KONSEP JIHAD MENURUT ISLAM
Dalam kamus Islam, Jihad secara umumnya bermaksud perang pada jalan Allah. Jihad berasal dari kata kerja ‘jahada’ yang bererti gigih berusaha dengan sepenuh jiwa raga sehingga mencapai matlamat jaya di jalan Allah (fi sabilillah). Allah memerintahkan Muslim mengerjakan amar maaruf nahi munkar (mengamalkan serta menyuruh kepada kebaikan dan menjauhi serta mencegah kekejian). Untuk melaksanakan tugas ini dengan bersungguh-sungguh, maka Islam menampilkan konsep ‘jihad’ bersesuaian dengan firman Allah dalam Surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud “ Dan Berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.”
Pengertian jihad menurut Muhammad Haniff Hassan & Mohamed bin Ali dalam buku mereka SOAL JAWAB MENGENAI JIHAD bermaksud mengerah separuh tenaga atau berjuang untuk menunaikan perintah Allah Taala dengan mengerjakan segala kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan demi kebaikan seluruh alam. Jihad adalah sebahagian dari ajaran Islam yang menganjurkan kepatuhan kepada Allah Taala dan hubungan damai dengan semua pihak. Jihad melawan musuh yang memerangi hanyalah sebahagian dari pengertian dan bentuk jihad yang dinyatakan di atas. Manakala melalui artikel JIHAD MENURUT AL-QURAN, pengertian jihad amat luas. Ianya melibatkan usaha luaran sehingga usaha dalaman (batin) dan usaha itu mencakupi ruang yang luas termasuk untuk diri, keluarga, masyarakat, negara, agama serta seluruh alam. Dan jihad yang sebenar adalah jihad yang mengarah kepada damai dan selamat. Manakala, kekata jihad diulang 30 kali dalam Al-Quran. Ia berasal dari kata dasar juhd atau jahd. Juhd bererti mengeluarkan tenaga, usaha atau kekuatan dan jahd(jahada) bermakna kesungguhan dalam bekerja. Tetapi, kata al-jihad (jihad) dari Al-Quran itu berkembang sesuai dengan tahap perkembangan masyarakat Islam menurut masa dan ruang. Menurut Imam Ragib Al-Isfahani (ahli bahasa Al-Quran), kata jihad dalam Al-Quran mempunyai 3 erti iaitu;
1) Berjuang melawan musuh yang nyata
2) Berjuang melawan syaitan
3) Berjuang melawan nafsu
Pengertian jihad yang dikemukakan oleh Imam Ragib Al-Isfahani hampir sama dengan pengertian jihad yang dikemukakan oleh Ibnu Qayyim al-Jauziah (ulama besar Hambali). Dalam bukunya Zad al-Ma’ad, Ibnu Qayyim al-Jauziah menyebutkan bahawa jihad terdiri daripada empat martabat iaitu ;
1) Jihad terhadap nafsu
2) Jihad terhadap syaitan
3) Jihad terhadap orang kafir
4) Jihad terhadap orang munafik