Vokasional Keusahawanan

Secara terus, pemahaman terhadap vokasional keusahawanan bagi sesetengah pihak adalah mengaitkan pendidikan vokasional di institusi kemahiran seperti kolej vokasional, kolej komuniti, dan lain-lain dengan aktiviti dan pembelajaran tentang keusahawanan yang diterapkan semasa PdP. Sebenarnya, ia membawa maksud yang lebih mendalam. Menurut Nor Aishah Buang menerusi karyanya Pendidikan Keusahawanan terbitan Penerbit UKM, vokasional keusahawanan merujuk kepada mentransformasikan vokasi individu yang berbentuk bakat semula jadi atau kemahiran yang boleh dikomersialkan.

Adalah amat penting bagi seseorang yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan tertentu untuk membangunkan bakat dan keupayaannya kepada satu peringkat yang lebih tinggi dan berguna. Sebagai contoh, pekerjaan sebagai guru atau mempunyai kemahiran mengajar dan pengetahuan yang cukup untuk mengajar. Vokasi individu seperti ini boleh komersialkan dengan membuka perkhidmatan tuisyen, menyediakan program motivasi mata pelajaran tertentu atau menghasilkan modul pembelajaran yang lebih efektif. Kaedah-kaedah ini sebenarnya boleh dianggap sebagai satu proses keusahawanan di mana menggunakan ruang dan peluang dengan menggabungkan aspek-aspek tertentu dalam membantu orang lain yang memerlukan perkhidamatan darinya.

Pendekatan ini juga di ambil oleh saya dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan Kerangka Keusahawanan Kulinari bagi membantu pelajar kulinari yang telah atau bakal bergraduasi dari IPTA untuk menceburi bidang keusahawanan tanpa perlu mensia-siakan kemahiran dan pengetahuan yang mereka pelajari sepanjang 4 tahun pengajian dalam bidang itu. Oleh yang demikian, vokasional keusahawanan ini sebenarnya amat penting untuk diterapkan dalam diri pelajar tanpa mengira bidang sama ada hospitaliti, pendidikan, sains, kejuruteraan, teknologi, dan sebagainya supaya mereka dapat mempraktikkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berdasarkan bidang pengajian mereka yang secara tidak langsung meluaskan pandangan mereka tentang kerjaya dalam bidang mereka yang sebenarnya boleh dimajukan dengan keusahawanan dan tidak hanya memfokuskan dengan kerjaya tertentu sahaja.

About m.izzuan

Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar (Dr. Ezi) merupakan seorang pensyarah kanan dari Jabatan Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, Johor. Mempunyai kelulusan dalam Sains Pembinaan (B.Sc) dan Pendidikan Teknik dan Vokasional (M.Ed, Ph.D). Antara kajian dan penyelidikan yang pernah dilakukan adalah tentang laluan kerjaya graduan Sarjana Muda Sains Pembinaan UTM, sifat kepimpinan guru pelatih (pelajar yang telah menjalani latihan mengajar) daripada kursus-kursus di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sekolah Pendidikan dan menghasilkan Kerangka Keusahawanan Kulinari. Melalui kajian dan penyelidikan ini, beberapa artikel telah berjaya diterbitkan di dalam Bahasa Melayu. Beberapa artikel dan kajian juga bakal diusahakan dalam masa terdekat dalam memenuhi hasrat Wawasan 2020 (azam peribadi). Berdasarkan kajian dan penyelidikan yang dinyatakan, Dr. Ezi cenderung dalam menghasilkan sesuatu yang dapat membantu dan menjadi panduan individu dalam memperbaiki kerjaya mereka terutama kerjaya berkaitan Pendidikan Teknik dan Vokasional. Di usia bawah 30-an, Dr. Ezi berusaha untuk terus mencari ruang dan peluang dalam menambahbaik dan memperbaiki kualiti diri sebagai seorang penasihat, pembimbing, penyelia, pengajar dan pendidik. Dengan moto hidup, JUST GO WITH THE FLOW, Dr. Ezi merupakan seorang yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berwaspada serta positif dalam menempuhi kehidupan yang tidak tahu bila pengakhirannya. Usaha, reda, tawakal, restu ibu bapa, dan sebagainya menjadi kunci kehidupan seorang pensyarah di usia muda. Jauhi pengaruh-pengaruh negatif yang bakal memberi tekanan pada diri.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *