Pengorbanan yang bukan sedikit

Pagi ini saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi proposal defense salah seorang pelajar PhD bidang Sistem Maklumat.

Sesi penilaian masih dijalankan dalam talian pada masa ini walaupun pelajar berada di Johor Bahru. Sebelum sesi berlangsung, saya dapati nama pelajar agak familiar. Namun, saya hanya sedari dan ingat siapa pelajar tersebut sebaik sahaja sebelum sesi penilaian bermula.

Nama insan hebat ini Osama, berasal dari Libya. Kenapa saya kata beliau hebat?

Pada pendapat saya dia sangat kuat dan tabah mengharungi proposal defense ini. Tercapainya dia peringkat ini dalam perjalanan pengajian PhD adalah satu kejayaan besar.

Kenapa?

Tahun lepas pada bulan November, kami dikhabarkan satu berita. Anak lelakinya berusia 4 tahun meninggal dunia kerana terjatuh dari apartment ketika sedang bermain di ruang balkoni. Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Qodar Allah.

Kemudian, pada bulan Disember, kami mendapat berita beliau di hospital untuk mendapatkan rawatan mata. Mata kirinya hampir buta kerana terlalu banyak menangis.

Apa pun, saya sangat kagum dengan semangat beliau dan pencapaian beliau. Dalam keadaannya begitu, Alhamdulillah dia berjaya menghantar proposal PhD untuk dinilai pada Semester ke 3. Alhamdulillah. Saya pasti Penyelia dan Penyelia bersama telah berikan sokongan yang sangat baik bagi menghasilkan proposal tersebut.

Sesi berjalan dengan baik. Pelajar diminta untuk membuat pembentangan selama 20-30 minit. Kemudian diikuti dengan sesi soal jawab dari satu bab ke satu bab. Kedua-dua orang penilai telah berikan komen yang sangat membina bagi memastikan kajian benar-benar memberi faedah kepada kerajaan Libya yang menaja pengajian beliau di UTM. Komen-komen yang diberikan adalah bagi memastikan seterusnya selepas sesi proposal defense ini, penyelidikan dapat dijalankan dengan lancar. Secara kesuluruhan, idea yang diutarakan dalam proposal yang dibentangkan adalah sangat baik. Sebelum sesi penilaian, kedua-dua orang penilai telah berikan keputusan masing-masing dan saya dapati ada perbezaan keputusan yang dicadangkan. Sebelum keputusan akhir dibuat pelajar diminta diletakkan di Lobby.

Setelah perbincangan dibuat, kedua-dua penilai bersetuju memberi keputusan yang sama. Alhamdulillah Dia LULUS sesi pembentangan tersebut! Namun ada pembetulan yang perlu dibuat dalam tempoh maksima 3 bulan dan perlu disemak semula oleh kedua-dua orang penilai.

Sebaik sahaja diminta pelajar dimasukkan semula ke ruang perbincangan, dan sebaik saya menyampaikan khabar bahawa beliau lulus, terus beliau menangis. Saya percaya , itu adalah air mata kegembiraan dan keterharuan. Dalam esakan itu, dia cuba bercakap namun tidak berapa difahami. Setelah tenang sedikit, “Thank you to everyone, thank you to UTM for the support”. Tanpa sempat menutup kamera, beliau terus meluru ke pintu yang boleh dilihat menerusi kamera.

Kami saksikan beliau menangis sambil memeluk isterinya. Sama-sama mereka menangis. Masyaa ALLAH. Kemudian diikuti, beliau mendokong seorang anak perempuannya. Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.

Begitulah. Kita ini hamba ALLAH yang akan sentiasa diuji. Begitu pentingnya kita memberikan sokongan pelajar yang menghadapi ujian.

Semoga ALLAH terus limpahkan kesabaran dan ketabahan kepada beliau sekeluarga serta kekuatan untuk meneruskan amanah yang diberikan kepadanya. Perjuangan beliau mendapatkan ijazah PhD ini, bukanlah pengorbanan yang sedikit! Semoga ALLAH berikan ganjaran pahala hamba-hambaNYA yang sabar.