Adab Melawat Orang Yang Sakit
Hadis Rasulullah saw bersabda mafhumnya : “Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu.”
Hukum melawat orang sakit
Adalah fardhu kifayah melawat orang yang sakit menurut jumhur pendapat ulamak. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra mafhumnya : “Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia bersin”. (Hadith Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Adab Menziarahi Pesakit
Lawatan ke tempat orang sakit hendaklah tidak makan masa yang lama.
Sunat duduk berhampiran dengan kepalanya.
Berdoalah untuk pesakit agar dia sembuh.
Di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah : Bahawa Rasulullah saw biasa memohon perlindungan bagi sebahagian keluarga baginda. Disapukan dengan tangan kanannya lalu berkata : “Ya Allah wahai tuhan bagi sekelian manusia, lenyapkanlah penderitaan dan sembuhkanlah, kerana engkau yang dapat menyembuhkan. Tidak ada penyembuh kecuali penyembuhmu. Yakni penyembuh yang tidak meninggalkan penyakit lagi”.
Berilah kata-kata semangat kepada orang yang sakit dan gembirakan dia.
Menziarahi di waktu-waktu yang sesuai serta mengelakkan daripada waktu-waktu senja, makan dan lewat malam.