26 Januari 2026 merupakan satu lagi detik penting dalam perjalanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila berlangsungnya Majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2026 yang turut menyaksikan pelancaran rasmi Pelan Strategik UTM Ascend 2030.

Saya berpeluang hadir bersama warga universiti untuk menyaksikan sendiri pembentangan hala tuju UTM bagi tahun 2026 yang disampaikan oleh YBrs. Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Dengan penyampaian yang padat, tersusun dan penuh makna, beliau menghuraikan aspirasi universiti untuk terus melonjak ke hadapan dalam landskap pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan pembangunan masyarakat.

Secara peribadi, saya sangat teruja untuk menghadiri majlis ini. Bukan sahaja kerana ingin memahami dengan lebih mendalam hala tuju universiti, tetapi juga kerana saya berpeluang terlibat pada peringkat awal sebagai sebahagian daripada task force pembangunan pelan strategik ini sejak tahun lalu. Namun, sepanjang proses tersebut, satu persoalan sentiasa bermain di fikiran saya – apakah falsafah dan sentuhan istimewa yang dibawa oleh Naib Canselor sehingga pelan strategik ini dijenamakan sebagai UTM Ascend 2030?

Dalam hati saya, pastinya ada sesuatu yang lebih besar daripada sekadar sebuah nama.

Jawapan kepada persoalan tersebut mula terungkai apabila saya melihat bagaimana pelan strategik ini dibangunkan bukan sahaja berteraskan kecemerlangan akademik dan institusi, tetapi turut disandarkan kepada nilai-nilai yang lebih mendalam. Lebih menarik, apabila terlihat perkongsian dan hubungan intelektual beliau bersama Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas, saya mula memahami bahawa elemen adab dan pembinaan insan turut menjadi asas penting dalam kerangka pemikiran yang membentuk pelan ini.

Rupa-rupanya, istilah Ascend yang dipilih bukan sekadar membawa maksud mendaki atau meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Ia mempunyai kaitan yang mendalam dengan tafsiran Surah Al-Balad, ayat 11 dan 12 yang menyebut tentang ‘aqabah’, iaitu jalan yang sukar dan mendaki, yang melambangkan usaha manusia untuk melakukan amalan-amalan tinggi dan mulia di sisi Allah SWT.

Konsep ‘aqabah’ ini diterjemahkan dengan begitu indah dalam Pelan Strategik UTM Ascend 2030. Ia menggambarkan perjalanan warga UTM yang perlu berusaha bersungguh-sungguh, mendaki cabaran demi cabaran, untuk mencapai matlamat yang telah dirancang. Pendakian ini bukan semata-mata untuk mencapai prestasi dan pengiktirafan, tetapi untuk membawa manfaat yang lebih besar kepada masyarakat dan ummah.

Di sinilah saya melihat keunikan sebenar UTM Ascend 2030.

Pelan strategik ini tidak hanya berbicara tentang angka, kedudukan ranking atau indikator prestasi. Sebaliknya, ia mengingatkan kita bahawa kejayaan yang sebenar perlu dipandu oleh ilmu, adab dan tujuan yang betul. Dalam dunia yang semakin kompetitif, nilai-nilai inilah yang akan membezakan antara kecemerlangan yang bersifat sementara dengan kecemerlangan yang membawa keberkatan dan manfaat yang berkekalan.

Sebagai warga UTM, saya melihat pelancaran UTM Ascend 2030 bukan sekadar pengumuman sebuah pelan strategik baharu, tetapi sebagai seruan untuk bersama-sama mendaki. Mendaki dengan ilmu. Mendaki dengan integriti. Mendaki dengan adab. Dan mendaki dengan kesedaran bahawa setiap usaha yang dilakukan harus kembali kepada tujuan yang lebih besar.

Seperti yang sentiasa diangkat dalam cogan kata keramat universiti:

“Kerana Tuhan Untuk Manusia.”

Semoga UTM Ascend 2030 menjadi panduan yang membawa seluruh warga universiti ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi, bukan sahaja dari sudut pencapaian institusi, tetapi juga dari segi pembentukan insan yang berilmu, beradab dan berbakti.

Fastabiqul Khairat — berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan.

UTM Open Day