5 PERHIASAN WANITA SELAIN DARI PAKAIAN.


Arwah ibu saya selalu mendidik dan berpesan kepada saya begini:

  1. Senyum adalah perhiasan terbaik wanita. Kata ibu, seorang wanita yang sederhana pun akan nampak sangat manis dan cantik jika selalu tersenyum. Dan seorang wanita yang cantik semulajadi akan hilang seri dan kurang digemari jika sering bermasam muka. Seperkara lagi, orang yang sering bermasam muka ini cepat tua, kata ibu.

  1. Jadi wanita yang berilmu. Ilmu adalah pakaian wanita. Orang yang miskin pun akan menjadi hebat jika berilmu. Orang berharta pun akan tetap tidak bernilai jika tiada ilmu. Pengertian ilmu ini sangatlah luas. Termasuk berilmu tentang agama, pengetahuan am, mestilah tahu serba sedikit hal semasa, perihal penjagaan diri, adab, cara bertutur dan banyak lagi. Sebab itulah, cari dan dalami ilmu setiap hari. Anda boleh baca 5 mukasurat buku setiap hari atau mendengar buku audio ketika bersiap setiap hari.

  1. Jauhi diri dari kesombongan. Orang yang paling rugi adalah orang yang suka menyombong diri. Kata arwah ibu, orang tidak suka kepada orang yang sombong. Tidak ada apa yang perlu dibanggakan dengan diri. Sebaliknya hendaklah selalu merendah diri. Contohnya, ketika bercakap dengan orang yang lebih tua, meskipun kita mungkin tidak sependapat dengan mereka, belajar untuk diamkan diri sahaja. Agar kita dapat menjaga hati dan kerana menghormati mereka. Jangan sombong dengan orang miskin juga. Jangan menunjuk dengan orang yang tidak ada.

.

  1. Bersopan santun dan berbudi bahasa. Kata ibu, kebaikan akan dikenang sepanjang masa. Namun jika sekali kita buat tidak baik kepada orang, ianya akan dikenang sampai bila-bila. Sebab itu, ibu pesan untuk bersopan santun dan berbudi bahasalah selalu. Ini juga adalah pakaian buat wanita. Ianya juga akan melambangkan anda mendapat didikan yang baik dari orang tua.

.

  1. Keimanan. Tak tahu bagaimana untuk ditulis tentang ini. Namun orang dulu-dulu punya cara tersendiri untuk mendidik anak mereka tentang agama. Ianya sangat melekat di hati. Keimanan yang asas seperti bersolat, ingat pesan ibu walaupun jauh dari mata dan tanpa pantauan dari telefon (kerana kami tidak ada telefon bimbit waktu itu yang mana ibu kita boleh telefon selalu. Anda faham bukan?)…. Keimanan asas selain solat 5 waktu, berpuasa, mesti tahu mengaji, tidak berbohong, mentaati ibubapa, mentaati suami, menjaga ukhwah dan banyak lagi. Keimanan (biarpun sedikit) wajib ada pada wanita dan ianya juga adalah pakaian wanita.

Wanita jangan terlalu sedih jika tidak mampu membeli pakaian serta perhiasan yang cantik dan mahal seperti orang lain ya. Jika anda ada 5 perkara ini, anda adalah seorang yang sangat berharga. Semua ini adalah jauh bernilai dari segala perhiasan yang bersifat material.
.

Sumber Facebook : Dzuriasikim Dzulkefli

3 Syawal 1445 Hijrah (Jumaat)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *