Secara terus, pemahaman terhadap vokasional keusahawanan bagi sesetengah pihak adalah mengaitkan pendidikan vokasional di institusi kemahiran seperti kolej vokasional, kolej komuniti, dan lain-lain dengan aktiviti dan pembelajaran tentang keusahawanan yang diterapkan semasa PdP. Sebenarnya, ia membawa maksud yang lebih mendalam. Menurut Nor Aishah Buang menerusi karyanya Pendidikan Keusahawanan terbitan Penerbit UKM, vokasional keusahawanan merujuk kepada mentransformasikan vokasi individu yang berbentuk bakat semula jadi atau kemahiran yang boleh dikomersialkan.
Adalah amat penting bagi seseorang yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan tertentu untuk membangunkan bakat dan keupayaannya kepada satu peringkat yang lebih tinggi dan berguna. Sebagai contoh, pekerjaan sebagai guru atau mempunyai kemahiran mengajar dan pengetahuan yang cukup untuk mengajar. Vokasi individu seperti ini boleh komersialkan dengan membuka perkhidmatan tuisyen, menyediakan program motivasi mata pelajaran tertentu atau menghasilkan modul pembelajaran yang lebih efektif. Kaedah-kaedah ini sebenarnya boleh dianggap sebagai satu proses keusahawanan di mana menggunakan ruang dan peluang dengan menggabungkan aspek-aspek tertentu dalam membantu orang lain yang memerlukan perkhidamatan darinya.
Pendekatan ini juga di ambil oleh saya dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan Kerangka Keusahawanan Kulinari bagi membantu pelajar kulinari yang telah atau bakal bergraduasi dari IPTA untuk menceburi bidang keusahawanan tanpa perlu mensia-siakan kemahiran dan pengetahuan yang mereka pelajari sepanjang 4 tahun pengajian dalam bidang itu. Oleh yang demikian, vokasional keusahawanan ini sebenarnya amat penting untuk diterapkan dalam diri pelajar tanpa mengira bidang sama ada hospitaliti, pendidikan, sains, kejuruteraan, teknologi, dan sebagainya supaya mereka dapat mempraktikkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berdasarkan bidang pengajian mereka yang secara tidak langsung meluaskan pandangan mereka tentang kerjaya dalam bidang mereka yang sebenarnya boleh dimajukan dengan keusahawanan dan tidak hanya memfokuskan dengan kerjaya tertentu sahaja.