stem-johor stem-malaysia

Angka dan statistik yang ada sememangnya mencemaskan.

Antaranya dalam unjuran terbaru pengambilan mahasiswa di Universiti Awam UA, sebanyak lebih 5 ribu kekosongan berlaku melibatkan pengkhususan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kerana tiada permohonan berkelayakan.

Ini belum termasuk saringan pemilihan kualiti yang dilakukan di peringkat UA bagi pelajar yang layak memohon.

Sememangnya kebimbangan tersebut adalah berasas apabila merujuk kepada Laporan Science Outlook Akademi Sains Malaysia berkenaan aliran populasi pelajar sekolah pengkhususan sains yang semakin menurun.

Hal ini bakal mengundang cabaran yang kritikal bagi negara untuk menyediakan sumber dan bakat yang berpengetahuan serta berkepakaran dalam bidang STEM. Perlu diakui kemajuan ekonomi negara yang dicapai pada masa ini adalah ditujahkan oleh bidang sains, teknologi dan inovasi yang berasaskan hasil komoditi seperti kelapa sawit, getah serta industri minyak dan gas.

Untuk terus melonjakkan daya saing negara terutamanya di peringkat global, inovasi dan teknologi baru perlu terus di terokai. Di sinilah pentingnya negara kita mempunyai kepakaran dan kemahiran yang berteraskan bidang STEM.

Proses pendidikan akan tetap menjadi titik fokus di mana rantaian bakat STEM harus di susur bermula di peringkat sekolah.

Justeru, persepektif yang wujud terhadap aliran pengkhususan sains perlu dimurnikan. Sains seharusnya menjadi matapelajaran yang menyeronokkan selain bermanfaat, dirasai kepentingannya dan mampu menarik minat pelajar. Tentunya inisiatif ini memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan. Dalam hal ini, peranan golongan pendidik STEM perlu di berikan perhatian utama.

Di sinilah UTM selaku UA utama negara terus berperanan dalam mengupayakan sumber dan kelebihan yang ada bagi menjayakan agenda dan aspirasi STEM negara.

Kolokium Pendidik STEM yang dianjurkan ini telah menyediakan platform untuk meneliti senario semasa yang berlaku di kalangan pendidik terutamanya di peringkat sekolah dan menyediakan cadangan serta pelan tindakan yang seterusnya. Pemindahan ilmu dan sumbangan idea dalam kolokium ini di harapkan dapat mencapai objektif nya untuk terus memperkasa pengetahuan, kemahiran dan kompetensi pendidik STEM yang akan dapat memperkukuhkan pendidikan STEM negara.

stem-johor-utm