Ayat seribu dinar adalah ayat suci al-Quran yang dipetik dari surah At-Talaaq ayat 2-3 :
{2}……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
{3} Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
KISAH DI SEBALIK AYAT
Diceritakan bahawa seorang saudagar telah membayar sebanyak seribu dinar untuk mendapat ayat ini yang dikatakan fadhilatnya ialah mendapat menyelamatkan pembacanya dari malapetaka. Di dalam perjalanan pulang, kapal saudagar ini telah dipukul ombak dan beliau terus membaca ayat tersebut. Dengan izin Allah SWT, hanya beliau seorang saja yang terselamat dari bencana itu.
KEISTIMEWAAN AYAT SERIBU DINAR
Antara kelebihan dan fadhilat ayat seribu dinar ini ialah :
1. Di baca apabila kita hendak bertawakkal terhadap sesuatu perkara.
2. Menghilangkan keresahan bila di baca di waktu resah.
3. Di baca ketika hendak menaiki kenderaan
4. Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya Allah si pesakit akan sembuh.
BERHATI-HATI, JANGAN SAMPAI TERLALU TAKSUB!
Dalam masyarakat Melayu fenomena menggunakan tangkal azimat masih lagi wujud sehingga ke hari ini. Berikut dinyatakan beberapa fenomena bid’ah yang telah dikesan:
Penggunaan tangkal azimat seperti ‘ayat seribu dinar’. Penggantungan ‘ayat seribu dinar’ tersebut dianggap sebagai pelaris jualan mereka.
Pergantungan untung rugi pastinya tidak dianggap keseluruhan milik Allah. Ini menjadikan pelaris berkenaan sebagai perantaraan antara makhluk dengan Allah. Dengan penggunaan pelaris berkenaan sedikit sebanyak telah membuka ruang syirik kepada Allah.
Penggunaan tangkal yang diikat pada pinggang. Tangkal tersebut ditulis dengan ayat al-Quran dan dicampur aduk dengan ayat-ayat lain. Tujuan
penggunaan tangkal berkenaan sebagai ‘penguat badan’.
Begitu juga dengan batu azimat. Pengguna berkenaan beranggapan batu azimat tersebut yang mampu menjadikan penggunanya kebal dan mempunyai kuasa aneh.
Credit : 1) eSumber dari Portal Online, Majlis Daerah Pekan, Pahang dan 2) Pertembungan Bid’ah al-I’tiqadiyyah dalam Peradaban Masyarakat Melayu oleh Fadzli Adam & Firdaus Khairi Abdul Kadir dari Fakulti Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu
Speak Your Mind