Archives for August 2018

Hidup Kita Ini Bukan Seperti Binatang

Hidup Kita Ini Bukan Seperti Binatang

Sumber : https://akuislam.com/blog/guest/hidup-bukan-seperti-binatang/

Penciptaan kita sebagai manusia adalah sangat mengagumkan sama ada jalan disebalik penciptaan Adam itu sendiri dan bagaimana manusia itu dibentuk dalam rahim seorang wanita.

Penciptaan Adam merupakan penciptaan paling kontrovesi diantara semua makhluk ciptaan Allah swt hinggakan Allah swt merakamnya di dalam Al-quran.

Daripada proses penciptaan seterusnya kepada penyempurnaan, kemasukan roh disertai oleh bantahan para malaikat dan penolakan iblis dan akhirnya untuk memuliakan Adam maka Allah swt campakkan ilmu pengetahuan kepadanya.

Setiap tangga penciptaan manusia itu terdapat kisah yang panjang supaya kita mengetahui bahawasanya kita adalah makhluk yang mempunyai tanggungjawab yang besar perlu dilunaskan.

Atas bebanan itulah menjadikan kita mempunyai kelebihan berbanding makhluk-makhluk lain.

Firman Allah swt:

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.

Al Isra’ ayat 70

Kita ini manusia, makhluk yang paling mulia.

Jangan kita merendahkan darjat itu sehinggakan kita dipandang hina.

Kita bulanlah makhluk yang hidup hanya patuh kehendak diri, berfikir untuk mengeyangkan perut sendiri, dan memenuhi syawat kendiri.

Jika itu aturan kehidupan yang kita pilih, maka kita tiada beza dengan binatang. Tiada beza!

Jadi timbullah persoalan, apa yang membezakan kita makhluk yang mendakwa dirinya mulia dengan binatang?

 

Akal Untuk Manusia

Akal yang membezakan kita dengan binatang. Dengan akallah menjadikan hidup kita bertujuan dan dengan akallah kita tahu apa yang perlu kita lakukan.

Sebab itu ada pepatah melayu menyatakan “mengikat binatang dengan tali, mengikat manusia dengan akal”.

Dapatlah kita simpulkan bahawasanya akal itu membimbing kita menjadi makhluk bernama yang selayaknya dipanggil manusia.

Dalam ilmu sains, ahlinya menyatakan kita ini binatang juga.

Tetapi yang membezakan kita dengan binatang hanyalah akal sahaja.

Yang tahu membezakan antara yang baik dan yang buruk.

Yang menjadikan kita apabila bertemu yang haram, maka haramlah katanya dan apabila bertemu yang halal, maka halal disisinya.

Dalam buku falsafah hidup karangan Buya Hamka, beliau menyatakan:

Manusia itu sejenis haiwan juga, tetapi Tuhan memberikannya kelebihan dengan akal. Kepada akal itulah bersandar segala perkara wajib dia lakukan atau wajib dia tinggalkan.

Adapun haiwan jenis lain, yang dirasainya hanyalah semata-mata kelazatan perasaan kasar.

Dikejarnya kelazatan itu dengan tidak menimbang dan memikirkan lebih dahulu.

Sedang bagi manusia, akal itulah yang menjadi penjaganya dan yang menguasainya…”

 

Benarlah kata Dr. M. Amir seorang ahli ilmu yang mana beliau menyatakan dalam ceramahnya:

Bahawasanya perasaan (syahwat dan kemarahan, atau hawa nafsu) adalah laksana kuda yang berlari. Dan akal laksana kusir (yang mengawal tali kuda) yang memegang kekangnya”

Akal telah menjadikan manusia sentiasa berfikir untuk memajukan diri, mengeluarkan diri mereka daripada gelap kepada terang, merungkaikan segala pemasalahan yang timbul.

Lihatlah monyet yang mana cara hidupnya dari dulu, kini dan selamanya tetap akan sama tetapi tidak bagi manusia.

Satu alaf atau millennium dahulu manusia pergi menunaikan haji hanya berjalan kaki, meredah segala kepayaan untuk memehuni kehendak diri, berbulan untuk sampai, bahkan bertahun sehingga mati di perjalanan.

Tetapi kini jaraknya hanya sehari dari serata dunia lantaran manusia menggunakan akalnya maka terciptalah kapal terbang yang mana diperbuat dari besi keras tetapi boleh terbang di awan.

 

Hanya Orang Berakal Itu Agama

Agama dan akal tidak dapat dipisahkan.

Barangsiapa yang mengunakan akal tanpa agama itulah orang yang tiada akal!

Dan barangsiapa yang mengunakan agama tanpa akal, sesungguhnya dia lagi buruk daripada orang durjana.

Kerana orang durjana kita tahu kedurjanaannya tetapi tidak orang yang memakai pakaian agama tapi dia yang membunuh agama.

Sebab itu penggunaan akal amatlah penting bagi seorang manusia dalam setiap perkara agar yang akan mengiriginya itu suatu yang mulia.

Kata Rawi, “pernahlah Jibril datang kepada Nabi Adam, lalu disuruh pilih antara tiga perkara! Lalu Adam bertanya, “manakah yang tiga itu?”

Jibril menjawab: “pertama akal, kedua malu, ketiga agama.” Lalu Nabi Adam memilih akal.

Maka berkatalah Jibril kepada malu dan agama “Pulanglah engkau keduanya, kerana akal telah dipilih.”

Keduanya menjawab, “disuruh pulang atau tidak, kalau akal telah dipilihnya tidaklah dapat kami berdua meninggalkannya, sebab kami berdua ini adalah pengiring akal.”.

 

Diriwayatkan oleh Jabir pada sisi al-Baihaqi, Rasulullah saw bersabda:

Agama manusia ialah akalnya, dan siapa yang tiada berakal, tiada agama baginya”

Tiadalah dipanggil orang yang berakal jika dia tiada agama.

Tiadalah dia dipanggil manusia jika dia tidak berakal.

Maka dengan itu kita simpulkan juga bukanlah dia layak dipanggil manusia jika dia tiada agama.

Jadi dia dari keturunan apa?.

 

Wujudkan Sifat Ingin Membaiki diri

Manusia sifatnya sentiasa belajar daripada apa yang berlaku padanya.

Menjadikan setiap detik ada nilainya dan cuba membaiki kekurangannya.

Kata orang hikmah: “Manusia tiada yang sempurna tetapi orang yang ingin membaiki dirinya maka dia itulah manusia yang sempurna”.

Malang bagi kita tidak mengambil pengajaran dalam hidup bahkan lebih malang lagi bilamana cara kita berfikir sama dari remaja hingga ke tua kerana kita malas untuk berfikir untuk menjadi manusia sempurna.

Jika kita perhatikan, pelajaran yang terbaik adalah apa yang tersedia di sekeliling kita dan bagaimana kita menggunakannya itu yang penting.

Jadilah manusia yang bijak kerana sesungguhnya hanya jauhari yang mengenal manikam!

Kata ahli hukama:

Penderitaan menyebabkan putih rambutnya yang hitam, pengalaman menjernihkan fikiran, segala yang dilihat dan didengar memupuk jiwanya, kerana percubaannya, kenallah dia akan awal dan akhir, sebab dan akibat. Orang inilah yang patut disebut berakal”

 

Kemahuan

Kemahuan adalah kehendak kita, cita-cita kita, dan apa yang kita impikan.

Dengan segala kurniaan yang diberikan kepada kita, dengan segala kelebihan yang kita ada.

Gunakanlah kurniaan itu untuk menjadikan kita makhluk yang bermaruah.

Beza kita dengan binatang kerana kemahuannya, kerana kemahuanlah yang membuatkan kita mulia.

Kata buya Hamka:

Orang yang kurang akal dinamai bodoh. Orang yang tidak ada rasa kasih dinamai kejam, tetapi orang yang tidak mempunyai kemahuan, tidak patut diberi nama manusia lagi!”

Allah swt tidak menyatakan kita ini bodoh tetapi dalam banyak ayat dalam al-quran menyatakan kita ini lalai dalam memperjuangkan hakikat penciptaan kita di dunia ini.

Walhal kita tahu yang mana yang benar dan yang mana yang salah.

Jika kita lalai dalam hal itu, maka samalah kita seperti binatang yang berfikir hanya untuk mencari makanan, memuaskan nafsu dan hidupnya tiada tujuan.

Firman Allah dalam ayatNya:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai….”

Surah al-a’raf ayat 179

 

Nama Yang Sentiasa Hidup

Kehidupan kita ada penamatnya.

Cepat atau lambat ia pasti tiba.

Manusia dalam hidupnya ada perkara yang perlu diperjuangan.

Jika tidak dalam bab agama kita berjuang dalam bab kemanusiaan, itu juga tuntutan agama sebenarnya.

Hidup ini ibarat seorang pejuang yang meredah lautan yang luas dengan menempuh segala keperitan dan kesusahan demi membawa kemenangan.

Walaupun dia mati dalam medan pertempuran dan jasad tengelam di lautan tetapi namanya hidup menjadi sebutan orang di daratan!

Begitulah hendaknya kita, dan itulah dia manusia.

Allah swt berfirman:

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;”

al-imran ayat-169

Kitaran kehidupan kita bukannya hidup dan makan sahaja sepertimana binatang melata.

Tetapi hidup kita berjuang dengan iman, tawakal dengan amalan dan bersangka baik dengan Tuhan pencipta alam.

REZEKI TIDAK PERNAH SALAH ALAMAT

Takwa dan rezeki punya hubungan yang unik dan istimewa. Rezeki pula punya diversiti dan datang dalam kepelbagaian bentuk serta rupa. Rezeki akan pasti datang sebagaimana mati juga pasti datang. Usahlah kecewa jika bentuknya bukan harta.Kesempatan hidup, masa dan kesihatan juga rezeki daripada-Nya. Luaskanlah sudut pandang agar jiwa tenang dan lapang. Jangan berduka jika kehilangan meskipun rezeki sudah berada di dalam tangan. Ada kalanya ujian diberikan dalam diri yang penuh kealpaan. Bersabarlah jika kita hilang sesuatu kerana Allah, namun jangan sesekali ‘hilang’ Allah kerana sesuatu.

TIP SUMBER REZEKI MENURUT WAHYU

Takwa

“Sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa pasti akan Kami limpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi. Namun mereka mendustakan (ayat-ayat kami) maka kami seksa mereka kerana perbuatan itu,” (al-Aaraf: 96)

Taubat

“Hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Jika kamu sedemikian, nescaya akan dikurniakan kepadamu kenikmatan yang baik dan terus-menerus sehinggalah ke suatu waktu ditetapkan. Dia juga akan memberikan kepada setiap yang mempunyai keutamaan akan habuannya masing-masing,” (Hud: 3)

Istighfar

“Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya, Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta dan anak-pinakmu, menyuburkan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai,” (Nuh: 10-12)

Istiqamah

“Bahawasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak). Semuanya adalah untuk Kami beri ujian kepada mereka padanya (rezeki),” (al-Jin: 16-17)

Beramal dengan al-Quran

“Sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan bawah kaki mereka,” (al-Maidah: 66)