Syukur Alhamdulillah diberi kefahaman, peluang, kesempatan dan kesihatan untuk berkongsi dengan rakan sahabat taulan sedikit daripada cerapan dan reflek seminar Ibrah Surah Sajdah pimpinan Ustaz Syaari Abd Rahman pada 26hb Mac 2016, Karangkraf, Shah Alam. Sebarang kesilapan mohon Ustaz perbetulkan.
Betapa Allah mengingatkan kita bahwa hidup di dunia ini ibarat senafas sahaja melalui kalamNya (Surah Al-Mu’minun: 112-115, Surah As-Sajdah: 5) dan Surah Al-hajj ayat 47.
“….Sesungguhnya sehari dari hari-hari azab disisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung “(QS. Al Hajj: 47).
Bayangkan, kita ditugas untuk “out station” selama 2 hari 1 malam di suatu tempat. Semasa berada disana kita mendapatkan segala keperluan kita seperti makan minum yang baik, tempat tinggal sementara yang selesa dan selamat untuk kita dapat memyempurnakan peranan dan tanggungjawab kita disana. Sepanjang masa kita menjalankan tugas, fikiran dan ingatan kita sentiasa bersedia untuk pulang ketempat asal kita pada bila-bila masa seandainya kita ada panggilan kecemasan. Adakah kita, waktu disana sibuk dengan berbelanja habis-habisan membeli dan menghias banglo mewah untuk tinggal 2 hari satu malam sehingga melupakan tugasan, tanggungjawap dan peranan kita yang sebenar?
Begitulah juga kehidupan kita di dunia ini. Betapa malangnya kita, seandainya kita terperangkap dengan menjadi mangsa “consumer” agenda kapitalis. Membeli mengikut kehendak bukannya berdasarkan keperluan. Berapa banyak pakaian, makan minum, kenderaan dan tempat tinggal yang kita perlukan berbanding kehendak kita, yang tak pernah dapat dipuaskan? Sehingga kita gagal untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita yang sebenar untuk bergerak pantas memilih jalan kebaikan mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Allah (Surah Al-Balad: 10-17) iaitu :
- Memerdekakan hamba abdi (dalam dunia kita sekarang berapa ramai mereka yang terperangkap dengan hutang gangster yang mengacam nyawa mereka dan keluarga. Tekanan yang boleh membawa fikiran untuk membunuh diri).
- Memberi makan mereka pada hari kelaparan ( waktu musibah dan tak cukup pendapatan ).
- Memberi kepada anak yatim dari kaum kerabat.
- Meberi kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.
- Berpesan-pesan dengan kesabaran.
- Berpesan-pesan dengan kebenaran.
Berkasih sayang kerana Allah akan mendapat kasih dan rahmat Allah. Rahmat Allah dan kekuatan ikatan kasih sayang inilah yang amat kita perlukan untuk memperolehi hati yang suci bersih bebas daripada sifat dengki khianat, sombong dan ujud. Inilah formula nikmat bahagia, antara amal jariah mereka yang mampu dengan doa daripada mereka yang dibawah naungan Allah (golongan 6 diatas). Semuga kita tergolong daripada pihak kanan yang akan beroleh kecapan nikmat syurga di dunia dan nikmat surga yang sebenar di akhirat. InshaAllah. Ameen.
***Dr Normal Mat Jusoh****
Save