Archives for August 2019

Berkesankah cara diet ‘Intermittent Fasting?’

Kini menjadi trend khususnya golongan wanita untuk lebih cantik dan kurus dengan mengamalkan “Intermittent Fasting”.

Kaedah ini menjadi popular lebih-lebih lagi ramai di kalangan artis yang mengamalkannya untuk tampil menawan meskipun sudah bergelar sebagai ibu.

Secara asasnya, ramai yang tidak tahu sejauh mana keberkesanannya, namun ramai yang ingin mencuba.

“Intermittent Fasting” ialah amalan puasa yang mana perut dan usus akan berehat daripada makan dalam tempoh 14 ke 16 jam.

Sebagai contoh 8 jam kita gunakan untuk makan, sedangkan baki 16 jam lagi kita berehat dari sebarang makanan atau minuman.

Kaedah ini juga tidak sama seperti diet lain kerana ia tidak fokus kepada apa yang perlu anda makan, tetapi kepada bila masa yang patut anda makan.

Terdapat 3 cara anda boleh amalkan dalam “Intermittent Fasting” ini:

1. Daily Intermittent Fasting (16/8)

Dalam tempoh 24 jam, 16 jam anda gunakan untuk berpuasa, manakala 8 jam lagi adalah masa untuk anda makan.

Sebagai contoh, jika hari ini anda makan malam jam 8, maka selepas makan anda perlu berpuasa sehingga jam 12 tengahari keesokan harinya.

Jadi bermula jam 12 tengahari pada Selasa, anda boleh makan sehingga 8 malam hari tersebut, kemudian anda perlu berpuasa lagi pada hari berikutnya.

2. Weekly Intermittent Fasting (Eat-stop-eat)

Ini lebih mudah untuk anda fahami, anda hanya perlu makan hari ini dan esok malam baru anda makan lagi.

Kaedah ini anda boleh lakukan 2 kali seminggu.

3. Alternate Day Intermittent Fasting

Kaedah ini membenarkan anda makan seperti biasa selama 4 hari, dan 3 hari lagi anda perlu berpuasa dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya anda amalkan salah satu kaedah ini, secara normalnya jumlah kalori yang anda makan dalam tempoh seminggu akan berkurang.

Ini bermakna apabila jumlah kalori anda berkurang, maka berat badan anda juga akan berkurangan.

Daripada tiga kaedah di atas ini, ramai yang mengamalkan kaedah 16/8 kerana ialah lebih mudah untuk di amalkan dan ia juga paling popular.

 

Credit: freemalaysiatoday.com

KEBAKARAN HUTAN AMAZON, APA ANDA BOLEH BANTU?

Jika anda mengikuti perkembangan terkini mengenai kejadian yang berlaku di serata dunia, anda pasti tahu mengenai isu hutan hujan Amazon di Brazil yang sedang terbakar.
Pada tahun lepas, hampir 40,000 kes kebakaran direkodkan.

Tahun ini saja dari Januari hingga Ogos, jumlahnya mencecah hampir 73,000 kes. Ia hampir dua kali ganda!

Apa punca-puncanya?
Kebakaran di hutan Amazon memang sering berlaku secara semula jadi, lebih-lebih lagi pada musim kering (Julai-Oktober).

Tetapi kebakaran kali ini amat teruk dengan peningkatan kebakaran sehingga 80% berpunca daripada aktiviti manusia.

Apa kesannya setelah hutan Amazon ini terbakar?
1. Langit menjadi hitam sehingga ke Lautan Atlantik, sejauh 3,200 KM.

2. Terlepasnya karbon dioksida 228 mega tan yang akan memberikan kesan buruk kepada lapisan ozon dan hutan-hutan lain di sekitarnya. Bumi akan menjadi semakin panas!

3. Terlepasnya karbon monoksida, gas yang dilepaskan apabila kayu dibakar. Apabila berada pada kepekatan yang tinggi, gas ini sangat berbahaya dan bertoksik. Gas ini dikhabarkan telah merebak sehingga ke kawasan pantai Amerika Selatan.

4. Lembah Amazon yang menjadi habitat 3,000 spesis haiwan dan tumbuhan serta sejuta penduduk asli kini terancam. Lembah ini sangat penting dalam memerangkap karbon. Terbakarnya ia menyebabkan turunnya perangkap karbon dan terlepasnya banyak karbon secara mendadak.

Jadi apa kita boleh lakukan?
1. Derma kepada persatuan amal

6 badan kebajikan yang bekerja untuk membantu hutan Amazon telah diberi pengiktirafan sebanyak tiga daripada empat bintang oleh Charity Navigator.

Charity Navigator ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menilai badan kebajikan berdasarkan akauntabiliti dan pengurusan kewangan mereka.

Badan kebajikan yang anda boleh hulurkan derma adalah:

Amazon Conservation Association
Amazon Conservation Team
Amazon Watch
Rainforest Foundation US
Rainforest Trust
Rainforest Action Network

2. Menjadi sukarelawan

Melainkan anda ialah seorang ahli bomba, anda tidak disarankan untuk menawarkan diri bagi memadam api di Amazon.

Ada cara lain lagi untuk membantu.

Hubungi badan kebajikan yang disenaraikan di atas dan tanya apa yang anda boleh lakukan.

Mereka memang boleh bantu anda laksanakannya.

Pada akhir 1980-an, Rainforest Action Network melancarkan satu kempen untuk meminta Burger King berhenti mengimport daging lembu murah daripada kawasan hutan hujan tropika.

Francais makanan segera ini terusmembatalkan kontrak import daging lembunya yang berharga US$35 juta (RM146 juta pada hari ini).

3. Pastikan suara anda didengari

Anda boleh hubungi kementerian di Malaysia dan menggalakkan mereka untuk mengambil langkah demi menyelamatkan hutan Amazon.

Sekurang-kurangnya mereka boleh menggunakan kuasa mereka untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu dunia ini.

Kebakaran dan kemusnahan hutan ini akan meninggalkan impak jangka panjang kepada iklim global.

Memanglah ia berlaku di negara asing, tetapi pihak berkuasa kita masih boleh bertindak.

Dan sementara anda menunggu respons mereka, anda masih boleh bersuara di Internet.

Di platform media sosial, gunakan tanda pagar #PrayforAmazonia atau #AmazonRainforest.

 

Credit: freemalaysiatoday.com

KECANGGIHAN KOMPUTER DEKAD 40-60AN

Canggih bukan? 🙂

EDISI KISAH MISTERI : THE DYATLOV PASS INCIDENT

Pada 25 Januari 1959, sekumpulan pendaki berpengalaman yang terdiri daripada penuntut Polytechnical Institute memulakan perjalanan ekspedisi mereka untuk menuju ke kawasan pergunungan salji di bahagian utara Ural, Sverdlosk Oblask, Russia dengan menaiki kereta api. Kumpulan tersebut dianggotai oleh lapan orang lelaki dan dua orang perempuan dengan Igor Dyatlov bertindak sebagai ketua kumpulan.

Setibanya di Vizhai, kumpulan Dyatlov menaiki lori menuju ke Otorten. Matlamat utama mereka adalah untuk mencapai puncak gunung di bahagian utara kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, salah seorang anggota yang bernama Yuri Yudin terpaksa menarik diri daripada ekspedisi pada saat-saat akhir kerana telah jatuh sakit.

Mengikut pelan asal, kumpulan Dyatlov sepatutnya pulang semula ke Vizhai pada 11 Februari ataupun mengalami sedikit kelewatan dari tarikh tersebut. Hari demi hari berlalu, tiada sebarang perkhabaran berita daripada mereka didengari.

Hinggalah 20 Februari 1959, pihak berkuasa melancarkan operasi pencarian secara besar-besaran yang turut disertai oleh ahli keluarga, guru-guru dan kenalan mangsa. Selain itu, helikopter dan pesawat diterbangkan bagi memudahkan usaha pencarian.

Pada hari keenam operasi, tapak perkhemahan kumpulan Dyatlov akhirnya ditemui di Kholat Syakhl yang digelar penduduk tempatan sebagai “Gunung Maut”. Khemah mangsa yang musnah teruk itu didapati telah dikoyakkan dari bahagian dalam. Penemuan tapak kaki mangsa di kawasan luar sedikit sebanyak memberi jawapan kepada persoalan terhadap kasut-kasut yang ditinggalkan di dalam khemah. Kesan tapak kaki itu berjaya dijejaki hingga ke kawasan hutan yang berhampiran. Sepertinya, kumpulan Dyatlov melarikan diri daripada sesuatu.

Antara mayat mangsa terawal yang ditemui adalah Krivonnischenko dan Doroshenko. Mayat mereka berdua yang hanya berpakaian seluar dalam serta berkaki ayam telah ditemui di bawah batang pokok. Penemuan kulit yang melekat pada batang pokok itu memberi teori awal bahawa kedua-dua mangsa memanjat pokok untuk meninjau kawasan tapak perkhemahan mereka.

Sementara itu, mayat Dyatlov, Kolmogorova dan Slobodin ditemui tidak jauh dari tapak perkhemahan. Mereka bertiga diyakini menemui maut semasa dalam percubaan untuk kembali ke arah khemah. Mayat Dyatlov dilihat dalam posisi cuba melindungi kepalanya daripada sesuatu. Slobodin pula dalam keadaan meniarap dengan tengkoraknya retak manakala Kolmogotova berlumuran dengan darah.

Saki baki mayat mangsa hanya berjaya ditemui pada dua bulan berikutnya. Mayat Zolotariov, Thibeaux Brignolell, Kolevatov dan Dubinina yang tertimbus dalam salji dikhuatiri menjadi antara mangsa paling awal terkorban. Mayat mereka semua ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dengan Zolotariov memakai topi serta baju Dubinina, manakala kaki Dubinina berbalut dengan seluar Krivonnischenko. Thibeaux Brignolell dipercayai mengalami nasib yang sama seperi Slobodin dengan tengkoraknya retak. Zolotariov dan Dubinina pula telah mengalami kecederaan yang parah pada bahagian organ dalaman mereka. Dikhabarkan, lidah Dubinina hilang akibat dikerat semasa hidup.

Hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan, punca kematian hampir kesemua mangsa adalah disebabkan hipotermia. Namun, ramai pihak yang mempercayai bahawa Dyatlov dan rakan-rakannya telah berdepan dengan satu bencana yang sangat dahsyat.

Berdasarkan penemuan pada rekod diari dan kamera milik mangsa, ribut salji yang melanda pada waktu kejadian telah menyebabkan kumpulan Dyatlov tersasar jauh dari laluan asal mereka. Perkara ini sekaligus memaksa mereka semua untuk berkhemah di Kholat Syakhl. Menurut Yudin, Dyatlov berkemungkinan membuat keputusan untuk mendirikan khemah di kawasan situ kerana enggan kehilangan altitud yang telah mereka capai atau sengaja untuk berlatih berkhemah di cerun gunung.

Gambar : Imej dalam foto kamera mangsa yang didakwa sebagai Yeti

TEORI KEJADIAN
———————————————————————
RUNTUHAN SALJI

Antara teori kejadian yang banyak dibuat dan disokong oleh kebanyakan para penyiasat adalah terjadinya runtuhan salji. Runtuhan salji yang berlaku telah membuatkan suasana menjadi huru-hara serta menimbulkan rasa panik kepada mangsa. Mangsa terpaksa mengoyakkan khemah dari bahagian dalam untuk melarikan diri ekoran bimbang akan berlakunya runtuhan salji susulan. Walau bagaimanapun, teori ini disangkal kerana kecederaan yang mangsa alami diperoleh semasa mereka berada di luar khemah. Lagipun, kesemua mangsa adalah pendaki yang sangat berpengalaman. Jadi, agak mustahil untuk mereka menanggalkan pakaian dalam keadaan genting sedemikian.

SUKU KAUM MANSI

Tidak jauh dari tapak perkhemahan Dyatlov, terdapat kawasan penempatan suku kaum Nansi. Dikatakan telah terjadinya satu pertelingkahan antara kumpulan Dyatlov dan puak kaum. Semuanya gara-gara berpunca daripada kepercayaan kaum Mansi di kawasan pergunungan tersebut. Teori ini sangat lemah kerana orang Mansi adalah antara sukarelawan yang terlibat dalam operasi pencarian kumpulan Dyatlov. Tambahan pula, kaum Mansi tidak mempunyai sebarang peraturan yang membenarkan mereka untuk menyerang mana-mana pihak.

UJIKAJI TENTERA

Teori ujikaji tentera juga antara teori yang hangat diperdebatkan. Kumpulan Dyatlov berkemungkinan telah terserempak dengan sekumpulan tentera yang sedang melakukan ujikaji senjata atau menemui sebuah makmal rahsia. Pihak tentera yang enggan rahsia mereka terbongkar bertindak dengan serta merta untuk membunuh kumpulan Dyatlov. Teori ini turut disokong oleh Yuri Yudin sendiri kerana dia telah menemui beberapa barang di tapak perkhemahan yang bukan milik rakan-rakannya. Namun, mengikut laporan tiada sebarang penemuan rekod bukti ujikaji senjata dijalankan di tempat kejadian. Malah, sisa radioaktif yang ditemui pada pakaian mangsa tidak memberi sebarang perkembangan siasatan.

UFO

Teori ini dicetuskan sendiri oleh salah seorang penyiasat kes Dyatlov iaitu Lev Ivanoc. Menurut Ivanoc, dia telah mendapati beberapa permukaan pokok terbakar. Malah, Ivanoc juga diarahkan oleh pihak berkuasa untuk menarik balik kenyataannya tentang penampakan cahaya di langit. Teori ini dianggap paling mengarut kerana tiada sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan kewujudan makhluk asing di tempat kejadian. Lagipun Ivanoc sendiri sebenarnya yang begitu taksub dengan UFO.

YETI

Mengikut cerita rakyat Nepal, Yeti adalah sejenis makhluk bersalji yang digambarkan menyerupai beruk dan mempunyai saiz tubuh badan besar daripada manusia normal. Menerusi sekeping foto dalam kamera milik Thibaul Brignolell, terdapat satu imej yang didakwa sebagai Yeti. Bagaimanapun, jika foto tersebut diteliti dengan betul-betul, imej itu berkemungkinan adalah salah seorang anggota kumpulan Dyatlov sendiri. Secara fakta, tiada sebarang tanda serangan atau kesan tapak kaki haiwan ditemui di tempat kejadian. Satu lagi perkara yang mungkin tidak boleh dipertikaikan, kewujudan makhluk Yeti tidak pernah berjaya dibuktikan hingga ke hari ini.

EJEN KGB

Secara ringkas, KGB adalah badan penyiasat untuk kerajaan Soviet Union. Teori ejen KGB ini dicipta oleh Alexei Ratikin. Salah seorang kumpulan Dyatlov yang didakwa sebagai ejen pengintip menyertai ekspedisi untuk menghantar sampel radioaktif kepada ejen CIA. Namun, pertemuan itu telah bertukar menjadi pergaduhan hingga menyebabkan seluruh kumpulan Dyatlov terkorban. Individu yang dipercayai sebagai ejen itu adalah Zolotariov memandangkan dia adalah antara yang paling berusia serta mempunyai sejarah karier ketenteraan dengan kerajaan Soviet. Teori ini bagaimanapun dinafikan sekeras-kerasnya oleh ahli keluarga Zolotariov.

BUNYI INFRA

Teori ini diasaskan oleh Donnie Eichar. Dia berpendapat bahawa semua kumpulan Dyatlov mati akibat serangan bunyi infra yang boleh mencetuskam rasa panik terhadap manusia. Bagi Donnie, teorinya ini adalah penjelasan yang paling logik sebagai punca sebenar kumpulan Dyatlov.

Credit: Jack Lester

 

PERISTIWA 10 HARI SEBELUM MERDEKA.

Pada 20 Ogos 1957, Platun 12 Kompeni D, 5 RAMD telah ditugaskan untuk mengambil alih kawasan rondaan Kompeni C, 6 RAMD di Rawang. Berdasarkan maklumat risikan pasukan keselamatan, Leftenan Hassan dimaklumkan bahawa pihak komunis sedang merancang untuk melakukan sabotaj semasa majlis pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.

Sebaik sahaja menerima maklumat dan mendapat kebenaran, Leftenan Hassan telah bergerak ke Ladang Getah Waterfall untuk menyiasat pergerakan komunis di kawasan tersebut. Ketika anggota seksyen membuat rondaan, mereka telah mengesan kehadiran komunis di kawasan tersebut. Pada jam 5 pagi, 21 Ogos 1957, Leftenan Hassan bersama anggotanya bersiap sedia untuk membuat serang hendap terhadap kedudukan komunis. Kawasan yang dipilih adalah kawasan berpaya.

Pada mulanya Leftenan Hassan melihat seorang komunis wanita bergerak menuju ke arah kawasan serang hendap. Beliau melarang anggotanya menembak kerana khuatir masih ada komunis yang berhampiran. Tidak lama kemudian, muncul seorang lagi anggota komunis lelaki bergerak menuju ke kawasan tersebut untuk membasuh muka.

Sekali lagi beliau melarang anggotanya melepaskan tembakan. Mereka menunggu hampir 10 minit. Malangnya tiada pergerakan dalam jumlah besar anggota komunis ke kawasan serang hendap. Leftenan Hassan membuat keputusan mengekori jejak pengganas komunis tersebut.

Tidak lama bergerak dari kawasan tersebut, beliau ternampak 2 pengganas komunis tadi bersama seorang lagi membawa pek, beg dan senjata. Mereka telah meninggalkan beg dan pek di pangkal pokok getah sebelum bergerak ke lereng bukit berhampiran. Leftenan Hassan telah menugaskan beberapa anggotanya memantau lokasi barang tersebut manakala beliau bersama anggota yang lain mengekori komunis tersebut.

Kelihatan dari jauh, sekumpulan penoreh getah bergerak menuju ke arah komunis yang sedang berdiri. Melihat keadaan itu, Leftenan Hassan telah menembak salah seorang komunis. Dua orang lagi berlari menuju ke arah tempat barang ditinggalkan tadi. Kumpulan penoreh getah tadi turut melarikan diri.

Siasatan telah dilakukan ke atas barang tadi dan menemui bekalan makanan, barang kemas, duit dan dokumen bertulis. Berdasarkan siasatan, dokumen tersebut mengandungi rancangan komunis untuk menggagalkan majlis pengisytiharan kemerdekaan. Antara dokumen yang ditemui ialah peta Stadium Merdeka dan susun atur kedudukan pemimpin negara berada ketika pengisytiharan kemerdekaan.

Rupa-rupanya, kumpulan penoreh getah bukanlah penoreh getah tetapi pemimpin komunis dari seluruh Tanah Melayu yang datang untuk bermesyuarat dan berbincang untuk melaksanakan sabotaj tersebut. Lanjutan daripada penemuan barangan tersebut, pihak keselamatan telah membuat tangkapan menggagalkan cubaan komunis mensabotaj hari kemerdekaan. Seramai 35 orang pengganas termasuk pemimpin mereka yang berada di Ladang Waterfall telah berjaya dikesan dan ditangkap.

Sumber: PanggilanPertiwi
Credit: Jasson King Fans Official

Muzium Katak – Estavayer-le-Lac, Switzerland

Bonk! Bonk!

Muzium ini dibuka sejak tahun 1927. Menurut sejarah,katak2 ini telah dikumpulkan sejak tahun 1850 lagi oleh tentera peneroka yang melalui selusur perjalanan dihutan juga dikawasan kampung.

Katak2 tersebut akan dibersihkan isi perut,badan mereka di isi dengan pasir,sebelum diletakkan dalam posisi hiasan lalu diawetkan.

Terdapat lebih 100 jenis katak yang diletakkan didalam pelbagai posisi seperti kehidupan manusia pada era ke 17.

 

Sumber imej : Atlas Obscura

Credit : Salmah Melor

SEMENANJUNG TANAH MELAYU LAMA

Pada masa dahulu, semenanjung Tanah Melayu turut meliputi wilayah Segenting Kra yang kini termasuk di dalam wilayah Negara Thai dan Myanmar. Penduduk di Negeri Patani bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kelantan (Yawi) sementara penduduk Melayu daripada wilayah Setul hinggalah ke Rundung dan Pulau Dua (Kawthoung) di dalam wilayah Myanmar pada hari ini bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kedah.

Penduduk Melayu di kawasan ini bukanlah pendatang, sebaliknya merupakan kaum pribumi yang telah menduduki kawasan ini sejak zaman berzaman, iaitu warisan daripada Kerajaan Srivijaya dan Langkasuka.

Binaan di Rundung (Ranong) yang menjelaskan sempadan sebenar bumi Melayu dan Siam, Selepas kejatuhan Kerajaan Siam yang berpusat di Ayuthia pada tahun 1767 akibat serangan Burma, telah bangkit satu kuasa Thai iaitu Kerajaan Thonburi di bawah pemerintahan Raja Taksin. Raja Taksin ini telah menyerang Kerajaan-kerajaan Melayu di Negeri Ligor, Cahaya, Rundung, Terang, Ghraibi, Bukit, Bedalung dan Singgora. Negeri Patani terselamat daripada serangan tersebut. Walaubagaimanapun, benteng terakhir negeri Melayu ini kemudiannya berhadapan dengan serangan demi serangan daripada pihak Thai.

Anglo-Siamese Treaty, 1909, yang dibuat antara British dengan pihak Thailand telah memisahkan sama sekali semenanjung Tanah Melayu kepada dua bahagian. Perjanjian ini dibuat tanpa melibatkan perbincangan dengan Raja-raja Melayu di negeri-negeri yang berkenaan. Wilayah-wilayah milik Melayu daripada Patani, Singgora, Setul hinggalah ke segenting Kra telah diakui British sebagai hak milik Thai.

Nama-nama tempat yang berbaur Melayu di kawasan segenting Kra juga telah diubah kepada sebutan dalam Bahasa Thai. Di bawah ini dinyatakan kembali nama sebenar antara sebahagian kawasan-kawasan di bahagian selatan Siam dalam Bahasa Melayu yang telah di’Thai’kan untuk peringatan dan rujukan kita semua serta generasi akan datang khasnya.

Phuket (Bukit). Nama lain ialah Tongkah.
Thalang (Tanjung Salang)
Yala (Jala)
Betong (Betung)
Bannang Sata (Benang Setar)
Raman (Reman)
Kabang (Kabae / Kabe)
Krong Pinang (Kampung Pinang)
Narathiwat (Menara)
Tak Bai (Tabal)
Rueso (Rusa)
Su-ngai Kolok (Sungai Golok)
Su-ngai Padi (Sungai Padi)
Tanyongmat (Tanjung Mas)
Buketa (Bukit Tar)
Pattani (Pantai Ini)
Sai Buri (Selindung Bayu @ Teluban)
Yaring (Jaring)
Krue Sae (Gersik)
Panare (Penarik)
Yarang (Jarang @ Binjai Lima)
Songkhla (Singgora) bermaksud ‘Bandar Singa’
Chana (Chenok)
Na Thawi (Nawi)
Thepha (Tiba)
Saba Yoi (Sebayu)
Ranot (Renut)
Sadao (Sendawa)
Samila Beach (Pantai Bismillah)
Satun (Setul)
Khuan Don (Dusun)
Phang Nga (Pungah). Ada sumber lain mengatakan daripada nama ‘Kuala Bunga’.
Ko Similan (Pulau Sembilan)
Ko Panyee (Pulau Panji)
Ko Phi Phi (Pulau Pi Ah Pi)
Takua Pa (Kupa)
Phattalung (Bedalong / Merdelong)
Trang (Terang)
Ranong (Rundung)
Krabi (Ghraibi)
Chaiya (Cahaya)
Nakhon Si Thammarat (Nagara Sri Dharmaraja / Bandar Sri Raja Dharma). Nama lama bagi negeri ini ialah ‘Tambralingga /Ligor’.
Tenasserim (Tanah Seri). Dalam wilayah negara Myanmar (Burma) pada hari ini.

Malaysia pada hari ini sebenarnya hanya mewarisi separuh daripada wilayah asal semenanjung Tanah Melayu.

Sumber dari Melayu

Credit:
Serombong Kapal Reloaded
Sengal Paranormal Team – SEPAT

Gangguan Wanita Bermulut Koyak Di Jepun Tahun 1979

Ilustrasi Kuchisake Onna (sumber phantasmaunloaded)

Menurut legenda, Kuchisake Onna adalah seorang wanita yang hidup di Jepun pada zaman Heian. Menurut cerita rakyat Jepun, dia adalah isteri atau gundik dari seroang samurai. Namun, Kuchisake dikenali kerana sikap sombongnya. Dia diketahui sering melakukan hubungan sulit di belakang suaminya.

Suaminya yang telah mengetahui kelakuan Kuchisake dengan berang telah menyerang dan membelah mulut Kuchisake dari telinga ke telinga. Suaminya kemudian mengatakan bahawa dia kini sudah tidak cantik lagi.

Kuchisake sering menutupi wajahnya (sumber Urban Legends: Kuchisake-onna – House of Tortured Souls)

Menurut maklumat, Kuchisake Onna sering menutupi mulutnya yang telah koyak itu dengan topeng dan sering menghantui penduduk bandar di tengah malam. Dikisahkan bahawa, apabila dia bertemu orang di jalanan terutama kanak-kanak atau lelaki muda, dia akan menanyakan “adakah dirinya cantik”.

Jika orang yang ditanya menjawab “ya” maka dia akan membuka topeng tersebut dan bertanya lagi “adakah dia masih cantik”. Sudah tentu mangsanya akan sangat terkejut dan menjawab “tidak”. Setelah itu, dia akan membunuh mangsanya dengan gunting, sabit, atau senjata-senjata tajam yang lain.

Menurut cerita yang disebarkan, apabila mangsanya menjawab bahawa dia tetap cantik, dia akan gembira dan membebaskannya. Namun, maklumat lain mengatakan dia tetap akan mengikut mangsanya lalu membunuhnya ketika mereka berada di hadapan pintu rumah.

Mangsa Kuchisake termasuk kaum wanita (sumber Yokai.com)

Bukan sekadar lelaki, dia juga menjadikan wanita sebagai mangsanya. Jika mangsanya wanita, maka dia akan merobek mulut mereka dan jika mangsanya adalah kanak-kanak maka dia akan memakannya.

Kisah lain yang diceritakan, ketika dia menanyakan kepada wanita “adakah dirinya cantik”, jika jawapannya “tidak” maka dia akan membunuh wanita tersebut.

Jika jawapannya “ya” maka dia akan berkata “aku akan membuatmu secantik diriku” lalu dia merobek mulut mangsanya dari telinga sampai telinga.

Rata-rata mangsanya yang terselamat memberikan jawapan yang membingungkan seperti “begitulah” sehingga dia perlukan waktu untuk menghukumnya dan saat itulah mangsanya akan segera meyelamatkan diri.

Cara lain untuk selamat dari jelmaan yang amat mengerikan ini adalah dengan memberikannya gula bewarna kuning tua yang amat disukainya. Namun, dia tidak dapat makan bila mengenangkan akan penderitaannya.

Jepun tahun 1979 (Footage.framepool)

Kisah dari jelmaan wanita bermulut robek ini mula menghantui Jepun pada musim bunga dan musim panas tahun 1979, ketika khabar ini tersebar tentang gadis bermulut robek yang mengenakan topeng telah memburu kanak-kanak.

kisah ini tersebar dengan cepat sehingga pihak polis telah meningkatkan kawalan dan pihak sekolah mengarahkan para pelajar pulang secara berkelompok. Pada tahun 2004, Korea Selatan terganggu dengan adanya laporan tentang wanita memakai topeng berbaju merah mengejar kanak-kanak.

Pada tahun 2007, pihak berkuasa menemukan beberapa catatan lama dari akhir 1970-an tentang seorang wanita yang sedang mengejar budak-budak kecil namun telah dilanggar kereta dan meninggal dunia. Ironinya, mulut wanita itu kelihatan terkoyak dari telinga ke telinga.

Kisah Kuchisake Onna telah mengispirasi sebuah filem bertajuk The Slit Mouthed Woman pada tahun 2007.

Credit : Jasson King Fans Official

SMILEY: MOYANG SEGALA EMOJI

Emoji.

Siapa yang tidak kenal dengan emoji atau emoticon ini? Kehadiran emoji digital diumpama mengembalikan semula kegemilangan tulisan Hieroglif yang pernah digunakan oleh rakyat Mesir kuno pada suatu ketika dahulu. Tulisan Hieroglif merupakan salah satu tulisan bergambar yang digunakan oleh masyarakat Mesir kuno untuk menggambarkan sesuatu peristiwa, rekod atau catatan yang terjadi pada masa pemerintahan dinasti-dinasti Mesir kuno. Tulisan sebegini kebanyakannya ditemui di dinding dalaman piramid, kuil sembahan ataupun di makam para raja dan bangsawan Mesir kuno.

Sebagaimana yang kita ketahui, simbol emoji terdiri daripada beberapa bentuk riak wajah seperti senyum, sedih, sakit, takut dan pelbagai macam lagi.

Emoji digital pertama diciptakan oleh Shigetaka Kurita ketika beliau bekerja di syarikat telekomunikasi NTT Docomo do Jepun pada tahun 1999. Seterusnya, emoji mula diperkenalkan pada masyarakat pada tahun 2007 oleh syarikat Apple Inc dan ia semakin digunakan secara meluas oleh pengguna media sosial untuk berinteraksi sesama mereka sehingga ke hari ini melalui beberapa proses penambahbaikan pada watak-watak emojinya. Selain bertujuan membawa suatu mesej atau maksud tertentu, emoji juga dinobatkan sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang sangat mudah difahami.

Tetapi tahukah anda, simbol emoji senyum atau yang dikenali sebagai Smiley, pernah tergambar di atas sebuah artifak purba yang diyakini berumur hampir 2,000 SM dahulu?

Sebelum penemuan artifak yang akan diceritakan, kita akan melihat penemuan emoji Smiley di atas sebuah dokumen milik seorang peguam dari tahun 1635 M.

SMILEY TRENCIN (1635 M)

Pada bulan Februari 2017 lalu, para pengkaji National Archive of Trencin dari Slovakia, telah menemui sehelai dokumen rasmi yang berusia hampir 382 tahun (2019, 384 tahun), yang dimana, di dalamnya ditemui sebuah emoji senyum bertulisan tangan.

Emoji senyum tersebut berada di bawah sebuah tandatangan seorang peguam yang diyakini bernama Jan Ladislaides. Para pengkaji berpendapat, Jan Ladislaides melukis emoji dibawah tandatangannya sebagai salah satu bentuk kegembiraannya mengesahkan sebuah dokumen yang lengkap. Peter Brindza, ketua dalam penyelidikan dokumen terbabit mengungkapkan, yang emoji senyum tersebut mungkin sebuah emoji yang paling lama di dalam dunia ataupun hanya di daerah Trencin sahaja.

Rekod emoji senyum milik Jan Ladislaides yang diyakini sebagai penemuan emoji terlama di dunia tidak bertahan lama apabila pada bulan Mei 2017, ahli arkeologi dari Universiti Bolognia, Itali, menemui sebuah bekas minuman dari tapak arkeologi di daerah Karkamis, Turki yang berhampiran dengan sempadan negara Syria.

SMILEY KARKAMIS (2,000 SM).

   

Tapak arkeologi Karkamis merupakan tapak kota kuno Karkamis (Dewa Karmis) yang dahulunya pernah diperintah oleh empayar Hittie (1600 SM-1178 SM) yang mana bekas empayarnya merangkumi negara moden sekarang iaitu Turki, Syria, Lebanon dan Cyprus. Kota Karkamis pernah diperintah oleh tamadun Hittie, Neo-Assyria dan Rom.

Kawasan ini mula dikaji dan digali oleh ahli penyelidik dari pihak Muzium British pada sekitar tahun 1878 sehingga 1881, 1911 sehingga 1914 dan 1919 sehingga 1920. Penggalian seterusnya dilancarkan di antara tenaga gabungan dua buah negara, iaitu dari Turki dan Itali pada tahun 2011.

Pada tanggal 2 Mei 2017 yang lalu, seramai 25 orang ahli arkeologi gabungan dari Universiti Bolognia dari Itali, Gaziantep Metropolitan dan Sanko Holdings dari Turki, bertanggungjawab dalam misi penggalian tapak arkeologi Karkamis, telah menemui beberapa artifak purba peninggalan tamadun Hittie dan tamadun Rom.

Ketika penggalian di salah sebuah makam di tapak Karkamis, mereka telah menemui pelbagai benjana atau bekas yang menyimpan makanan atau minuman yang kebanyakannya berusia hampir 2,000 SM. Diantara penemuan tersebut, ahli arkeologi lebih terpesona dengan sebuah bekas yang dipermukaannya terpapar lukisan seakan-akan Smiley. Penemuan ini seterusnya mengejutkan mereka dan beberapa pendapat dan teori dikemukakan berdasarkan kajian, diantaranya adalah:

1. Bekas ini digunakan untuk menyimpan sherbet, iaitu sejenis minuman manis.

2. Tujuan lukisan yang dilukiskan di atas bekas air ini masih belum dikenalpasti.

Nikolo Marchetti, profesor dari Universiti Bolognia, yang bertanggungjawab memimpin misi penggalian di Karkamis selama 7 tahun lamanya, meringkaskan pendapatnya yang kemungkinan ini adalah emoji paling tertua di dunia yang pernah ditemui oleh manusia.

Bekas air Smiley dan beberapa artifak lain dibawa ke Muzium Arkeologi Gazeantep di Turki, untuk dikaji dan disimpan sebagai salah satu koleksi oleh pihak muzium.

Pada tahun 2018 lepas, pihak Turki telah mengumumkan untuk membuka tapak arkeologi kota kuno Karkamis kepada umum. Para pengunjung dapat melihat sisa runtuhan istana, kuil sembahan, beberapa buah tugu dan beberapa sisa peninggalan binaan tamadun Rom dan Neo-Assyria.

Rekod Smiley Karkamis sebagai emoji tertua di dunia masih utuh sehingga ke hari ini. Adakah suatu hari nanti, akan ditemui emoji Smiley lainnya yang lebih tua usianya daripada Smiley Karkamis?

Entahlah. Yang penting, dalam hidup ini, sentiasalah tersenyum walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Kalau bekas air buruk ini mampu lagi tersenyum girang setelah 2,000 tahun lamanya terkubur di dalam makam dan ia dipandang bernilai di mata sejarawan, bagaimana pula anda?

Yeah.. senyumlah walaupun muka buruk. Hanya orang yang tertentu sahaja yang mampu melihat betapa bernilainya disebalik senyumanmu.

Sumber rujukan:

1. Catatan Penggalian Arkeologi Karkamis: https://turkisharchaeonews.net/…/july-2017-turkish-archaeol…

2. Pembukaan Muzium Arkeologi Karkamis: https://www.aa.com.tr/…/turkey-ancient-hittites-cit…/1510283#

3. Oldest Emoji: https://www.google.com/…/worlds-oldest-emoji-discovere…/amp/

4. Tentang Profesor Nicolò Marchetti: https://unibo.academia.edu/Nicol%C3%B2Marchetti

Credit: Yoo Mat

Unusual Friendship

Boleh dikatakan sangat jarang dan sangat aneh sebenarnya untuk lihat peristiwa yang mana seekor serigala dan seekor beruang itu hidup bersama-sama seperti sahabat macam ni.

Kebiasaannya, kedua-dua pemangsa ini akan bersaing diantara satu sama lain untuk mendapatkan makanan.

Walau bagaimanapun, ‘pasangan’ serigala (Canis lupus) betina, dan beruang (Ursus arctos) jantan, diketahui meluangkan masa bersama untuk 10 hari berterusan. Malah kedua-dua haiwan pemangsa ini turut didapati berkongsi buruan (makanan) masing-masing.

Credit :
Jurugambar Lassi Rautiainen.
Shahmil Hafiz Syed Kamaruddin