21 OKTOBER 2025 – Kumpulan Dikir Barat Ratib Serambi Himsak UTM telah dijemput untuk memeriahkan Majlis Apresiasi Fakulti Komputeran (MAFC) 2025. Jemputan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kami untuk mempersembahkan seni warisan Melayu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan warga kampus, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara pelajar, staf dan pengurusan universiti.
Apa yang lebih menggembirakan ialah apabila Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Dr. Wan Mohd Nasir, turut sama memeriahkan suasana dengan menyanyikan lagu Anak Tupai yang dipopularkan oleh Halim Yazid. Gelak tawa dan sorakan para hadirin menjadikan persembahan tersebut lebih meriah dan penuh kenangan.

Bagi saya, pengalaman membuat persembahan bersama para pelajar sentiasa mempunyai nilai yang tersendiri. Sebagai pendidik, kita sering melihat mereka di dalam bilik kuliah atau makmal. Namun apabila berkongsi pentas, berlatih bersama dan berusaha menjayakan sesuatu persembahan sebagai satu pasukan, hubungan yang terjalin menjadi lebih akrab dan bermakna. Di sinilah terletaknya keindahan aktiviti kesenian di universiti membentuk bukan sahaja kecemerlangan akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah, kepimpinan dan semangat kekitaan.
Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada jurulatih kami, Abe Raz Rasul Kamaruzaman, yang juga merupakan Tok Jogho ketika zaman kami bergelar mahasiswa dahulu. Walaupun sibuk dengan pelbagai komitmen, beliau tetap sudi meluangkan masa untuk turun berlatih dan bersama-sama menjayakan persembahan ini. Kehadiran beliau bukan sahaja membimbing dari aspek teknikal, malah menghidupkan kembali semangat dan nostalgia dikir barat di UTM.

Ucapan terima kasih juga kepada sekretariat MAFC 2025, khususnya Puan Nor Kamsiah Manan atas jemputan dan layanan yang diberikan kepada kumpulan kami. Sesungguhnya peluang seperti ini amat bermakna dalam usaha memartabatkan seni budaya di peringkat universiti.
Lebih daripada sekadar satu persembahan, program seperti ini mengingatkan kita bahawa warisan budaya perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Selagi ada yang sudi belajar, berlatih dan meneruskan tradisi ini, dikir barat akan terus hidup dan berkembang dalam kalangan warga kampus.
Takkan Dikir Barat Hilang di UTM, insya-Allah.
Recent Comments