Sebagai ibu ayah, kita sentiasa mahu berikan yang terbaik buat anak-anak. Ini termasuklah kestabilan dari aspek kewangan. Mari amalkan 8 tip simpan duit berikut pada tahun ini dan lihat bagaimana ia membina profil kewangan yang lebih baik untuk keluarga anda.
Jika anda sudah pun mempunyai gol tahun ini untuk membina simpanan yang lebih baik untuk keluarga dan anak-anak, mungkin tip ini dapat membantu anda mencapainya.
1. Jangan berbelanja terlalu banyak di pasaraya.
Anda perasan tak? Kadangkala, walaupun sudah buat senarai barangan dapur yang mahu dibeli, anda masih lagi mengambil barangan yang tiada dalam senarai (baca: tidak diperlukan).
Bagaimana kita boleh menyimpan duit jika kita sering terlajak berbelanja? Anda nak tahu bagaimana caranya untuk menahan diri dari berbelanja lebih di pasaraya?
Jangan pergi shopping ketika lapar. Bunyi seperti pelik, tapi itu faktanya. Anda lebih mudah membeli ketika lapar, menyangka anda memerlukannya.
Selain itu, tunggu sehingga anda mempunyai 10 barangan dalam senarai, kemudian barulah pergi ke pasaraya. Anda juga dapat menjimat kos pengangkutan, minyak, tol, dan kos parking.
2. Cuba memasak di rumah berbanding makan di luar.
Ya, ini adalah antara tip simpan duit yang kita selalu dengar, tapi berapa ramai yang telah mengamalkannya?
Susun jadual harian kita dan tetapkan masa untuk memasak di rumah. Pada zaman yang serba mencabar dari segi ekonomi, makan di luar memakan kos yang tinggi.
Setiap wang yang anda jimatkan ketika memasak di rumah, simpannya dalam akaun savings. Anda pasti terkejut melihat berapa banyak simpanan anda di akhir tahun!
3. Tahan diri dari guna kad kredit.
Tip simpan duit ini amat penting diamalkan oleh mereka yang tidak berdisiplin dalam mengguna dan membuat pembayaran kad kredit.
Ya, kad kredit memberikan manfaat kepada mereka yang tahu menggunakannya. Contohnya seperti potongan diskaun istimewa, rebat, atau cash back.
Namun, buat mereka yang tidak pandai menggunakannya, ia boleh menjadi jerat kewangan yang serius.
Jadi, pada tahun ini, sorok kad kredit anda dalam peti ais (biar ia membeku keras dan tak boleh dicabut!). Jangan gunakannya melainkan anda benar-benar terdesak.
Buat bayaran secara cash, ia lebih mudah untuk membuatkan anda berjimat kerana anda nampak cash anda di depan mata.
4. Buat simpanan kecil-kecilan setiap hari.
Mungkin ada antara kita yang merasa menyimpan duit sebanyak RM300 atau RM400 sebulan itu terlalu tinggi. Ia sukar dilakukan.
Jadi, antara tip simpan duit bijak yang boleh anda amalkan pada tahun ini adalah dengan menyimpan secara harian.
Mungkin anda boleh menyimpan sehari RM1 atau RM2 dalam tabung. Pada hujung bulan, anda pasti tersenyum melihat simpanan cash yang ada.
Masukkan ia dalam akaun simpanan atau Tabung Haji pada hujung bulan.
5. Tulis senarai kewangan.
Ramai antara kita hanya berfikir tentang menyimpan wang tetapi sedikit yang mahu benar-benar menulis senarai gol kewangan mereka.
Dengan membuat senarai, lebih mudah dan praktikal untuk anda mengikuti setiap to-do list tersebut. Contohnya, tulis dalam buku nota anda:
• Saya mahu menyimpan RM5 setiap hari dalam tabung.
• Setiap ringgit yang saya jimat kerana tidak beli Starbuck, saya akan simpan dalam tabung
Saya akan membuka fixed deposit akaun dan tolak RM100 daripada gaji bulanan secara automatik.
• Saya akan simpan duit dividen ASB, bayar zakat dan hanya belanjakan 5% sebagai reward kepada diri.
Dengan senarai yang jelas sebegini, anda boleh “tick” setiap to-do yang berjaya dijalankan. Anda pasti berasa puas!
6. Jual apa yang anda tidak perlu
Cuba lihat sekeliling rumah anda. Ada banyak barangan yang anda tidak lagi guna dan perlukan. Jangan buang, sebaliknya jual dan simpan wang tersebut dalam tabung atau akaun simpanan.
Barangan mainan anak, stroller lama, baju lama yang masih elok, barangan elektronik yang tidak digunakan – ini semua barangan berharga yang boleh ditukar kepada cash!
7. Jangan buang barangan yang masih boleh digunakan.
Lagi satu tip simpan duit adalah dengan mengelak daripada membeli barangan yang sama secara berulang-ulang.
Contohnya seperti, beg Ziploc, bekas plastik, peralatan dapur, dan juga uncang teh.
Semua ini boleh digunakan semula. Anda hanya perlu mencucinya sahaja. Setiap ringgit yang dijimatkan, anda simpan dalam tabung.
8. Tukar gaya hidup.
Mungkin ada antara kita suka mengamalkan gaya hidup yang mahal. Apa yang dimaksudkan dengan gaya hidup mahal?
Antaranya adalah seperti berikut dan kami berikan juga alternatif lain.
• Minum kopi mahal – tukar amalan membeli kopi franchis yang mahal kepada kopi segar yang anda brew sendiri di rumah.
• Aktiviti di shopping mall – tukar amalan berbelanja di shopping mall di hujung minggu kepada melawat taman atau tempat aktiviti percuma.
• Percutian yang kerap – percutian memang diperlukan tetapi jika terlampau kerap, anda mungkin tidak dapat berjimat dan menyimpan.
• Amalkan “staycation” iaitu berehat dan melakukan aktiviti kegemaran di rumah
Setiap pengorbanan dan pertukaran gaya hidup pasti membantu anda membina profil kewangan yang lebih stabil dan mantap untuk ahli keluarga anda.
Mari amalkan tip simpan duit di atas dan selamat berjaya!
Credit : theAsianparent
Speak Your Mind