Aktiviti Harian Berkualiti Muslim

Aktiviti Harian Berkualiti Muslim

Jadikannya jadual kamu pada setiap hari:

  1. Solat pada setiap waktu.
  2. Membaca dua muka surat daripada al-Quran.
  3. Zikir pada pagi dan petang daripada kitab zikir-zikir ‘Husnul Muslim’.
  4. Baca tiga hadis setiap hari daripada kitab Riyadus Solihin.
  5. Sedekahlah seringgit setiap hari, jika kamu ada keluarga, berilah sedekah itu pada mereka.
  6. Tidak menipu dan mengumpat.
  7. Berjalan-jalan setengah jam pada setiap hari. (bersenam)
  8. Tekun dalam melakukan setiap amalan yang baik.
  9. Puasa sunat Isnin dan Khamis, solat sunat Dhuha, dan witir sebelum tidur.
  10. Maafkan semua orang muslim serta mendoakan keampunan untuk mereka pada setiap hari.

Jika di nilai, nasihat tersebut merangkumi pelbagai aspek rohani dan jasmani. Sesuai dengan agama islam merangkumi segala aspek kehidupan manusia.

Walaupun nasihat tersebut kelihatan ringan tapi betapa ramai yang tewas dalam beribadah. Patut dimulakan dengan menjaga solat pada awal waktu. Insha Allah, jika dijaga solat dengan baik, ibadah yang lain juga menjadi ringan. Berat membuat dosa, ringan membuat pahala.

“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar;” [Al-‘Ankabuut 29:45]

Seseorang yang memelihara solatnya dengan bersungguh-sungguh agar diterima Allah akan memberi natijah hati yang sentiasa ketakutan dan berharap pada Rabbnya bukan sahaja lima waktu sehari semalam malah diluar waktu solat iaitu 24 jam 7 hari seminggu. Perasaannya juga akan merasa berdosa walaupun sekecil-kecil dosa.

“Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya”. – Ibnu Masud

Seorang mukmin itu tidak akan membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah untuk islam. Jadualnya pula tidak tersenarai aktiviti mengumpat, menonton filem tidak berfaedah, berinternet bukan untuk mencari maklumat. Begitulah seorang mukmin dalam fikirannya cuma ada Islam, perbuatan duniawi untuk ukhrawi.

Aktiviti muslim itu sentiasa padat dengan amalan shalih dan berdakwah ummah beribadat padaNya. Sejajar dengan Surah Al-‘Ashr, aktiviti harian muslim yang berkualiti ialah orang yang beiman, beramal shalih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian kecuali

1. Orang yang beriman.
2. Beramal Shalih.
3. Berpesan-pesan dengan kebenaran.
4. Berpesan-pesan dengan kesabaran.”
[al-‘Ashr 103 : 1-3]

Ibnul Qayyim di dalam kitabnya “Miftahu Daris-Sa’adah” menerangkan ;

“Kalau keempat martabat telah tercapai oleh manusia, hasillah tujuannya menuju kesempumaan hidup.

Pertama : Mengetahui Kebenaran.
Kedua : Mengamalkan Kebenaran itu.
Ketiga : Mengajarkannya kepada orang yang belum pandai memakaikannya.
Keempat : Sabar di dalam menyesuaikan diri dengan Kebenaran dan mengamalkan dan mengajarkannya.

Jelaslah susunan yang empat itu di dalam Surah Al-‘Ashr.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *