Keutamaan Sedekah Jariah
Sedekah jariah termasuk antara amalan yang menduduki tangga teratas dan paling utama dalam Islam. Banyak ayat al Qur’an dan hadith menjelaskan akan keutamaannya. Justeru kita melihat Nabi dan para sahabat menghabiskan banyak hartanya untuk sedekah.
Dalam satu hadith Umar al Khattab berkata,
“Disebutkan kepadaku bahawa amal-amal soleh saling membanggakan diri, maka sedekah berkata: “Aku yang paling utama.” (Sahih Targhib wa Tarhib)
Maka dengan itu Nabi Sallallahu Alalhi wa Sallam termasuk orang yang paling pemurah dan semua hartanya diinfakkan. Dan baginda juga sering berkempen dan mengingatkan para sahabat dan umatnya untuk melakukan ibadah sedekah jariah.
Nabi mengingatkan Aisyah untuk Sedekah
“Wahai Aisyah, berlindunglah dari api neraka walaupun hanya dengan (sedekah) separuh biji kurma, kerana ia menutupi hajat bagi orang yang lapar, sebagaimana menutupi hajat orang yang kenyang.” (riwayat Ahmad dipetik dari Sahih Targhib wa Tarhib)
Aisyah binti Abu Bakar termasuk wanita yang sangat pemurah pada zamannya. Dari Abdullah ibnu Az-Zubair berkata,
“Saya tidak melihat dua orang wanita yang lebih mulia dari pada Aisyah dan Asma’ Kemuliaan keduanya berbeda. Adapun Aisyah, beliau mengumpulkan sesuatu sedikit demi sedikit, sehingga apabila telah terkumpul, maka kemudian dia membagikannya. Adapun Asma’, maka dia tidak pernah menyimpan sesuatu untuk hari esok.” (Sahih Adabul Mufrad Imam al Bukhari)
Nabi Menyeru Para Sahabat Untuk Sedekah
Daripada Jarir bin ‘Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka. Mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda. (Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda. (Melihat yang sedemikian) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun. (riwayat Muslim)
Isteri Talhah bin Ubaidillah Mengingatkan Suaminya Sedekah
Demikian juga isteri para sahabat dan orang-orang yang soleh sering mengingatkan suami mereka agar bersedekah. Satu darinya ialah Su’da isteri kepada Talhah bin Ubaidillah. Diriwayatkan oleh Su’da,
“Suatu hari aku datang kepada Talhah dan melihat wajahnya sugul. Aku bertany,” Mengapa kamu sedemikian? Barangkali ada sesuatu dari kami yang meragukanmu, sehingga kami merubahnya agar kamu redha. Dia menjawab, “Tidak. Kamu adalah sebaik-baik isteri seorang Muslim. Sebaliknya ialah hartaku banyak, dan aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan pada harta itu. Kata isterinya, “Apa yang menggusarkanmu. Panggil sahaja kaummu, bahagikan harta itu kepada mereka.” Talhah berkata, “Pelayan! Panggil kaumku.” Lalu aku bertanya kepada pelayan, “Berapa banyak harta yang diberikan?” Jawab pelayan, “Empat ratus ribu.” (riwayat Tabrani dipetik dari Sahih Targhib wa Tarhib)
Demikian beberapa kelebihan dan keutamaan mengajak orang untuk bersedekah. Namun harus diberi catatan menyeru orang untuk sedekah itu bukanlah untuk kegunaan peribadi dan diri sendiri. Ia suatu yang berbeza. Perbuatan itu termasuk dalam meminta-minta, yang akan dijelaskan kemudian. Ringkasnya perbuatan meminta-minta itu haram dan dilarang dalam ajaran Islam.
Ajaran Islam memerintahkan penganutnya untuk bekerja dan mencari rezeki sendiri tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain. Sedekah ialah sesuatu yang diberi secara rela dan tanpa diminta.
Keutamaan Sedekah Jariah
Posted on December 7, 2015 ·