4 April 2026 – Program Jalinan Kasih Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) UTM 2026 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Seri Meranti, Kolej Rahman Putra, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program ini dianjurkan dengan matlamat utama untuk menyantuni dan meraikan para pelajar asnaf melalui sumbangan berbentuk bakul makanan serta keperluan harian. Inisiatif ini bukan sahaja memberi bantuan dari sudut kebajikan, malah turut mengukuhkan nilai keprihatinan, ukhuwah dan semangat saling membantu dalam kalangan warga kampus.

Sebagai Penasihat HIMSAK UTM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden HIMSAK Kebangsaan, Saudara Fareez Khan, serta barisan jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini. Kehadiran dan komitmen mereka dalam memastikan kelancaran program amat dihargai dan menjadi bukti semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa.

Tidak dilupakan, penghargaan juga diberikan kepada Setiausaha Persatuan Alumni UTM (PAUTM), ACP Dr. Mohd Bakri, atas kesudian hadir memeriahkan program serta menyampaikan sumbangan kepada para pelajar asnaf. Kehadiran alumni dalam program seperti ini amat bermakna kerana ia mencerminkan kesinambungan hubungan antara generasi terdahulu dan generasi semasa UTM.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP) UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Hasrul Akhmal, atas sokongan berterusan dalam memastikan program pembangunan pelajar seperti ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berimpak tinggi.

Tahniah dan syabas kepada seluruh pimpinan HIMSAK UTM yang telah berjaya menganjurkan program yang sangat bermakna ini. Usaha yang dilakukan bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar yang memerlukan, tetapi juga menjadi platform penting dalam memupuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan semangat kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa.

Semoga program seperti ini terus diperkasakan pada masa akan datang, agar lebih ramai pelajar dapat dibantu dan ukhuwah sesama warga UTM terus subur dan kukuh. Insya-Allah.

UTM Open Day