GALERI TENUN JOHOR

Galeri 2 tingkat yang berkonsepkan bumbung limas ini dipengaruhi oleh senibina Inggeris pada keseluruhan fasad bangunan. Asimilasi daripada senibina tradisi serta seni bina moden ini menjadikan bangunan ini unik dan mempunyai nilai seni bina serta nilai sejarah yang tinggi.

Pasukan KALAM bersama Yayasan Warisan Johor di hadapan pintu masuk Galeri Tenun [11 Ogos 2022]

Galeri Tenun ini dahulunya merupakan bekas kediaman rasmi Tunku Fatimah; adinda kepada Sultan Ibrahim sebelum didiami oleh anaknya; Tunku Meriam. Banglo yang dijangkakan berusia hampir 100 tahun ini terletak di dalam kawasan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar.

Bangunan ini telah dibaik pulih sebelum dirasmikan sebagai Galeri Mawar yang menempatkan pameran untuk meraikan tokoh-tokoh wanita di negeri Johor dan juga pemeran khas seni rupa. Penubuhan Galeri Mawar diilhamkan oleh Sultanah Zanariah Tunku Ahmad; Sultanah Johor sebagai penghargaan kepada wanita-wanita yang telah menyumbang kepada pembangunan negeri yang diharapkan
menjadi motivasi kepada generasi yang akan datang. Di galeri ini menempatkan potret Sultanah Johor bermula dari tahun 1886 serta ahli keluarga DiRaja dari kalangan wanita.

Galeri Tenun Johor

KINI, bangunan ini telah diberikan nafas baru sebagai Galeri Tenun Johor yang menempatkan artifak dan sejarah tenun serta tekstil. Disini juga menempatkan cara-cara pembuatan kain tenun Johor mengikut
kaedah tradisional dengan mengekalkan kehalusan fabrik yang bermutu tinggi. Galeri ini bukan sahaja menempatkan artifak daripada kain tenun tetapi bangunan galeri ini sendiri adalah merupakan artifak penting kepada khazanah negara.

Penyelidik merasai pengalaman menenun songket
Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman.
Bangunan Galeri Tenun (sumber: YWJ)