KEBAKARAN HUTAN AMAZON, APA ANDA BOLEH BANTU?

Jika anda mengikuti perkembangan terkini mengenai kejadian yang berlaku di serata dunia, anda pasti tahu mengenai isu hutan hujan Amazon di Brazil yang sedang terbakar.
Pada tahun lepas, hampir 40,000 kes kebakaran direkodkan.

Tahun ini saja dari Januari hingga Ogos, jumlahnya mencecah hampir 73,000 kes. Ia hampir dua kali ganda!

Apa punca-puncanya?
Kebakaran di hutan Amazon memang sering berlaku secara semula jadi, lebih-lebih lagi pada musim kering (Julai-Oktober).

Tetapi kebakaran kali ini amat teruk dengan peningkatan kebakaran sehingga 80% berpunca daripada aktiviti manusia.

Apa kesannya setelah hutan Amazon ini terbakar?
1. Langit menjadi hitam sehingga ke Lautan Atlantik, sejauh 3,200 KM.

2. Terlepasnya karbon dioksida 228 mega tan yang akan memberikan kesan buruk kepada lapisan ozon dan hutan-hutan lain di sekitarnya. Bumi akan menjadi semakin panas!

3. Terlepasnya karbon monoksida, gas yang dilepaskan apabila kayu dibakar. Apabila berada pada kepekatan yang tinggi, gas ini sangat berbahaya dan bertoksik. Gas ini dikhabarkan telah merebak sehingga ke kawasan pantai Amerika Selatan.

4. Lembah Amazon yang menjadi habitat 3,000 spesis haiwan dan tumbuhan serta sejuta penduduk asli kini terancam. Lembah ini sangat penting dalam memerangkap karbon. Terbakarnya ia menyebabkan turunnya perangkap karbon dan terlepasnya banyak karbon secara mendadak.

Jadi apa kita boleh lakukan?
1. Derma kepada persatuan amal

6 badan kebajikan yang bekerja untuk membantu hutan Amazon telah diberi pengiktirafan sebanyak tiga daripada empat bintang oleh Charity Navigator.

Charity Navigator ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menilai badan kebajikan berdasarkan akauntabiliti dan pengurusan kewangan mereka.

Badan kebajikan yang anda boleh hulurkan derma adalah:

Amazon Conservation Association
Amazon Conservation Team
Amazon Watch
Rainforest Foundation US
Rainforest Trust
Rainforest Action Network

2. Menjadi sukarelawan

Melainkan anda ialah seorang ahli bomba, anda tidak disarankan untuk menawarkan diri bagi memadam api di Amazon.

Ada cara lain lagi untuk membantu.

Hubungi badan kebajikan yang disenaraikan di atas dan tanya apa yang anda boleh lakukan.

Mereka memang boleh bantu anda laksanakannya.

Pada akhir 1980-an, Rainforest Action Network melancarkan satu kempen untuk meminta Burger King berhenti mengimport daging lembu murah daripada kawasan hutan hujan tropika.

Francais makanan segera ini terusmembatalkan kontrak import daging lembunya yang berharga US$35 juta (RM146 juta pada hari ini).

3. Pastikan suara anda didengari

Anda boleh hubungi kementerian di Malaysia dan menggalakkan mereka untuk mengambil langkah demi menyelamatkan hutan Amazon.

Sekurang-kurangnya mereka boleh menggunakan kuasa mereka untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu dunia ini.

Kebakaran dan kemusnahan hutan ini akan meninggalkan impak jangka panjang kepada iklim global.

Memanglah ia berlaku di negara asing, tetapi pihak berkuasa kita masih boleh bertindak.

Dan sementara anda menunggu respons mereka, anda masih boleh bersuara di Internet.

Di platform media sosial, gunakan tanda pagar #PrayforAmazonia atau #AmazonRainforest.

 

Credit: freemalaysiatoday.com