RUMAH TUKANG KAHAR

PERLANTIKAN PUSAT KAJIAN ALAM BINA DUNIA MELAYU (KALAM) SEBAGAI PERUNDING BAGI PROJEK PEMULIHARAAN RUMAH TUKANG KAHAR

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti

NEGERI SEMBILAN, 21hb September 2019 : Pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah melantik KALAM sebagai perunding bagi projek pemuliharaan Rumah Tukang Kahar dengan nilai RM247,000.00 yang berlangsung selama empat bulan bermula 17 September 2019 sehingga 16 Januari 2020. Projek ini diketuai oleh YM PM Dr Raja Nafida Binti Raja Shahminan bersama barisan penyelidik UTM yang terdiri daripada Prof Dr Syed Ahmad Iskandar Bin Syed Ahmad Ariffin, PM Dr Mahmud Bin Mohd Jusan, Ar Noraslinda Binti Abdul Rahman, Dr Aiman Bin Mohd Rashid, Dr Fadhlina Binti Ahmad@Taufiq dan semua kakitangan KALAM. Selain itu juga, ia melibatkan kepakaran-kepakaran khusus seperti Pakar Seni Bina Vernakular, Pakar Seni Bina Melayu, Pakar Psikologi Persekitaran, Pakar Kelestarian Warisan, Arkitek, Arkitek Landskap, Pandai Kayu, Konservator serta penyelidik-penyelidik warisan seni bina. Ia dikukuhkan lagi dengan jalinan kerjasama di antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan NTQT sebagai pakar konservasi. Kepentingan projek ini bukan sahaja melibatkan kajian, malah sehingga pembinaan fizikal bangunan berfungsi sebagai artifak warisan yang akan menjadi tumpuan pelancong.

Projek pemuliharaan Rumah Tukang Kahar (RTK) ini adalah usaha murni pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan untuk menyelamatkan sejarah yang berkait rapat dengan pembinaan Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. RTK ini dibina dan diukir sendiri oleh Tukang Kahar bersama seorang rakannya sebelum pembinaan Istana Lama Seri Menanti. Kini, RTK sedang dibaikpulih di Kawasan Istana seri Menanti. Tapak asalnya adalah di tebing Sg. Seri Menanti yang menghadap ke sungai dan sawah padi di Kampung Tengah, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan. Rumah ini dimiliki oleh Kahar bin Siak Bakhi yang mewarisi kepakaran bapanya seorang tukang kayu daripada Acheh. Beliau pernah dilantik sebagai dato’ Lembaga yang pertama bagi suku Seri Lemak Pahang. Pembinaan RTK ini berlaku pada tahun 1880-an. Ruangan dalam rumah kajian terdiri daripada rumah tangga, serambi, rumah ibu, kelek anak, pelantar dan rumah dapur. Bahan binaannya daripada kayu penak, cengal dan atap rumbia. Terdapat 34 jenis ukiran pada serambi, pangkal dan hujung tiang, tangga, kepala pintu, bendul pintu, bingkai pintu, bingkai atas dinding, kasau dan juga dinding. Ukirannya bermotifkan flora, fauna, geometri dan kejadian alam (bintang dan lidah api).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *