Peranan dan Sumbangan
Pertama : Peranan Sebagai Isteri
Perkahwinan adalah merupakan sebuah institusi untuk mendirikan keluarga dan keluarga pula adalah sebuah unit sosial yang diberi kepentingan yang cukup besar dalam masyarakat. Orang yang diberi keistimewaan untuk melaksanakan tanggungjawab ini ialah wanita yang merupakan isteri yang telah dibebankan dengan amanah yang cukup besar iaitu supaya patuh dan taat kepada suami, yang dianggap perkara yang boleh membawa ke syurga dan neraka. Kebahagiaan sesebuah keluarga pula akan membawa kebahagiaan kepada masyarakat atau ummah itu sendiri. Keluarga yang mana di hari pertama lagi diikat dan diasaskan atas asas iman dan taqwa, akan bersinar rumahtangga ini dengan ruh Ar Rabbaniyyah semerbak harum. Dari kerajaan yang kecil ini akan lahir Rijal yang bangun untuk mempertahankan ummah. Dari kasih sayang suami isteri yang bahagia dan tolong menolong ini membentuk anak-anak bakal rijal ummah membesar dengan penuh keberkatan dari Allah s.w.t dan terhindar dari gangguan syaitan, baik akhlak , murni jiwa dan mendatangkan kedamaian kepada ayah dan ibu, walaupun mereka dipanggil pulang semasa anak masih lagi kecil, itulah kata Rasulullah s.a.w :
(Maksudnya) ” Dunia itu adalah barang perhiasan/bahan kesedapan dan sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita yang soleh ”
(HR Muslim)
Isteri yang soleh adalah cahaya yang menyinari hidup berumahtangga dan kecantikannya. Dalam rangka membangunkan ummah, isteri dituntut supaya setia dan taat kepada suami agar tercapai kedamaian dan kasih sayang dan tidak berlaku perceraian, semuanya adalah dalam rangka taat dan patuh kepada Allah s.w.t disamping membantu ketahanan ummah. Untuk memperlihatkan betapa bahagianya suami yang mendapat isteri yang soleh Mahmud Muhammad al Jauhari dan Muhammad Abdul Hakim telah menggambarkan ‘ Kiranya dunia dan isi kandungannya diletakkan di sebelah dan wanita yang soleh berdiri di sebelah yang lain untuk dibuat pilihan, nescaya semua lelaki memilih wanita ini kerana ditangannya kunci kebahagiaan dan khazanah hidup. Wanita dseperti ini sudah pernah lahir pada generasi awal yang dididik di Madrasah Rasuslullah s.a.w seperti Ummi Salamah, Fatimah Az Zahra, Ummi Sulaim r.a dan lain-lain. Wanita seperti ini juga akan lahir pada mana-mana generasi yang ingin mengembalikan Islam sebagai ad Deen di dalam membangunkan semula ummah Islamiyyah. Bahagia suami isteri, bahagia rumahtangga seterusnya membawa kebahagiaan kepada Ummah. ‘ Demikian besarnya sumbangan dan peranan wanita.
Kedua : Peranan Sebagai Ibu
Dari ibu yang soleh akan lahirlah anak-anak bakal generasi akan datang dan ditangan mereka diserahkan amanah Allah s.w.t untuk mendidik anak-anak supaya mengenali tanggungjawab terhadap deen Islam, terhadap ayah ibu dan pembangunan ummah Islamiyyah di masa akan datang dan ibu bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t di hari perhitungan nanti. Oleh itu berkewajipan di atas mereka memberi penuh pengorbanan dan penjagaan supaya anak-anak membesar, mengenali Islam dan menyintai Allah s.w.t dan Rasul Nya s.a.w, kasih kepada ayah ibu, cinta kepada orang-orang mukmin, cinta kepada kebaikan dan Ummah Muslimah, yang mana nantinya lahir satu generasi yang kuat dengan iman dan akhlak serta kuat cita-cita bagi mengembalikan kekuatan dan kemuliaan Islam. Kegagalan mereka menjalankan tugas ini akan menyebabkan mereka akan menanggung risiko yang besar dihadapan Allah s.w.t dan sesalan yang tidak bererti lagi.
Sehubungan dengan ini Imam Ghazali r.a pernah berkata kira-kira bermaksud : ” Anak-anak itu adalah amanah Allah di sisi ibubapanya, hatinya suci bersih, bersih dari sebarang lukisan dan ukiran, menerima apa sahaja yuang dicorakkan, condong dan tertarik terhadap apa yang ditarik kepadanya. Jika didedahkan dengan kebaikan dan diajarkannya, maka ia membesar di atas keadaan itu, berbahagialah hidupnya di dunia dan di akhirat dan berkongsilah pahala kebaikan ayah ibu, dan setiap pendidik yang mendidiknya. Kiranya didedahkan kepada perkara-perkara yang jahat (keburukan), ke arah kebinatangan, maka binasa dan musnahlah anak itu dan dosanya di atas tanggungan pendidik dan penjaganya. ”
Kerana itu maka ibu yang beriman amat mengambil berat tentang amanah ini dan akhirnya menyerahkan anak yang dididik dengan iman dan penuh kasih sayang itu kepada ummah sebagai Rijal yang soleh, bangun berjihad mempertahankan dan menegakkan Ummah Islamiyyah di bumi Allah ini. Allah mengasihi mereka kerana itu jasa mereka yang besar tidak pernah dilupakan , Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
(maksud) ” Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu ”
Anak-anak diberi ingatan supaya mengenang budi mereka dan mereka tidak dikira sebagai seorang mukmin yang baik biar setinggi mana abidnya semasa hayat ini sekiranya mereka tidak berbakti kepada ibu dan terhalang dari menerima nekmat Allah s.w.t.
Oleh sebab besarnya pengorbanan mereka didalam mendidik anak untuk membangunkan ummah di masa akan datang, maka mereka disampaikan khabar gembira oleh Rasulullah s.a.w, lebih-lebih lagi jika yang dididik itu perempuan bakal ibu di masa akan datang. Anas r.a pernah berkata Rasulullah s.a.w bersabda :
Wanita adalah ibu dan guru pertama generasi akan datang, baik didikan maka baiklah generasi Islam dan kerana itulah mereka dianggap sebagai Asatizah Al Alam. Tangan kanan yang menghayun buaian, tangan kiri dapat menggegarkan alam ini. Imam As Syahid Hasan al Banna r.a pernah mengatakan :
Kerana besarnya peranan ibu (kaum wanita) di dalam mendidik pendukung dan penegak ummah. Sebagai contoh ibu yang baik yang sudah terkenal di kalangan umat Islam ialah seorang sahabi yang bernama Tamadir binti Amru, pemuisi wanita yang jelita, yang telah menghabiskan sebahagian hidupnya sebelum memeluk Islam dengan meraung, meratap dan menangis kerana kematian saudaranya Muawiyyah dan Sakhar. Ia mengarang banyak syair sedih. Rasulullah s.a.w gemar akan puisinya. Tatkala tercetusnya peperangan al Qadisiyyah, Tamadir r.a telah memberi perangsang kepada anak-anaknya supaya turut sama tentera Islam, ketika mengucapkan selamat jalan kepada mereka beliau mengingatkan mereka tentang nekmat akhirat, ini melahirkan semangat baru kepada anak-anaknya, akhirnya keempat-empat anaknya gugur syahid. Beliau mengucap syukur kepada Allah s.w.t kerana kurniaan Allah terhadap anaknya. Ini sebagai salah satu dari contoh-contoh yang dimainkan oleh wanita di dalam sejarah membangun dan mempertahankan ummah.
Ketiga : Peranan Di Dalam Jihad
Jihad tidaklah sahaja difahami dengan mengangkat senjata di medan peperangan menentang musuh. Sebenarnya jihad ini mengandungi berbagai-bagai bidang. Berjihad menguruskan rumahtangga dan mendidik anak-anak sebagai Rijal Al Ummah di masa akan datang ( di saat perlu dapat memberi pertolongan di medan jihad mengangkat senjata ), berjihad mencari ilmu pengetahuan dan berjihad untuk beramal. Sesudah itu wanita berjihad pula untuk mengajak wanita lain di sekelilingnya untuk beriman dengan Allah dan hari kiamat, berpegang kuat dengan Islam , berbuat makruf dan mencegah mungkar, memahamkan golongannya dengan deennya, fardhu, hak-hak wanita, asas-asas keadilan dan kemerdekaan, kebebasan siasah di dalam Islam’ memberi kesedaran Islam semula dan lain-lain. Memperlihatkan contoh yang baik sebagai Mukminah Solehah di dalam menunaikan amanah Allah s.w.t bagi membangun dan mempertahankan ummah.
Peranan ini sebenarnya telah pernah ditunjukkan oleh wanita-wanita utama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w baik di bidang ilmu pengetahuan seperti Sayyiditina Aisyah r.a , seorang cendikiawan, alim tentang al Quran dan Sunnah, meriwayatkan hadith lebih daripada seribu, malah suku bahagian undang-undang syarak diriwayatkan oleh beliau, pernah Rasulullah s.a.w mengatakan kira-kira bermaksud : ” Ambillah separuh dari Deen kamu dari anak yang masih merah ini ( Sayyiditina Aisyah r.a. ). ”
Di medan jihad pula kita melihat Nasibah binti Kaab r.a adalah wanita Ansar yang telah berbaiah dengan Rasulullah s.a.w bersama golongan lelaki di dalam Perjanjian Aqabah Kedua, merawat mereka yang cedera dan memberi minum kepada mereka yang dahaga di medan Uhud, malah beliau mengangkat senjata mempertahankan Rasulullah s.a.w dan beliau juga luka parah. Di medan perang lain, beliau telah mendapat sepuluh luka-luka dan telah kehilangan sebelah tangannya untuk bangun menegakkan ummah pertama.
Banyak lagi yang tetap disebut dan menjadi sebagai model pembangunan ummah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
Peranan seperti mereka ini akan tetap ujud berkekalan sehingga hari kiamat bagi mana-mana generasi yang ingin membangunkan semula Ummah Islamiyyah dan melalui proses yang sama sepertimana yang telah dilalui oleh generasi awal yang ditarbiyyah di Madrasah Rasulullah s.a.w, Rabbaniyatul Ghayah Wal Wijhah Wa Rabbaniyatul Manhaj.
Kesimpulan
Pada keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa peranan kaum wanita di dalam pembangunan ummah dapat ditentukan melalui pembangunan diri wanita itu sendiri. Seterusnya usaha dan sumbangan untuk membangunkan ummah. Pembentukan diri itu adalah pembentukan Iman itu sendiri. Pembentukan diri yang sempurna maka akan diikuti dengan pembangunan ummah yang berjaya. Tanpa Iman tugas besar ini tidak akan mampu dipikul kerana jalan yang akan dilalui tidak pernah dihampar dengan permaidani indah, malah penuh duri dan ranjau di sepanjang perjalanan.