Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) Pertama Negara di Universiti Teknologi Malaysia

KENYATAAN MEDIA

Malaysia perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global.

Justeru, UTM mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri sempena pembentangan Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” bagi menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan Pertama Negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan awal bernilai RM20 juta.

Penumpuan khusus yang diberikan dalam Belanjawan 2024 untuk membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik adalah bertepatan dalam meyakinkan pelabur serta industri.

UTM juga merupakan universiti awam yang mempelopori bidang ini dengan meluas dan mempunyai pusat kecemerlangan seperti Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO), Pusat Data Raya (BDC), Pusat Penyelidikan Kardiovaskular IJN-UTM, Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia (iHumEn) dan Institut Sistem Kenderaan dan  Kejuruteraan (IVeSE).

Selain itu, UTM telah menghasilkan pelbagai inovasi berteraskan kecerdasan buatan seperti aplikasi robotik untuk industri, aplikasi perubatan & kesihatan dan perisian pintar. Contoh produk yang telah dihasilkan adalah seperti ARTECH INSPECTO (Robot pintar berteknologi tinggi bagi melakukan pemeriksaan dan pembersihan di ruang yang sempit); A2TECH X3CATOR (robot pintar untuk pencarian tanpa wayar); aplikasi DIANA Hologram Pintar untuk keselamatan digital dan pembantu sosial pintar; dan lain-lain perisian yang telah digunakan oleh industri.

Kejayaan inisiatif ini dapat dilaksanakan kerana terdapatnya jumlah pakar yang sedia ada dalam bidang kecerdasan buatan merentasi pusat pengajian di UTM yang melebihi 100 orang.

Tenaga pakar ini terdiri daripada ahli akademik dari Fakulti Komputeran, Fakuti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Fakulti Alam Bina dan Ukur,  Jabatan Matematik – Fakulti Sains, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak dan Fakulti Pengurusan.

Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) ini akan bercorak multi-disiplin yang mampu menjadikan kecerdasan buatan sebagai pemangkin kepada inovasi dalam pelbagai bidang, antaranya industri pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim.

UTM menzahirkan penghargaan dan amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia serta Kementerian Pendidikan Tinggi dan menerima tanggungjawab ini dengan penuh amanah untuk bersama membangunkan negara sepertimana yang dihasratkan dalam kerangka Ekonomi Malaysia Madani.

UTM juga optimis bahawa fakulti ini berupaya memajukan peradaban manusia mengikut acuan Malaysia Madani.

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi bin Ismail

Naib Canselor

Universiti Teknologi Malaysia

13 Oktober 2023

#TAMAT

*sumber dari :

https://news.utm.my/ms/2023/10/penubuhan-fakulti-kecerdasan-buatan-ai-pertama-negara-di-universiti-teknologi-malaysia/

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.