Ucapkan Ketika Ditimpa Apa Saja Musibah

Ucapan ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ iaitu merujuk kembali apa jua musibah yang berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah SWT. Dari Ummu Salamah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorang pun di antara orang-orang muslim yang ditimpa musibah, lalu dibacanya apa yang diperintahkan Allah: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Allahumma ajurni fi musibati, wakhluf li khairan minha.” (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah SAW.” (Hadis sahih riwayat Muslim)

Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Maksud surah al-Baqarah, ayat 156)

Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah SAW menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.