Pada 20 Ogos 1957, Platun 12 Kompeni D, 5 RAMD telah ditugaskan untuk mengambil alih kawasan rondaan Kompeni C, 6 RAMD di Rawang. Berdasarkan maklumat risikan pasukan keselamatan, Leftenan Hassan dimaklumkan bahawa pihak komunis sedang merancang untuk melakukan sabotaj semasa majlis pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.
Sebaik sahaja menerima maklumat dan mendapat kebenaran, Leftenan Hassan telah bergerak ke Ladang Getah Waterfall untuk menyiasat pergerakan komunis di kawasan tersebut. Ketika anggota seksyen membuat rondaan, mereka telah mengesan kehadiran komunis di kawasan tersebut. Pada jam 5 pagi, 21 Ogos 1957, Leftenan Hassan bersama anggotanya bersiap sedia untuk membuat serang hendap terhadap kedudukan komunis. Kawasan yang dipilih adalah kawasan berpaya.
Pada mulanya Leftenan Hassan melihat seorang komunis wanita bergerak menuju ke arah kawasan serang hendap. Beliau melarang anggotanya menembak kerana khuatir masih ada komunis yang berhampiran. Tidak lama kemudian, muncul seorang lagi anggota komunis lelaki bergerak menuju ke kawasan tersebut untuk membasuh muka.
Sekali lagi beliau melarang anggotanya melepaskan tembakan. Mereka menunggu hampir 10 minit. Malangnya tiada pergerakan dalam jumlah besar anggota komunis ke kawasan serang hendap. Leftenan Hassan membuat keputusan mengekori jejak pengganas komunis tersebut.
Tidak lama bergerak dari kawasan tersebut, beliau ternampak 2 pengganas komunis tadi bersama seorang lagi membawa pek, beg dan senjata. Mereka telah meninggalkan beg dan pek di pangkal pokok getah sebelum bergerak ke lereng bukit berhampiran. Leftenan Hassan telah menugaskan beberapa anggotanya memantau lokasi barang tersebut manakala beliau bersama anggota yang lain mengekori komunis tersebut.
Kelihatan dari jauh, sekumpulan penoreh getah bergerak menuju ke arah komunis yang sedang berdiri. Melihat keadaan itu, Leftenan Hassan telah menembak salah seorang komunis. Dua orang lagi berlari menuju ke arah tempat barang ditinggalkan tadi. Kumpulan penoreh getah tadi turut melarikan diri.
Siasatan telah dilakukan ke atas barang tadi dan menemui bekalan makanan, barang kemas, duit dan dokumen bertulis. Berdasarkan siasatan, dokumen tersebut mengandungi rancangan komunis untuk menggagalkan majlis pengisytiharan kemerdekaan. Antara dokumen yang ditemui ialah peta Stadium Merdeka dan susun atur kedudukan pemimpin negara berada ketika pengisytiharan kemerdekaan.
Rupa-rupanya, kumpulan penoreh getah bukanlah penoreh getah tetapi pemimpin komunis dari seluruh Tanah Melayu yang datang untuk bermesyuarat dan berbincang untuk melaksanakan sabotaj tersebut. Lanjutan daripada penemuan barangan tersebut, pihak keselamatan telah membuat tangkapan menggagalkan cubaan komunis mensabotaj hari kemerdekaan. Seramai 35 orang pengganas termasuk pemimpin mereka yang berada di Ladang Waterfall telah berjaya dikesan dan ditangkap.
Sumber: PanggilanPertiwi
Credit: Jasson King Fans Official