lapang (rumahku syurgaku)
2.  Jiran yang baik, sentiasa mengingatkan dengan takwa,  tidak menyakitkan malah sentiasa bermanfaat kepada jiran yang lain.
3.  Kenderaan yang menyenangkan serta mensejahterakan (tidak membeban dan menyusahkan tuannya)
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
07hb Februari  2017

10hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis – Jadilah sahabat dan jiran yg paling baik

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik*
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ الْأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ وَخَيْرُ الْجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ
_*Dari Abdullah bin Amr ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap temannya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap jirannya.”*_ (HR Tirmizi No: 1867) Status: Hasan
*Pengajaran:*
1.  Setiap orang mengharapkan kehidupan yang baik dan sejahtera.
2.  Antara kesejahteraan seseorang apabila memiliki sahabat dan jiran yang baik.
3.  Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap temannya
4.  Sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap tetangganya
Jadilah sahabat dan jiran yang paling baik.
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
06hb Februari  2017

09hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis – janganlah meremehkan pemberian jiran

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Saling Memberi Walaupun Kaki Kambing*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَا نِسَاءَ الْمُسْلِمَاتِ لَا تَحْقِرَنَّ جَارَةٌ لِجَارَتِهَا وَلَوْ فِرْسِنَ شَاةٍ
_*Dari Abu Hurairah dia berkata; Nabi SAW bersabda: “Wahai para wanita muslimah, janganlah antara tetangga yang satu dengan yang lainnya saling meremehkan pemberian walaupun hanya dengan memberi kaki kambing.”*_ (HR Bukhari No: 5558) Status: Sahih
*Pengajaran:*
1.  Saling memberi hadiah di antara jiran tetangga adalah amalan mulia
2.  Memberi hadiah dan berkongsi nikmat akan mengukuhkan hubungan persaudaraan
3.  Jangan pandang remeh dengan setiap pemberian walaupun kecil seperti kaki kambing
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
05hb Februari  2017

08hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis. Mukmin tidak akan membiarkan jiran kelaparan.

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Mukmin Tidak Membiarkan Jiran Kelaparan*
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ , عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ.
_*Dari Ibnu Abas dari Nabi SAW: Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan*_ (HR at Tabrani No:  12579) Status: Sahih 
*Pengajaran:*
1.  Antara bukti keimanan seseorang adalah memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan tetangga.
2.  Tidak beriman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan ada jiran tetangga yang kelaparan.
3.  Jadilah kita orang yang sentiasa berusaha menyantuni dan berbuat baik pada jiran
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
03hb Februari  2017

06hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis – mengutamakan jiran terdekat dalam berhadiah

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Mengutamakan Jiran Terdekat Dalam Berhadiah*
أَبُو عِمْرَانَ قَالَ سَمِعْتُ طَلْحَةَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي جَارَيْنِ فَإِلَى أَيِّهِمَا أُهْدِي قَالَ إِلَى أَقْرَبِهِمَا مِنْكِ بَابًا
_*Abu ‘Imran berkata; Aku mendengar Tolhah bin ‘Abdullah dari ‘Aisyah radliallahu ‘anha ‘ Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, aku punya dua tetangga, kepada siapa dari keduanya yang paling berhak untuk aku beri hadiah?” Beliau bersabda: “Kepada yang paling dekat pintu rumahnya darimu”*_.(HR Bukhari No: 2099) Status: Sahih
*Pengajaran:*
1.  Berbuat baik dengan jiran melalui pemberian dan saling berhadiah contohnya dalam bentuk makanan dan buahan.
2.  Saling berhadiah akan mengikat ukhuwah dan kasih sayang 
3.  Berilah hadiah pada jiran yang paling berhak iaitu yang paling hampir dengan rumah kita
Jika kita memiliki limpahan rezeki, jangan lupa menghadiahkan sedikit kepada jiran tetangga. Moga sifat rahmah yang ada pada kita akan menjadikan kehidupan bermasyarakat lebih harmoni.
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
01hb Februari  2017

04hb Jamadil Awal 1438H

1 hari 1 hadis-Perlakuan baik kepada jiran dan tetamu

​PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Iman Menuntut Perlakuan Baik Pada Jiran dan Tetamu*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
_*Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, janganlah ia mengganggu tetangganya, barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaknya ia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaknya ia berkata yang baik atau diam.”*_ (HR Bukhari No: 5559) Status: Sahih
*Pengajaran:*
Orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat berkewajipan menunaikan tanggungjawab sebagai bukti keimanannya antaranya:
a.  Berlaku baik kepada jiran tetangga dan tidak menyusahkan mereka.
b.  Memuliakan tetamu
c.  Bertutur sesuatu yang baik (termasuk menulis) atau diam (tidak bercakap atau menulis sesuatu yang tidak baik).
Moga kita menjadi orang beriman yang sentiasa menunaikan tanggungjawab berbuat baik kepada jiran tetangga dan memuliakan tetamu disamping bercakap perkara yang baik dan mendatangkan manfaat.
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
31hb Januari  2017

03hb Jamadil Awal 1438H