EDISI KISAH MISTERI : THE DYATLOV PASS INCIDENT

Pada 25 Januari 1959, sekumpulan pendaki berpengalaman yang terdiri daripada penuntut Polytechnical Institute memulakan perjalanan ekspedisi mereka untuk menuju ke kawasan pergunungan salji di bahagian utara Ural, Sverdlosk Oblask, Russia dengan menaiki kereta api. Kumpulan tersebut dianggotai oleh lapan orang lelaki dan dua orang perempuan dengan Igor Dyatlov bertindak sebagai ketua kumpulan.

Setibanya di Vizhai, kumpulan Dyatlov menaiki lori menuju ke Otorten. Matlamat utama mereka adalah untuk mencapai puncak gunung di bahagian utara kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, salah seorang anggota yang bernama Yuri Yudin terpaksa menarik diri daripada ekspedisi pada saat-saat akhir kerana telah jatuh sakit.

Mengikut pelan asal, kumpulan Dyatlov sepatutnya pulang semula ke Vizhai pada 11 Februari ataupun mengalami sedikit kelewatan dari tarikh tersebut. Hari demi hari berlalu, tiada sebarang perkhabaran berita daripada mereka didengari.

Hinggalah 20 Februari 1959, pihak berkuasa melancarkan operasi pencarian secara besar-besaran yang turut disertai oleh ahli keluarga, guru-guru dan kenalan mangsa. Selain itu, helikopter dan pesawat diterbangkan bagi memudahkan usaha pencarian.

Pada hari keenam operasi, tapak perkhemahan kumpulan Dyatlov akhirnya ditemui di Kholat Syakhl yang digelar penduduk tempatan sebagai “Gunung Maut”. Khemah mangsa yang musnah teruk itu didapati telah dikoyakkan dari bahagian dalam. Penemuan tapak kaki mangsa di kawasan luar sedikit sebanyak memberi jawapan kepada persoalan terhadap kasut-kasut yang ditinggalkan di dalam khemah. Kesan tapak kaki itu berjaya dijejaki hingga ke kawasan hutan yang berhampiran. Sepertinya, kumpulan Dyatlov melarikan diri daripada sesuatu.

Antara mayat mangsa terawal yang ditemui adalah Krivonnischenko dan Doroshenko. Mayat mereka berdua yang hanya berpakaian seluar dalam serta berkaki ayam telah ditemui di bawah batang pokok. Penemuan kulit yang melekat pada batang pokok itu memberi teori awal bahawa kedua-dua mangsa memanjat pokok untuk meninjau kawasan tapak perkhemahan mereka.

Sementara itu, mayat Dyatlov, Kolmogorova dan Slobodin ditemui tidak jauh dari tapak perkhemahan. Mereka bertiga diyakini menemui maut semasa dalam percubaan untuk kembali ke arah khemah. Mayat Dyatlov dilihat dalam posisi cuba melindungi kepalanya daripada sesuatu. Slobodin pula dalam keadaan meniarap dengan tengkoraknya retak manakala Kolmogotova berlumuran dengan darah.

Saki baki mayat mangsa hanya berjaya ditemui pada dua bulan berikutnya. Mayat Zolotariov, Thibeaux Brignolell, Kolevatov dan Dubinina yang tertimbus dalam salji dikhuatiri menjadi antara mangsa paling awal terkorban. Mayat mereka semua ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dengan Zolotariov memakai topi serta baju Dubinina, manakala kaki Dubinina berbalut dengan seluar Krivonnischenko. Thibeaux Brignolell dipercayai mengalami nasib yang sama seperi Slobodin dengan tengkoraknya retak. Zolotariov dan Dubinina pula telah mengalami kecederaan yang parah pada bahagian organ dalaman mereka. Dikhabarkan, lidah Dubinina hilang akibat dikerat semasa hidup.

Hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan, punca kematian hampir kesemua mangsa adalah disebabkan hipotermia. Namun, ramai pihak yang mempercayai bahawa Dyatlov dan rakan-rakannya telah berdepan dengan satu bencana yang sangat dahsyat.

Berdasarkan penemuan pada rekod diari dan kamera milik mangsa, ribut salji yang melanda pada waktu kejadian telah menyebabkan kumpulan Dyatlov tersasar jauh dari laluan asal mereka. Perkara ini sekaligus memaksa mereka semua untuk berkhemah di Kholat Syakhl. Menurut Yudin, Dyatlov berkemungkinan membuat keputusan untuk mendirikan khemah di kawasan situ kerana enggan kehilangan altitud yang telah mereka capai atau sengaja untuk berlatih berkhemah di cerun gunung.

Gambar : Imej dalam foto kamera mangsa yang didakwa sebagai Yeti

TEORI KEJADIAN
———————————————————————
RUNTUHAN SALJI

Antara teori kejadian yang banyak dibuat dan disokong oleh kebanyakan para penyiasat adalah terjadinya runtuhan salji. Runtuhan salji yang berlaku telah membuatkan suasana menjadi huru-hara serta menimbulkan rasa panik kepada mangsa. Mangsa terpaksa mengoyakkan khemah dari bahagian dalam untuk melarikan diri ekoran bimbang akan berlakunya runtuhan salji susulan. Walau bagaimanapun, teori ini disangkal kerana kecederaan yang mangsa alami diperoleh semasa mereka berada di luar khemah. Lagipun, kesemua mangsa adalah pendaki yang sangat berpengalaman. Jadi, agak mustahil untuk mereka menanggalkan pakaian dalam keadaan genting sedemikian.

SUKU KAUM MANSI

Tidak jauh dari tapak perkhemahan Dyatlov, terdapat kawasan penempatan suku kaum Nansi. Dikatakan telah terjadinya satu pertelingkahan antara kumpulan Dyatlov dan puak kaum. Semuanya gara-gara berpunca daripada kepercayaan kaum Mansi di kawasan pergunungan tersebut. Teori ini sangat lemah kerana orang Mansi adalah antara sukarelawan yang terlibat dalam operasi pencarian kumpulan Dyatlov. Tambahan pula, kaum Mansi tidak mempunyai sebarang peraturan yang membenarkan mereka untuk menyerang mana-mana pihak.

UJIKAJI TENTERA

Teori ujikaji tentera juga antara teori yang hangat diperdebatkan. Kumpulan Dyatlov berkemungkinan telah terserempak dengan sekumpulan tentera yang sedang melakukan ujikaji senjata atau menemui sebuah makmal rahsia. Pihak tentera yang enggan rahsia mereka terbongkar bertindak dengan serta merta untuk membunuh kumpulan Dyatlov. Teori ini turut disokong oleh Yuri Yudin sendiri kerana dia telah menemui beberapa barang di tapak perkhemahan yang bukan milik rakan-rakannya. Namun, mengikut laporan tiada sebarang penemuan rekod bukti ujikaji senjata dijalankan di tempat kejadian. Malah, sisa radioaktif yang ditemui pada pakaian mangsa tidak memberi sebarang perkembangan siasatan.

UFO

Teori ini dicetuskan sendiri oleh salah seorang penyiasat kes Dyatlov iaitu Lev Ivanoc. Menurut Ivanoc, dia telah mendapati beberapa permukaan pokok terbakar. Malah, Ivanoc juga diarahkan oleh pihak berkuasa untuk menarik balik kenyataannya tentang penampakan cahaya di langit. Teori ini dianggap paling mengarut kerana tiada sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan kewujudan makhluk asing di tempat kejadian. Lagipun Ivanoc sendiri sebenarnya yang begitu taksub dengan UFO.

YETI

Mengikut cerita rakyat Nepal, Yeti adalah sejenis makhluk bersalji yang digambarkan menyerupai beruk dan mempunyai saiz tubuh badan besar daripada manusia normal. Menerusi sekeping foto dalam kamera milik Thibaul Brignolell, terdapat satu imej yang didakwa sebagai Yeti. Bagaimanapun, jika foto tersebut diteliti dengan betul-betul, imej itu berkemungkinan adalah salah seorang anggota kumpulan Dyatlov sendiri. Secara fakta, tiada sebarang tanda serangan atau kesan tapak kaki haiwan ditemui di tempat kejadian. Satu lagi perkara yang mungkin tidak boleh dipertikaikan, kewujudan makhluk Yeti tidak pernah berjaya dibuktikan hingga ke hari ini.

EJEN KGB

Secara ringkas, KGB adalah badan penyiasat untuk kerajaan Soviet Union. Teori ejen KGB ini dicipta oleh Alexei Ratikin. Salah seorang kumpulan Dyatlov yang didakwa sebagai ejen pengintip menyertai ekspedisi untuk menghantar sampel radioaktif kepada ejen CIA. Namun, pertemuan itu telah bertukar menjadi pergaduhan hingga menyebabkan seluruh kumpulan Dyatlov terkorban. Individu yang dipercayai sebagai ejen itu adalah Zolotariov memandangkan dia adalah antara yang paling berusia serta mempunyai sejarah karier ketenteraan dengan kerajaan Soviet. Teori ini bagaimanapun dinafikan sekeras-kerasnya oleh ahli keluarga Zolotariov.

BUNYI INFRA

Teori ini diasaskan oleh Donnie Eichar. Dia berpendapat bahawa semua kumpulan Dyatlov mati akibat serangan bunyi infra yang boleh mencetuskam rasa panik terhadap manusia. Bagi Donnie, teorinya ini adalah penjelasan yang paling logik sebagai punca sebenar kumpulan Dyatlov.

Credit: Jack Lester