MPP sambut baik penubuhan Fakulti AI pertama negara di UTM

JOHOR BAHRU, 19 Okt. – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena pembentangan Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” bagi menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan Pertama Negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di UTM dengan peruntukan awal bernilai RM20 juta pada Jumaat lepas.

Usaha ini menjadi satu penghormatan yang besar kepada seluruh warga UTM sebagai institusi ilmu pertama yang diberikan kepercayaan bagi melahirkan warga intelektual berteraskan teknologi digital pada masa hadapan sekali gus memacu Malaysia bergerak pantas menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan tranformasi digital global.

Dalam pembentangan tersebut, peruntukan sebanyak RM16.3 bilion telah diperuntukkan bagi tahun 2024 kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berbanding RM15.3 bilion tahun ini. Usaha murni ini jelas menggambarkan komitmen tinggi Kerajaan MADANI dalam memperhebat usaha membangunkan bakat terbaik pelbagai bidang demi pembangunan dan kemajuan tanah air.

Penumpuan khusus yang diberikan dalam Belanjawan 2024 untuk membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik adalah bertepatan dalam melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing dalam industri teknologi digital yang kian pesat berkembang.

Kewujudan pusat-pusat kecemerlangan penyelidikan di UTM seperti Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO), Pusat Data Raya (BDC), Pusat Penyelidikan Kardiovaskular  IJN-UTM, Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia (iHumEn) dan Institut Sistem Kenderaan dan Kejuruteraan (IVeSE) juga dilihat mengabsahkan status UTM sebagai Universiti Peneraju dalam bidang kecerdasan buatan, teknologi digital, teknologi hijau dan robotik di peringkat nasional.

Selain itu, peruntukan RM300 juta untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat universiti teknikal Malaysia turut menjadi tumpuan MPP UTM. Usaha oleh pihak kerajaan ini dapat memastikan prasarana di IPT mampu menyediakan suasana yang lebih kondusif kepada mahasiswa di dalam kampus.

Pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 kepada seluruh peminjam turut dilihat sebagai satu inisiatif murni Kerajaan MADANI bagi membantu mengurangkan beban kewangan mahasiswa daripada keluarga B40.

“Saya menzahirkan ucapan syukur dan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan atas keperihatinan dalam mempertingkatkan usaha memperkukuh wadah Institusi Pengajian Tinggi (IPT), dan pada masa yang sama turut menjamin suara dan kebajikan mahasiswa terus terpelihara”, ulas Saudari Nadratul Huda, Yang Di-Pertua MPP UTM sesi 2022/2023 seusai mendengar Pembentangan Belanjawan 2024.

Barisan MPP UTM sesi 2022/2023 meyambut baik inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat yang lalu.

MPP UTM menzahirkan penghargaan  atas kepercayaan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Tinggi serta bersedia menerima tanggungjawab ini bersama pihak pengurusan universiti dengan penuh amanah untuk bersama membangunkan negara sepertimana yang dihasratkan dalam acuan dan kerangka Ekonomi Malaysia MADANI.

*sumber dari :

https://news.utm.my/ms/2023/10/mpp-sambut-baik-penubuhan-fakulti-ai-pertama-negara-di-utm/

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.