AMAR MA’RUF NAHI MUNKAR
ini hendaklah dilakukan dengan hikmah sebagaimana firman Allah SWT, maksudnya:
“ Serulah kepada jalan Tuhan kamu dengan hikmah dan nasihat yang baik.”
( surah an-Nahl: 125 )
Hikmah ini berbeza-beza mengikut keadaan orang yang disuruh dan yang dicegah, apa yang disuruh dan apa yang dicegah dan apa yang menjadi lebih bermanfa’at dan menyampaikan kepada maksudnya dalam memberi peringatan tersebut.
Adakalanya kita perlu menggunakan kelembutan dalam kata-kata, berbunga-bunga dan kata-kata memujuk. Pada situasi yang berlainan kelembutan itu tidak sesuai, maka kekerasan dan kekasaran dipergunakan. Allah SWT telah berfirman, ketika berfirman kepada Musa a.s dan Harun a.s, maksudnya:
“ Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampau batas. Maka katakanlah ( serulah ) ia dengan perkataan yang lembut, moga-moga ia ingat atau takut.”
( Surah Thaha: 43-44 )
Allah SWT berfirman, maksudnya:
“ Wahai Nabi, berjihadlah ( melawan ) orang-orang kafir dan orang-orang munafiq itu dan bersikap keraslah terhadap mereka….”
( Surah at-Taubah: 73 )
Dan Allah SWT berfirman lagi, maksudnya:
“ Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan ( kepadamu )….”
( Surah al-Hijr: 94 )
Oleh yang demikian, orang yang ingin melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar hendaklah mempunyai beberapa sifat, antara yang terpenting adalah; lemah lembut, kehalusan, ilmu dan bijaksana.
Imam Sufyan As-Tsauri Rahimahullah berkata tidak boleh melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar melainkan oleh seseorang yang mempunyai tiga ciri, iaitu:
1. Berhalus dalam ajakan dan cegahan
2. ‘Adil dengan apa yang diajak dan ‘Adil dengan apa yang dicegah.
3. Mempunyai ilmu mengenai apa yang diajak dan yang dicegah.
Maksud ‘Adil apa yang diajak ialah hendaklah seseorang itu beramal dahulu dengan apa yang diajak dan menjauhi apa yang dicegahnya, Imam Ahmad Rahimahullah berkata:
“ Manusia berhajat kepada kehalusan serta keramahan dan amar ma’ruf tanpa kekasaran kecuali seorang lelaki yang benar-benar memperlihatkan kefasiqannya, maka tiada kehormatan untuknya.”
Justeru itu boleh menggunakan kekasaran terhadap lelaki seumpama itu.
Imam Ahmad juga berkata:
“ Hendaklah mengajak kepada kebaikan dengan halus serta ramah dan rendah diri. Jika mereka mendengarkan sesuatu yang tidak disukai, maka janganlah melenting dan marah, jadilah beliau seorang yang ingin menolong dirinya sendiri.”
Maksudnya: seolah-olah mengajak dirinya sendiri kepada kebaikan itu walaupun orang yang diajak itu tidak menerimanya. Sahabat-sahabat Ibnu Mas’ud (r.a) apabila mereka melewati satu kaum yang melakukan sesuatu yang mereka tidak sukai, mereka akan berkata: “ Perlahan-lahan, Allah merahmati kamu, perlahan-lahan Allah merahmati kamu.”
Al-Wafi Syarah Hadis 40 Imam an-Nawawi