Kawal marah dan baran dengan 6 sunnah Nabi Muhammad SAW

DALAM sebuah hadis masyhur, Nabi Muhammad SAW berulang kali pesan supaya kita jangan marah.

Sesungguhnya, ia bukan sekadar peringatan semata-mata, tetapi perlu disematkan dalam ingatan setiap masa.

Bukan apa, apabila seseorang dalam keadaan marah dan baran, apa sahaja boleh jadi. Malah, ada yang bertindak di luar kawalan.

Lihat sahaja contoh yang berlaku di sekeliling dan kejadian yang menggemparkan negara baru-baru ini. Ada nyawa yang melayang dek kerana diri dikuasai perasaan amarah tersebut.

Seorang pengguna akaun platform X, @Muzuzxck berkongsikan tip dari sunnah Nabi Muhammad SAW untuk kita mengawal perasaan marah dan baran.

Berikut perinciannya:

1. Duduk jika sedang berdiri, baring ketika sedang duduk.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang daripada kalian marah dan ia dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

2. Mengambil wuduk.

Ini kerana perasaan amarah itu sebenarnya daripada syaitan, sementelah makhluk tersebut dicipta pula dari api. Maka cara memadamkannya adalah juga dengan air.

‘Atiyyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan dari api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah, hendaklah berwuduk.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3. Usah buat keputusan ketika dikuasai amarah.

Ia penting kerana kerasionalan seseorang mungkin terjejas akibat emosi dan amarah yang meluap-luap.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.” (Sahih Muslim)

4. Diam.

Apabila seseorang marah, perkataan yang meluncur keluar dari bibirnya boleh merugikan diri. Demikian kalam yang dinukilkan dari kitab al-Adab al-Mufrad karangan Imam al-Bukhari.

5. Kurangkan melayari media sosial.

Perkara itu kelihatan remeh, namun ketahuilah impaknya begitu dahsyat sekali. Masakan tidak, ia boleh menyemarakkan api kemarahan yang lebih membara jika kita banyak melihat kemarahan yang lain.

6. Banyakkan beristighfar dan berselawat.

Dengan cara itu, ia berupaya membantu menenangkan jiwa sedikit demi sedikit.

Dalam pada itu, Muzuza yang juga penulis buku kerohanian menegaskan, sikap panas baran boleh membunuh kita dari dalam.

“Maka tenangkanlah diri masing-masing,” coretnya dalam hantaran di akaun media sosialnya.

Sinar Harian

Benarkah penghuni syurga ramai orang miskin?

DILABEL miskin membuatkan diri terasa amat terhina dan serba kekurangan. Mengertilah, itu hanya pandangan kita dan sebilangan manusia sahaja.

Miskin di dunia, tidak bererti kita juga daif di akhirat. Ketahuilah, penilaian di sisi ALLAH SWT tidak sama insan biasa. Bukan kemiskinan yang dipandang oleh-NYA, tetapi kesabaran kita menerimanya, amalan baik dan akhlak terpuji yang menghiasi diri.

Usah bersedih dengan ujian ALLAH buat kita di dunia. Sebaliknya, berlapang dada dan bersabarlah mendepaninya.

Khabar gembira menanti buat mereka yang bersabar dengan ketentuan-NYA.

Menurut pendakwah Ustaz Addien Abdul Kadir, kebanyakan penghuni syurga ialah orang miskin, lemah dan menderita, tetapi mereka beriman dan bersabar ketika hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku pernah melihat syurga. Kebanyakan penghuninya adalah orang miskin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sementara itu, ujar beliau, orang kaya beriman akan disoal panjang dan tertahan 500 tahun lamanya sebelum masuk syurga.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang miskin yang beriman masuk syurga setengah hari lebih awal, bersamaan 500 tahun.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustaz Addien yang juga penulis buku kerohanian, susah atau derita seseorang di dunia, tetapi andai mereka sabar menerimanya, maka semakin luas dan cepat jalan mereka ke syurga jika beriman.

“Semakin kaya dan banyak harta di dunia, maka semakin panjang seseorang akan disoal serta lambat masuk syurga walaupun mereka beriman,” katanya sebagaimana dipetik menerusi platform X miliknya.

Seperkara lagi, jangan pandang remeh dengan orang miskin. Itu hanya kekurangan ‘kecil’ sahaja kerana doa orang miskin sebenarnya berkat.

Demikian hantaran yang dikongsikan dalam laman sosial Facebook Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Dalam sebuah hadis daripada Harits bin Wahb RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku beritahu pada kalian siapakah ahli syurga itu? Mereka itu adalah setiap orang yang lemah dan dianggap lemah oleh manusia, tetapi jika ia bersumpah atas nama ALLAH, pastilah ALLAH mengabulkan apa yang disumpahkannya.

“Mahukah aku beritahu kepada kalian siapakah ahli neraka itu? Mereka itu adalah setiap orang yang keras, bakhil dan gemar mengumpulkan harta lagi sombong.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Syarh Sahih Muslim: “Orang yang lemah yang dimaksudkan adalah orang yang diremehkan orang lain kerana kekurangan di dunia seperti miskin. Al-Qadhi menyatakan, yang dimaksudkan orang yang lemah adalah orang yang lembut hatinya dan tawaduk.”

Justeru, usahlah kita memandang hina dengan kemiskinan dan orang miskin kerana barangkali mereka lebih baik daripada kita.

Kepada mereka yang diuji sedemikian rupa, bersabar dan berikhtiarlah dalam merentas kehidupan dunia yang fana.

Sinar Harian

Aib orang sama mahalnya dengan air muka sendiri

JARI-JEMARI begitu laju menekan butang huruf di skrin telefon. Dek kerana tidak mahu dikatakan ketinggalan isu paling terkini, otak ligat memikirkan ayat paling hebat, berbaur sedikit sindiran dan kecaman tatkala membuat hantaran di media sosial.

Tanpa sedar saat kita meninggalkan coretan itu, rupanya ‘terlondeh‘ aib orang lain. Walaupun kadangkala bukanlah disengajakan, namun ‘kerosakan‘ sudah pun dibuat.

Situasi itulah yang berlaku pada era milenial ketika media sosial memuncak peranannya.

Bukan hanya jari yang menaip, mulut juga tidak kurang juga hebat. Cepat sahaja bibir mengeluarkan ungkapan yang membuka kejelikan orang lain, terutama ketika membuat hantaran dalam versi video pendek.

Hakikatnya, aib orang sama mahalnya dengan cela sendiri. Andai kita mampu mengunci rapat keburukan diri, mengapa tidak air muka orang lain?

Namun, adakah memang semua aib orang patut ditutup walaupun melibatkan perkara jenayah? Bagaimana pula jika kita sekadar meluahkan perasaan kepada seseorang hingga membuka keburukan orang lain?

Sedar ia berdosa

Pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjelaskan, menyebarkan aib orang lain secara umumnya dilarang keras dalam Islam.

Jelas beliau, berdosa hukumnya apabila kita menceritakan cela orang kepada khalayak walaupun benar apa yang didedahkan.

Ia termasuklah apabila kita memperkatakan tentang aib dari sudut fizikal seseorang seperti saiz badan, kecacatan dan seumpamanya serta melibatkan perbuatan maksiat yang dilakukan seseorang.

“Ini bermakna kita telah mengumpat, andai apa yang diceritakan itu benar. Kalau tidak betul pula, fitnah namanya.

“Ingatlah, mengumpat adalah perbuatan yang dibenci si empunya diri andai dia mendengarnya,“ katanya baru-baru ini.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka ALLAH akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka ALLAH akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam, maka ALLAH akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. ALLAH akan membantu hamba selagi mana hamba membantu saudaranya.“ (Hadis Riwayat Muslim)

Jelas Mohamad Hadi, peri pentingnya umat Islam dalam menjaga maruah orang lain sehingga jika ingin memberi teguran pun dilakukan dengan penuh beradab.

Perkara itu boleh dilihat apabila Ibn Rajab dalam kitabnya, Jami‘ul Ulum Wal Hikam menukilkan bahawa Imam Syafie menyatakan: “Barang siapa yang menasihati saudaranya dengan menjaga kerahsiaannya bererti dia telah menasihatinya. Sesiapa yang menasihati tanpa menjaga kerahsiaannya, bererti dia telah membuka aib dan mengkhianatinya.“

Pun demikian, dalam konteks tertentu, ujar penceramah itu, kekurangan tersebut boleh diungkapkan dengan syarat-syarat ketat.

Misalnya andai seseorang ingin meminta pendapat orang yang arif, terangnya.

“Contohnya untuk memulihkan hubungan suami dan isteri, tiada masalah untuk kita ceritakan kepada kaunselor dan seumpamanya, tetapi jika ia sengaja dilakukan (menyebarkan kepada orang yang tidak berkenaan), perkara itu dilarang sama sekali.

“Begitu juga halnya dari sudut jenayah. Umpamanya, kita menyaksikan seseorang itu membunuh atau mencuri, ini jenayah dan ada hukumnya dalam Islam. Jadi kita kena beritahu pihak berautoriti bahawa individu berkenaan seorang pencuri, perompak atau melakukan perbuatan yang mencabuli hak orang lain dan diri kita untuk mencegahnya daripada terus menjadi begitu,“ katanya.

Tegur vs buka aib

Bagaimana pula jika seseorang meluahkan perasaan kepada orang lain yang dipercayainya hingga segala keburukan individu yang membuat dirinya tertekan habis terlondeh?

Menjawab persoalan itu, Mohamad Hadi menjelaskan, sekiranya kita menceritakannya kerana mahu mendapatkan buah fikirannya tentang situasi dihadapinya kepada orang yang dipercayai, maka ia dibenarkan.

“Apa yang menjadi masalahnya adalah kalau seseorang itu dengan ‘saja-saja‘ bercerita tanpa sebab dan tujuannya. Setakat meluahkan perasaan sahaja, itu tidak boleh,“ tegasnya.

Andai seseorang sekadar memaklumkan sisi buruk individu tertentu supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa, agamawan itu menjelaskan, ia dibenarkan.

“Mungkin dia mengungkapkan si polan itu seorang penagih dadah, ‘scammer‘ dan sebagainya supaya individu yang diberitahu itu berjaga-jaga, itu memang kena didedahkan kerana melibatkan orang ramai supaya mereka tidak ditipu, dianiaya dan sebagainya,“ katanya.

Kepada satu soalan, Mohamad Hadi menjawab: “Kalau seseorang lakukan maksiat secara terang-terangan dan semua orang tahu, maka kita boleh menegur juga dengan cara sedemikian. Ini kerana ada segelintir orang tidak tahu apa yang dibuat itu satu kesalahan.

“Apabila kita berbuat demikian, orang akan berwaspada dan tidak terpengaruh. Misalnya perkara syirik seperti ajaran Si Hulk yang bercanggah daripada agama Islam.

“Namun, andai perkara (aib) itu dibuat secara sembunyi tanpa diketahui orang lain, cuma beberapa orang saja yang tahu, maka tidak perlulah kita tegur di media sosial.“

Sesungguhnya, benarlah aib orang sama mahalnya dengan cela sendiri, ungkapnya.

“Jika kita enggan aib diri dijaja, orang lain pun begitu. Bahkan, ALLAH akan melindungi aib kita di dunia dan akhirat andai kita menutup cela orang,“ ujarnya.

Sinar Harian

Ramai ‘sangkut‘ di akhirat kerana dosa sesama manusia

RAMAI manusia ‘sangkut‘ di akhirat bukan disebabkan dosa dengan ALLAH SWT, tetapi melibatkan urusan dosa sesama manusia.

Perbuatan itu termasuklah dosa menjaja aib orang lain yang boleh menjadikan seseorang tergolong dalam kelompok muflis pada hari akhirat.

Pendakwah bebas, Ahmad Izzhar Ahmad Nazri atau lebih dikenali sebagai Da‘i Izzhar menjelaskan, perkara itu ada disebutkan jelas menerusi hadis masyhur.

Rasulullah SAW pernah bertanyakan sahabatnya: “Tahukah kamu sekalian, siapakah orang muflis itu?“ Sahabat menjawab: “Orang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda.“Baginda kemudian membalas: “Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat kelak datang dengan ibadah solat, puasa dan zakat, tetapi ia dulu selalu mencaci-maki orang ini, memfitnah orang itu, memakan harta orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini. Maka diberikan kepada setiap orang tadi daripada pahala kebaikannya…“ (Hadis Riwayat Muslim)

“Bayangkan, semua pahala amal ibadah dan kebaikan habis begitu sahaja diberikan kepada orang yang diumpat, dicaci dan pernah dibuka aibnya.

“Akhirnya, dia pergi akhirat tanpa sebarang pahala amalan. Umpama tidak buat sebarang amalan pun sebelum ini. Sebab itulah kita sentiasa beringat agar diri tidak tergolong dalam kelompok orang yang muflis di akhirat asbab membuka cela dan pekung manusia lain,“.

Lantaran itu, motivator tersebut mengingatkan kita agar tidak sewenang-wenangnya membuka keaiban orang lain termasuk di media sosial masing-masing.

Memetik kata-kata gurunya, Maulana Ahmad Lutfi Muharam, secara asasnya mendedahkan aib itu haram dan dilarang dalam Islam kecuali dengan beberapa syarat yang ketat.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.“ (Hadis Riwayat Muslim) Dalam satu riwayat lain daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.“ (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Da‘i Izzhar, andai ia difahami dan dihayati secara mendalam, pasti kita akan berkira-kira atau goyah untuk menjatuhkan air muka orang lain.

“Pada hari akhirat nanti, semua amalan kita akan ditayangkan di padang mahsyar. Semua orang boleh lihat termasuk pasangan, anak-anak dan ibu bapa kita. Pasti kita risau semua orang tahu akan perbuatan kita di dunia dan dosa dilakukan di belakang manusia.

“Sebab itulah ALLAH tawarkan kepada sesiapa yang menutup aib saudaranya, maka segala cela dirinya juga akan terpelihara sama ada di rumah apalagi di akhirat nanti.

“Seperkara lagi, suka saya ingatkan, sesiapa yang mencari-cari aib orang lain sebenarnya bukanlah menjaga tepi kain orang, tetapi seolah-olah dia sengaja menyelak kain orang demi mencari aib saudaranya yang lain. ALLAH akan buka aibnya nanti,“ tegasnya.

Audit diri

Benar, untuk menjadi baik bukanlah suatu yang mudah dan memerlukan mujahadah yang tinggi.

Bagaimanapun, Da‘i Izzhar memberikan kata-kata peringatan tegas yang menggentarkan sanubari.

Katanya, yakinlah bahawa setiap huruf yang dilontarkan dari bibir mahupun tulisan mahupun diterjemahkan oleh tindak-tanduk kita akan diaudit oleh ALLAH SWT.

“Andai seseorang percaya dengannya, kita akan gentar untuk mengeluarkan kata-kata mahupun mencoretkan komen mahupun tulisan,“ ujarnya.

Ketahuilah bahawa manusia yang banyak menyakiti ialah orang yang disakiti, kata penceramah bebas itu mengulas dari konteks psikologi.

Mengertilah, individu yang banyak melukakan orang lain ialah orang yang sebenarnya banyak terluka, terangnya.

“Mungkin dia sakit, secara mental atau emosi. Itulah caranya untuk mereka meluahkan kesakitan dan emosi iaitu menerusi media sosial.

“Bila datang saja isu-isu tular, dia komen. Bukan komen jadi punca utama, tetapi disebabkan oleh hati yang terlalu sakit, masih belum berdamai dengan takdir atau mungkin juga dirinya pernah difitnah dulu.

“Faktor hati banyak menyebabkan orang menyakiti seseorang yang lain,“ katanya.

Sibukkan diri dengan ALLAH Justeru, beliau mengingatkan agar kita sentiasa memeriksa hati masing-masing agar tidak jadi individu sedemikian.

“Antara tanda hati seseorang sakit itu apabila kita menyakitkan orang lain. Bagaimana pula tanda hati yang sihat? Kita suka beri kebaikan dan membuatkan orang lain rasa yang baik,“ ujarnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Da‘i Izzhar menjelaskan beberapa penyebab yang memicu keserabutan dalam hidup seseorang hingga menggugat ketenangan.

Jelas beliau, puncanya adalah disebabkan kita terlalu sibuk tentang orang lain dan mengaturkan hidup mereka.

Sepatutnya, beliau mengingatkan agar kita menyibukkan diri tentang mengenal dan mendekati ALLAH SWT supaya dirinya sentiasa dipandang di sisi-NYA.

“Sesiapa yang berbuat demikian, hatinya akan sihat dan kurang sesak. Malah, dirinya akan banyak berdamai dengan takdir,“ ungkapnya.

Sinar Harian

Sebut ungkapan yang baik dikira sedekah

JIKA semua sedar dan tahu bahawa ungkapan yang baik itu ditulis sebagai sedekah oleh ALLAH SWT, pasti ramai berbuat demikian.

Tiada gunanya kita menggunakan perkataan kesat dan menyakitkan hati serta telinga kepada orang lain. Bukan sahaja menimbulkan kemarahan, tetapi akhirnya bibit pergaduhan ataupun bermasam muka mula terjadi.

Lebih baik jika kita menuturkan perkataan baik. Sejuk hati mendengarnya, malah mendamaikan jiwa kita juga.

Ketahuilah bahawa mengungkapkan perkataan yang baik adalah sedekah disebutkan banyak dalam hadis.

Antaranya Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perkataan yang baik adalah sedekah dan setiap langkah yang melangkahnya kepada masjid adalah sedekah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibn Khuzaimah dan lain-lain)

Menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus, maksud ‘perkataan yang baik adalah sedekah’ ialah Rasulullah SAW telah menyamakan perbuatan tersebut dengan perilaku berinfak.

“Maka seperti itulah juga apabila kita mengucapkan ungkapan baik kepada orang lain. Gembiralah hati orang yang mendengarnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Penceramah terkemuka itu kemudian menukilkan pandangan Imam al-Hafiz al-Qastallani yang menyatakan: “Bermula erti perkataan yang baik itu sedekah seperti memberikan harta kerana sesungguhnya memberikan seseorang itu harta akan menggembirakan hati orang yang diberi itu dan hilanglah kegusaran di dalam hatinya. Dan seperti demikian itulah perkataan yang baik sebagaimana yang telah berkatanya oleh Imam Ibn Bathhal.” (Kitab Irsyad as-Sari)

Bukan itu sahaja, ujar Ustaz Azhar Idrus lagi, pujian dan zikir serta menyuruh yang makruf dan melarang kemungkaran juga dikira sebagai perkataan baik yang dianggap sebagai sedekah.

“Ini bermakna, seseorang bukan sekadar mendapat pahala sedekah dengan mengucapkan perkataan yang baik, tetapi juga apabila melakukan perilaku kebaikan,” ungkapnya.

Justeru, marilah sama-sama kita lakukan perkara baik. Walaupun kecil pada mata orang lain, tetapi besar nilainya di sisi ALLAH SWT.

Sinar Harian

Amalkan 3 fiqh solat ini ketika ruang sesak dan ramai orang

MESKIPUN cuti sekolah hanya berbaki lima hari lagi, namun suasana lebuh raya masih sibuk dengan kenderaan bertali arus.

Barangkali ada yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung mahupun pergi bercuti. Tambahan pula sudah hujung tahun, cuti tahunan yang tersisa dimanfaatkan sepenuhnya bersama insan tersayang.

Tidak hairanlah jika setiap kali berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah mahupun surau yang disediakan di stesen minyak, suasana begitu sesak hingga sukar untuk berwuduk dan terpaksa menunggu giliran untuk menunaikan solat.

Bagaimanapun, pendakwah Ustaz Addien Abdul Kadir menyenaraikan tiga fiqh solat yang boleh kita amalkan ketika ‘terperangkap’ di tempat solat yang ramai orang di laman sosial platform X miliknya.

Jelas beliau yang juga penulis buku kerohanian itu, perkara yang dikongsikannya melibatkan fiqh awlawiyyat (keutamaan) jika orang ramai atau sesak.

Berikut perinciannya:

1. Melakukan wuduk ringan.

Ketika berwuduk, tiga kali basuhan hukumnya adalah sunat, bukan wajib. Biasakan ambil wuduk secara ringan terutama bila bermusafir di tempat sesak atau kurang air.

2. Usah panjangkan bacaan solat.

Apatah lagi andai seseorang itu menjadi imam. Janganlah waktu ‘sendat’ sebegitu kita mahu baca surah panjang atau flex (pamerkan) suara sedap.

Tidak kena tempat dan keadaan. Sebaiknya, ringkaskanlah solat supaya orang lain dapat menunaikan kewajipan masing-masing.

3. Zikir selepas solat dan doa merupakan perkara sunat.

Kalaulah nampak orang ramai menunggu, sebaiknya terus bangun dan beri laluan untuk orang lain solat. Andai mahu berzikir atau berdoa, biar ringkas sahaja.

Jangan pula pada waktu itulah hendak berzikir, bermunajat mahupun berdoa panjang. Lebih-lebih lagi ketika akhir waktu solat.

Mengertilah, zikir dan doa itu sunat, tetapi sengaja membuat orang lain terlepas waktu solat itu haram!

Demikian perkongsian Ustaz Addien tentang sebahagian contoh aplikasi yang disebut sebagai fiqh awlawiyyat iaitu mengutamakan prioriti terutama apabila melibatkan maslahat orang ramai.

“Kalau kita faham dan amalkan, akan terlihat nilai cerdik dalam beragama. Sama-sama kita cuba amalkan,” pesannya.

Sinar Harian

‘Pandai siang ikan atau tidak, ketaatan kepada ALLAH dan rasul serta suami lebih utama’

PENUH garis masa (timeline) di media sosial bercerita perihal siang ikan dalam beberapa hari ini. Pelbagai komen-komen ditinggalkan oleh warga siber.

Ada yang mengecam, tidak kurang juga yang memandangnya dari sudut positif dan tenang.

Sedarlah setiap orang ada kekurangan masing-masing. Tiada siapa yang sempurna sepenuhnya. Pasti ada ‘kecacatan’ di mana-mana.

Sebab itulah manusia dijadikan berpasang-pasangan dan dianjurkan berkahwin yang menjadi sunnah Rasulullah SAW. Bukan sahaja untuk berkasih sayang dan memenuhi tuntutan fitrah, tetapi juga saling melengkapi antara satu sama lain.

Baik kaum Adam mahupun Hawa, raikanlah perbezaan masing-masing biarpun mungkin salah seorang atau kedua-dua mereka tidak pandai siang ikan.

Dalam hidup berumah tangga, pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi menjelaskan, walaupun beras di dapur dibeli oleh suami, tetapi isteri yang melakukan tugas-tugas memasak.

“Kena saling melengkapi dan memberi sokongan antara satu sama lain,” kongsinya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Penceramah itu kemudian berkongsikan beberapa pesanan al-Quran berkaitan suami dan isteri untuk sama-sama kita ambil peringatan serta amalkan.

Berikut penjelasan beliau:

1. Seorang isteri mintalah ampun daripada suami. Pasangan pula maafkanlah.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka ALLAH akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah at-Taghabun, ayat 14)

2. Taatlah perintah suami agar melabuhkan pakaian.

Itulah yang lebih sesuai dan terbaik untuk wanita beriman.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH adalah MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

3. Taat perintah suami selagi tidak bertentangan dengan perintah ALLAH SWT dan rasul.

Kepada para suami pula, didiklah isteri masing-masing dengan penuh hikmah dan jangan menyusahkan pasangan.

Firman ALLAH SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan ALLAH dan pertolongan-NYA. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH MAHA TINGGI, lagi MAHA BESAR.” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

Demikian perkongsian Ustaz Hanafi untuk sama-sama kita ambil ibrah daripadanya.

Ujar beliau, kunci kebahagiaan dalam rumah tangga adalah iman dan takwa kepada ALLAH SWT.

“Di samping itu, saling memahami, menghormati dan tolak ansur antara suami isteri.

“Tak penting pun pandai siang ikan atau tidak. Apa yang utama adalah ketaatan kepada ALLAH dan rasul serta suami tercinta,” ungkapnya.

Sinar Harian

Refleksi hujung tahun 2023

BERBAKI dua hari untuk kita melangkah ke tahun 2024. Sudah sampai masanya kita sedar dan melakukan audit terhadap diri sendiri.

Mungkin kedengaran agak klise lantaran ambang tahun baharu sering dikaitkan dengan pembaharuan azam. Namun sedar atau tidak, dengan melakukan refleksi dosa silam, ia akan membuatkan kita memasang iltizam untuk menjadi Muslim yang baik.

Malah, pendekatan itu merupakan ‘kunci’ untuk kita mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, menambah baik keperibadian serta keterampilan dari segi akhlak, perlakuan dan pertuturan.

Memang lumrah sifat manusia tidak sempurna. Setidak-tidaknya kita saling berpesan dengan insan sekeliling untuk menjadi Muslim yang lebih bagus dari hari ke hari.

Marilah kita mengulang kaji dan mengenal dosa kecil serta besar agar tidak kembali terjebak melakukan perkara tidak sepatutnya untuk membuka lembaran baharu pada tahun baru nanti.

Benarkah dosa kecil tidak boleh dipandang remeh kerana ia berupaya menjadi dosa besar? Bagaimana cara terbaik menghapuskan noda silam?

Menyalahi perintah ALLAH

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

Beliau memulakan kalamnya dengan mengupas maksud dosa menurut perspektif Islam.

Jelas beliau, dosa adalah suatu keadaan yang menyalahi perintah ALLAH SWT secara terang sama ada ia suruhan untuk melakukannya ataupun meninggalkannya.

“Ia dikelaskan kepada dua kategori iaitu dosa kecil dan besar. Dosa kecil merupakan amalan dilakukan yang dilarang oleh ALLAH, tetapi tidak disertai ugutan dan ancaman daripada-NYA, manakala dosa besar menurut Ibn Abbas, ALLAH akan akhiri dengan ancaman neraka, kemurkaan, laknat atau azab seksa.

“Imam Hassan al-Basri pula menyatakan, dosa besar adalah setiap dosa yang ALLAH nisbahkan dengan api neraka,” terangnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada huraian mahupun keterangan jelas tentang pemisahan antara dosa kecil dan besar.

Namun katanya, terdapat hadis yang memerihalkan tentang dosa yang membinasakan dan pandangan ulama berkaitan dosa-dosa besar.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ia? Rasulullah menjawab: Syirik terhadap ALLAH, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh ALLAH kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari ketika peperangan, menuduh wanita baik-baik berzina.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Empat daripadanya melibatkan perkara terletak dalam hati iaitu menyekutukan ALLAH dengan sesuatu, berterusan mengekalkan perbuatan maksiat, berputus asa daripada rahmat ALLAH dan berasa aman daripada seksaan-NYA.

“Pada lisan juga terdapat empat perkara iaitu penyaksian dusta dan batil, menuduh orang yang mukhsan (tidak berzina) melakukan zina, melakukan perbuatan sihir dan sumpah palsu. Tiga lagi melibatkan dosa pada perut (minum minuman keras yang memabukkan, memakan harta anak yatim secara zalim dan memakan harta riba

sedangkan diri mengetahuinya).

“Kemudian ia diikuti dengan masing-masing dua berkaitan dosa pada kemaluan (zina dan liwat) dan kedua tangannya (membunuh tanpa sebab dibenarkan syarak dan mencuri); dosa kaki (melarikan diri dari medan perang) serta seluruh badannya (bersikap biadap terhadap kedua orang tua),” jelasnya.

Usah normalisasi dosa

Mungkin ada sesetengah perbuatan dosa dirasakan kecil, namun Noor Rashidah mengingatkan agar tidak menormalisasikan dosa.

Mengertilah, perbuatan itu dilarang keras dalam agama Islam walaupun apa jua alasannya. Lebih-lebih lagi jika ia jelas bertentangan dengan syarak serta dilarang ALLAH.

“Ketahuilah bahawa dosa yang dilakukan menjadi penyebab turunnya azab ALLAH.

Kepada satu soalan beliau menjelaskan, dosa kecil boleh jadi dosa besar.

Katanya, antara punca-puncanya menurut Imam al-Ghazali ialah seseorang berterusan melakukan dosa kecil, menganggap remeh akan dosa yang dilakukan, bergembira atas maksiat yang dibuat serta memandang ringan kepada tindakan tegas ALLAH terhadap perlakuan tersebut.

“Selain itu, dosa kecil berubah kepada besar apabila seseorang dengan sengaja memperlihatkan dosanya kepada umum. Sudahlah berbuat kesalahan, malah berbangga pula mempertontonkan di khalayak.

“Begitu juga dengan seorang alim yang ramai pengikut. Andai mereka melakukan dosa dan diikuti oleh pengikutnya, dosa kecil tadi boleh bertukar sebaliknya,” katanya.

Sempena tahun baharu 2024 yang bakal membuka tirai Isnin ini, Noor

Rashidah mengingatkan kita agar sentiasa bermuhasabah diri dan bertaubat daripada dosa dilakukan sama ada secara sedar atau tidak.

Sinar Harian

Mencari ilmu yang benar

SECARA kasar, ilmu sekarang nampak banyak dan luas. Kolej dan universiti tumbuh di mana-mana. Perisian internet yang menyediakan segala macam maklumat juga wujud dengan banyaknya.

Malah salah satu perisian internet canggih terkini, Chat-GPT telah dinobatkan oleh jurnal akademik, Nature, sebagai salah satu daripada Scientist of the Yearnya. Ini kali pertama anugerah Scientist of the Year jurnal Nature ini dianugerahkan kepada entiti bukan-manusia.

Logiknya, dengan ilmu yang banyak begini, manusia tentulah menjadi semakin baik, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang mempunyai peluang akses yang luas kepada sumber ilmu daripada kolej, universiti dan perisian-perisian internet tersebut. Malangnya ini tidak benar-benar berlaku.

Kenapakah begitu?

Jawapannya berkisar kepada tiga perkara. Pertama, hakikat ilmu. Kedua, sifat ilmu. Dan ketiga, kaedah penyampaian ilmu tersebut.

Dalam perkara pertama, pada hakikatnya ilmu yang ada sekarang adalah sangat sedikit dalam nisbah ilmu ALLAH SWT.

ALLAH berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun KAMI tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Begitulah banyaknya ilmu ALLAH

llmu yang ada pada manusia sekarang dan sebelum ini pun, hanyalah sekadar ilmu yang dikurniakan ALLAH sahaja. Ini diakui oleh para Malaikat, seperti yang difirmankan sendiri oleh ALLAH dalam firman-NYA yang bermaksud: “Malaikat itu menjawab: “MAHA SUCI ENGKAU (Ya ALLAH)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang ENGKAU ajarkan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU jualah yang MAHA MENGETAHUI, lagi MAHA BIJAKSANA.” (Surah al-Baqarah, ayat 32)

Bawa ke syurga

Top of Form

Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!

Bottom of Form

Manusia kena sentiasa menerima hakikat akan betapa sedikitnya ilmu mereka, walau nampak sehebat mana pun, agar mereka tidak takbur dan sombong dengan ilmunya.

Jika tidak, ilmu yang mereka miliki itu bukanlah ilmu yang benar. Ilmu tersebut tidak membina sifat-sifat terpuji (mahmudah) dan tidak melindungi mereka daripada sifat-sifat terkeji (mazmumah). Ia tidak membawa mereka ke syurga dan tidak dapat menyelamatkan mereka daripada neraka.

SEHEBAT mana pun seseorang, jangan kedekut dengan ilmu yang dimiliki.

Hakikat sedikitnya ilmu ini diperkuatkan lagi dengan perkara kedua, yakni sifat ilmu itu sendiri. Ilmu yang nampak berlambak itu tidak semestinya semuanya boleh dikatakan ilmu. Ia mungkin bersifat pengetahuan atau maklumat sahaja. Ia belum tentu boleh dikatakan ilmu yang benar.

Ilmu yang benar ialah ilmu tentang kebenaran, yang menghasilkan pemikiran, tindakan dan amalan yang benar mengikut kehendak ALLAH SWT dan Rasulullah SAW, serta melahirkan manusia yang memiliki rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam terhadap ALLAH. Jika ilmu tersebut tidak memenuhi kriteria ini, maka ia bukan ilmu yang benar.

Ilmu dan kebenaran merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Ilmu adalah proses untuk sampai kepada kebenaran, manakala kebenaran adalah matlamatnya. Ilmu itu adalah alat (means), bukan matlamat (an end in itself).

Dengan matlamat kebenaranlah maka manusia boleh mencapai matlamat akhir, yakni keredaan ALLAH (mardhatillah).

Kata-kata seperti “ilmu untuk kepentingan ilmu” adalah tidak benar, apatah lagi ilmu untuk tujuan yang sia-sia.

Jaga adab, berkat hidup

Jika ilmu benar begini dapat dikuasai oleh manusia, maka tidak adalah lagi perbuatan sia-sia, kelakuan jahat, hiburan melalaikan, trend negatif di media sosial dan segala macam sikap yang merosakkan diri, masyarakat dan negara. Ilmu benar begini secara dinamik mampu mencorak peribadi baik manusia, lebih daripada yang mampu dicorakkan oleh peraturan, undang-undang, penguatkuasaan dan hukuman.

Bagaimanakah mendapat ilmu yang benar begini?

Jawapannya berkait rapat dengan faktor ketiga, yakni kaedah penyampaian ilmu. Sekarang kaedah penyampaian ilmu dilakukan dengan pelbagai cara, daripada secara bersemuka (face to face, f2f) hinggalah kepada secara maya (online).

Walau apapun cara, satu elemen yang menentukan dapat tidaknya ilmu yang benar ialah adab antara guru dengan murid. Perkara

ini mudah dilakukan dalam kaedah penyampaian ilmu secara bersemuka, tetapi dalam kaedah penyampaian ilmu secara

maya, bagaimanakah adab ini boleh dipertahan dan diamalkan?

Malah dalam kes mempelajari sesuatu melalui perisian seperti Google, Wikipedia, Chat-GPT dan sebagainya, siapakah guru sebenarnya, dan kepada siapakah murid perlu beradab?

Persoalan ini patut difikir dengan serius. Tanpa adab guru-murid, ilmu yang benar tidak dapat dicapai. Para ulama telah menyampaikan pengalaman mereka dalam soal hubungan adab guru-murid ini dengan pencapaian dan penguasaan ilmu.

Misalnya, Habib Umar memberitahu muridnya: “Seorang penuntut ilmu tidak akan mendapatkan setitis pun (walaupun sedikit) ilmu yang bermanfaat jika dia tidak menghormati gurunya.”

Al-Imam Ali bin Hasan Al-Aththas pula mengatakan: “Memperoleh ilmu, futuh dan cahaya yakni terbukanya hijab batin, adalah sesuai kadar adabmu terhadap gurumu. Kadar besarnya gurumu di hatimu, maka demikian pula kadar besarnya dirimu di sisi ALLAH tanpa ragu.” (Al-Manhaj As-Sawiy: 217)

Habib Abdullah Al-Haddad juga mengatakan: “Paling bahayanya bagi seorang murid, adalah berubahnya hati gurunya daripadanya. Seandainya seluruh wali dari Timur dan Barat ingin memperbaiki keadaan si murid itu, nescaya tidak akan mampu kecuali setelah gurunya reda kembali.” (Adab Suluk Al-Murid: 54)

Jadi, dalam mencari ilmu yang benar dan menggunakannya secara bermanfaat, tiga perkara di atas, yakni hakikat ilmu, sifat ilmu dan kaedah penyampaian ilmu, perlu diberi tumpuan dan dihayati sungguh-sungguh. Inilah antara asas pendidikan berteraskan Islam.

***Prof Emeritus Muhammad Syukri Salleh (Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia)

Sinar Harian

Hati keras, sukar terima nasihat jika terus berbuat dosa

BANYAK kajian menyaksikan pengabaian ketara terhadap solat dalam kalangan masyarakat. Antaranya penyelidikan dijalankan Norzila Ahmad (2019) dan Azhar Mohd Nawi (2021).

Solat Subuh dan Asar didapati antara ibadah yang sering diremehkan. Bahkan, hasil tinjauan mendapati, hanya 54 peratus responden solat lima kali sehari dengan lengkap.

Sedangkan ujar Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob, orang yang meninggalkan solat telah melakukan dosa besar.

“Andai dia beriktikad bahawa solat itu wajib, tetapi tidak menunaikannya kerana malas, maka dihukumkan sebagai ‘fasik’. Bagaimanapun, jika dia mengingkari kefarduan solat dan mengatakan ia tidak wajib, ulama bersepakat mengatakan dirinya telah ‘kafir’.

“Oleh itu segeralah memohon keampunan ALLAH SWT dan bersyahadah kembali,” katanya sambil mengingatkan agar umat Islam tidak memandang remeh dosa besar berkenaan.

Bukan itu sahaja, beliau mengingatkan agar menjauhi tujuh dosa besar yang boleh menjerumuskan diri ke lembah hina.

Ia termasuklah perbuatan syirik, sihir, membunuh, riba, salah guna harta anak yatim, lari dari medan perang dan membuat tuduhan palsu.

Selagi bergelar manusia, tidak mungkin mereka langsung tidak membuat kesilapan kerana begitulah lumrahnya hidup insan.

Bagaimanapun ujar Ahmad, sifat ALLAH YANG MAHA PEMURAH dan MAHA MENGASIHANI hamba-NYA serta sentiasa menerima taubat pendosa mengatasi segalanya.

Disebabkan itu katanya, kita disuruh sentiasa memohon keampunan dengan beristighfar setiap hari tanpa jemu.

“Sedangkan Rasulullah SAW yang maksum pun mengucapkan lebih 70 kali istighfar setiap hari, inikan pula kita insan biasa. Di samping itu, dosa kita boleh terhapus dengan melakukan ibadah seperti berwuduk dan mendirikan solat.

“Para ulama menjelaskan, dosa-dosa kecil boleh gugur apabila seseorang mengerjakan amalan soleh seperti menunaikan solat, bersedekah dan membantu orang dalam kesusahan.

Dosa umpama kotoran

Besar mana pun dosa, masih ada ruang untuk membersihkan diri.

“Ia umpama pakaian yang dicemari kotoran. Apabila dibasuh, akan kembali bersih. Bahkan, Nabi Muhammad mengingatkan bahawa dosa umpama kotoran yang perlu dicuci setiap hari.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescata digilap hatinya. Sebaliknya apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-Raan yang ALLAH nyatakan: Sebenarnya! (Ayat-ayat KAMI itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.” (Hadis Riwayat an-Nasai)

Menjawab satu soalan, Ahmad berkata: “Dosa kepada ALLAH seperti perbuatan maksiat boleh terhapus dengan amal ibadah, istighfar dan bertaubat. Ia jauh lebih mudah berbanding dosa terhadap manusia lain.

“Apabila seseorang membuat fitnah dan menzalimi orang lain dengan memukul atau mendera mereka, dia telah melakukan suatu dosa yang sukar diampun kecuali setelah dia mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizaliminya.

“Bahkan, untuk mendapatkan kemaafan manusia di dunia ini mudah jika dibanding dengan kesukaran mendapatkan kemaafan daripada seseorang di akhirat nanti.”

Maafkan orang

Menyambung hujah, beliau mengingatkan agar kita sentiasa bermaafan kerana perbuatan tersebut adalah amalan mulia, sesuai dengan anjuran Rasulullah.

Beliau kemudian menceritakan kisah seorang Badwi yang merupakan ahli syurga, beliau sentiasa mendoakan orang lain dan memaafkan kesalahan semua orang sebelum tidur.

Namun andai orang yang dizalimi sudah dijemput Ilahi, jelas beliau, terdapat tiga pendekatan boleh dilakukan untuk meraih kemaafan.

“Pertama, si pendosa tadi hendaklah bertaubat kepada ALLAH dan memohon keampunan daripada dosa dilakukan.

“Kemudian, doakan juga orang yang dizaliminya, selain melakukan amalan kebaikan seperti bersedekah, berwakaf dan meniatkan ganjaran pahala kepada individu yang dizaliminya tadi. Seterusnya, hubungkan silaturahim dengan waris-waris si mati. Andai melibatkan kesalahan harta seperti berhutang, hendaklah dikembalikan harta orang yang dizaliminya kepada ahli warisnya,” ujarnya.

“Ini kerana tidak dapat dinafikan kesukaran seseorang untuk istiqamah dan melepaskan diri daripada ketagihan.

“Antara sebab seseorang berbuat dosa adalah terpengaruh dengan bisikan syaitan. Maka apabila seseorang tidak bertaubat dengan alasan tidak mahu mempermainkan taubat, ketahuilah bahawa dia sebenarnya telah tertipu dua kali oleh syaitan. Pertama, tertipu kerana telah melakukan dosa dan kedua, diperdaya kerana enggan bertaubat,” katanya.

Sinar Harian