KEPENTINGAN MENJAGA HATI
Pendahuluan
Secara umumnya, Allah SWT menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian, dengan menganugerahkan sesuatu yang disebut Qalbun dalam bahasa Aran yang bermaksud jantung. Namun dalam konteks membincangkan psikologi manusia, ia lebih cenderung dan menjadi kebiasaan disebut sebagai hati. Peranan hati adalah sangat penting dalam menentukan nilai sesuatu amalan serta kedudukan manusia di sisi Allah SWT. Justeru amat penting bagi setiap Muslim untuk menjaga hati nya sebaik mungkin dan memastikan hatinya tidak dijangkiti penyakit-penyakit hati.
Perubahan Hati Manusia dan Tanda-tandanya
Hati manusia yang pada asalnya suci bersih boleh berubah menjadi lebih baik atau sebaliknya. Antara puncanya termasuklah pengaruh persekitaran, keluarga, pergaulan dan pengaruh-pengaruh luar selari dengan zaman sains dan teknologi.
Antara perubahan hati manusia ialah hati yang terhijab, hati yang berpenyakit, hati yang keras dan hati yang mati. Hati yang keras misalnya mempunyai tanda atau cirinya yang tersendirinya. Antara tanda-tanda tersebut ialah:
1. Berlebihan Mencintai Dunia dan Melupakan Akhirat
Hala tuju manusia difokuskan kepada urusan dunia semata-mata. Dengan itu, segala usaha yang dilakukan diukur dari neraca keperluan dunia semata-mata. Sedangkan dunia hanyalah jambatan ke akhirat. Frman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanya ibarat hiburan dan permainan. Sesungguhnya negeri akhirat ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Surah Al-Ankabut : 64)
Sehubungan itu, Baginda SAW memuji sesiapa yang sentiasa mengingati mati dalam melayari hidupnya sehingga dianggap Rasulullah SAW sebagai orang paling bijaksana di kalangan orang Mukmin. Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta beramal sebagai persedian untuk mengadap Allah SWT selepas mati. Sedangkan orang yang kurang waras ialah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah SWT .” (Riwayat al-Tirmizi).
2. Malas Melakukan Ketaatan dan Amal Kebajikan
Dalam hal ini, tanda hati seseorang menjadi keras ialah malas untuk melaksanakan ibadah termasuk memandang remeh terhadap segala urusan ibadah dan kebajikan. Sebagai contohnya tidak serius dalam melaksanakan solat, tidak gemar menghadiri majlis-majlis ilmu, enggan berzakat serta bersedekah dan sebagainya. Allah telah menyifatkan kaum munafiqin dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan” (Surah al-Taubah: ayat 54)
3. Tidak Terkesan dengan Ayat-ayat Al-Quran
Apabila disampaikan ayat-ayat al-Quran berkaitan janji dan ancaman Allah S.W.T. bagi orang yang ingkar dengan perintah Allah dan laranganNya, orang yang hatinya keras dan mati tidak merasa apa-apa melainkan hanyalah sekadar ucapan biasa. Yang pastinya, ia tidak gerun dan terkesan serta tidak mahu tunduk bahkan lalai daripada membaca, meneliti, memahami dan menghayati al-Quran. Justeru segala tindak tanduk dan perlakuannya pastinya tidak selari dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran yang mulia. Allah telah member peringatan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Maka member peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancamanKu”. (Surah al-Qaf: ayat 45)
Selain itu, ia juga tidak terpengaruh dengan fenomena yang member pengajaran seperti sakit, bencana, kematian dan seumpamanya. Pada mereka, hal ini merupakan satu pelkara biasa yang dilalui oleh ramai orang. Ada juga yang tersentuh hati dengan ujian yang berlaku tetapi hanya sementara sahaja. Jelasnya mereka tidak mengambil iktibar dari ujian yang merupakan peringatan dari Allah S.W.T.
4. Tidak Peduli dan Tidak Prihatin Dengan Segala Kemaksiatan Dan Dosa
Dalam keadaan ini, kekuatan iman menjadi lemah dan mulai akur kepada ajakan syaitan dan pengaruh hawa nafsu. Justeru mereka tidak marah jika perintah Allah diperlecehkan, diam membisu bila kemungkaran berleluasa walau di depan mata, tidak melakukan yang makruf dan mencegah segala kemaksiatan dan dosa yang berlaku disekelilingnya.