Strategiku, Kepercayaanku, Nilaiku, dan Sasaranku

Mengajar adalah minat saya sejak diangkat menjadi mentor kepada rakan-rakan sebaya untuk mengajar subjek Matematik Tambahan di sekolah dan sejak itu saya sentiasa berkeinginan untuk melihat seseorang berjaya hasil dari tunjuk ajar yang saya berikan. Saya juga dibesarkan dalam persekitaran warga pendidik di mana bapa saudara saya adalah seorang bekas guru Bahasa Melayu dan Sejarah, ibu saudara saya seorang guru Pendidikan Islam, abang saudara saya seorang guru Sejarah, dan isterinya seorang guru Bahasa Inggeris. Usaha saya untuk menjadi seorang pendidik bermula seawal permohonan UPU semasa di peringkat matrikulasi yang masa saya memohon kursus pendidikan Fizik di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Walau bagaimanapun, rezeki belum ada pada ketika itu dan saya terus berazam untuk menjadi seorang pendidik dan alhamdulillah rezeki saya adalah di peringkat ini.

Dengan pengalaman yang diperolehi dalam tempoh setahun sebagai seorang pensyarah, pelbagai pengetahuan dan maklumat dari sudut pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, dan penasihatan akademik telah diperoleh yang boleh diangkat sebagai pengalaman berharga bagi saya untuk mengiktiraf peranan saya sebagai seorang pendidik, pengajar, dan pensyarah. Input yang diterapkan oleh Fakulti, Sekolah, dan Jabatan kepada saya sebagai seorang pensyarah baru membantu saya menyusun strategi pengajaran mengikut kebolehan saya dan kesesuaian terhadap pelajar secara tidak langsung saya dapat membuat satu eksperimen mini pada diri saya bagi melihat kemampuan diri, kreatif, dan kemahiran sedia ada untuk diasah pada masa akan datang. Pada masa ini, kemampuan saya dalam menggabungkan beberapa pengetahuan ini telah menyumbang peranan yang besar kepada gaya pengajaran saya dan menambahbaik proses pembelajaran pelajar dalam usaha memenuhi hasil pembelajaran program yang telah ditetapkan dalam sesuatu kursus. Sebagai contoh, pada peringkat awal saya menyusun strategi dalam menerapkan elemen kajian mini berbentuk sains sosial kepada pelajar bukan sains sosial supaya mereka terdedah dengan bidang lain yang boleh digunakan dalam penulisan Projek Sarjana Muda (PSM) mereka di Tahun Akhir nanti.

Falsafah personal saya bagi proses pengajaran adalah “be flexible“. Saya Sentiasa Fleksibel di dalam apa jua perbuatan atau tindakan dengan melihat keadaan semasa pelajar sebelum saya memimpin mereka dalam mencapai sasaran pembelajaran. Sebagai seorang pensyarah yang ditugaskan untuk mengajar dan menyelia pelajar dari pelbagai latar belakang, amalan yang fleksibel adalah cara yang terbaik dalam mengenal pelajar yang diajar dan/atau diselia iaitu dengan melihat situasi pelajar. Jika perlu dipandu, maka saya menjadi panduan mereka. Jika perlu dipaksa, maka saya jadi ketua mereka. Jika perlu dibantu, maka sayalah rakan mereka. Falsafah ini dipegang seawal lantikan saya sebagai pensyarah kerana saya percaya setiap pelajar mempunyai keupayaan yang berlainan dan mereka perlu bersedia dahulu sebelum dipimpin dalam aktiviti pebelajaran. Pada pandangan saya, sifat yang rigid contohnya mengharapkan pelajar mengikut kata pensyarah dan amalan ini diaplikasi kepada semua pelajar (dipukul rata kemampuan mereka), ia merupakan satu amalan yang kurang sihat dalam melahirkan seorang pelajar yang independen dan mampu mengharung cabaran selepas menamatkan pengajian.

Kepercayaan dan amalan saya dalam pentaksiran dan penilaian juga tidak “rigid”. Sebagai seorang yang “flexible”, saya menyediakan rubrik pemarkahan sebagai panduan dalam penilaian pencapaian, manakala pentaksiran kemampuan adalah bergantung kepada keadaan semasa semasa. Yang penting hasil pembelajaran program dan kursus yang telah digariskan dicapaian dan markah diberikan mengikut informasi kursus yang disediakan. Bagi kursus yang tidak mempunyai pentaksiran sumatif, apabila markah telah mencapai 50 peratus sehingga 60 peratus dari keseluruhan pentaksiran, saya akan memberikan senarai markah semasa kepada pelajar sebagai dorongan mereka untuk membuat saki baki tugasan dengan lebih tekun dan cemerlang. Pembangunan pengajaran yang saya dapat lihat dalam diri saya adalah saya lebih yakin semasa mengajar tidak kira di dalam kelas atau semasa proses amali. Saya juga melihat pendekatan “santai tapi tegas” amat berkesan kerana pelajar dilihat lebih berani berinteraksi dalam kelas. Dengan pendekatan yang diambil, falsafah yang dipegang, dan pembangunan kerjaya sebagai pensyarah semakin baik, sasaran pembelajaran akan lebih dapat dicapai dan mungkin sasaran lain akan menjadi pilihan.

BC4DCP k1 2020

About m.izzuan

Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar (Dr. Ezi) merupakan seorang pensyarah kanan dari Jabatan Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, Johor. Mempunyai kelulusan dalam Sains Pembinaan (B.Sc) dan Pendidikan Teknik dan Vokasional (M.Ed, Ph.D). Antara kajian dan penyelidikan yang pernah dilakukan adalah tentang laluan kerjaya graduan Sarjana Muda Sains Pembinaan UTM, sifat kepimpinan guru pelatih (pelajar yang telah menjalani latihan mengajar) daripada kursus-kursus di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sekolah Pendidikan dan menghasilkan Kerangka Keusahawanan Kulinari. Melalui kajian dan penyelidikan ini, beberapa artikel telah berjaya diterbitkan di dalam Bahasa Melayu. Beberapa artikel dan kajian juga bakal diusahakan dalam masa terdekat dalam memenuhi hasrat Wawasan 2020 (azam peribadi). Berdasarkan kajian dan penyelidikan yang dinyatakan, Dr. Ezi cenderung dalam menghasilkan sesuatu yang dapat membantu dan menjadi panduan individu dalam memperbaiki kerjaya mereka terutama kerjaya berkaitan Pendidikan Teknik dan Vokasional. Di usia bawah 30-an, Dr. Ezi berusaha untuk terus mencari ruang dan peluang dalam menambahbaik dan memperbaiki kualiti diri sebagai seorang penasihat, pembimbing, penyelia, pengajar dan pendidik. Dengan moto hidup, JUST GO WITH THE FLOW, Dr. Ezi merupakan seorang yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berwaspada serta positif dalam menempuhi kehidupan yang tidak tahu bila pengakhirannya. Usaha, reda, tawakal, restu ibu bapa, dan sebagainya menjadi kunci kehidupan seorang pensyarah di usia muda. Jauhi pengaruh-pengaruh negatif yang bakal memberi tekanan pada diri.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.