Cerita dari Hospital : Mati Itu Pasti

Kejadian ini berlaku semasa saya masih belajar di Universiti Sains Malaysia. Saya masih ingat ketika itu saya berada di tahun 4 pengajian di pusat pengajian sains perubatan, dan hobi saya setiap malam minggu?

Tentulah pergi menimba ilmu ke Jabatan Kecemasan atau emergency department HUSM, kerana di sana, tidak kira anda medical student mahupun nursing atau MA (Medical Assistant) student, kerja pasti ada. Dan daripada kerja anda akan dapat pengalaman, dan daripada pengalaman, anda akan dapat ilmu yang sememangnya akan melekat di otak anda.

ED sentiasa ada kerja; pesakit yang memerlukan plaster of Paris cast kerana patah tangan, pesakit yang perlu diambil darah, pesakit yang memerlukan intravenous drip, pesakit yang memerlukan penyucian luka akibat kemalangan, resuscitation dan lain-lain. Emergency department adalah tempat yang baik untuk menimba ilmu pengetahuan.

Ceritanya bermula apabila seorang pesakit, Pakcik Isa (bukan nama sebenar) dihantar oleh keluarganya dan dia di triage ke zon merah, iaitu zon kritikal.

Di kecemasan terdapat tiga zon, merah iaitu kritikal, kuning iaitu separuh kritikal dan hijau iaitu tidak kritikal. Zon merah cuma ada 3 katil sahaja, di mana jumlah staffnya adalah lebih kurang sama dengan staff yang berada di zon kuning. Jadi anda boleh bayangkan betapa ramainya orang diperlukan untuk merawat pesakit kritikal ini.

Lelaki berumur 68 tahun itu kurus badannya, daripada luaran sahaja sudah nampak tulang rusuknya yang bergerak mengikut alunan pernafasannya yang agak laju. Rambutnya putih, berjanggut tetapi tiada misai, dan berkopiah. Mukanya agak cengkung.

Sebab dia dihantar ke wad kecemasan adalah kerana dia hampir pengsan di rumah. Dia mempunyai penyakit darah tinggi, dan masih merupakan perokok aktif di mana kali terakhir dia menghisap rokok adalah tengah hari hari kejadian tersebut.

Secara jujurnya, sewaktu bergelar pelajar perubatan, kebanyakkan daripada kami nak tahu cerita tentang pesakit atas dasar ingin belajar semata-mata, tiada langsung rasa untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Segalanya dilakukan atas sebab ingin belajar, mendapatkan ilmu sebanyak mungkin, itu sahaja. Merokok atau tidak, sejarah penyakit, cerita detail apa yang berlaku, jjumlah pendapatan isi rumah berapa ringgit, anak berapa orang, semuanya ditanya…

Naluri seseorang pelajar perubatan untuk menyelamatkan nyawa hanya akan ada ketika dia mula bekerja sebagai doktor kelak. Memang itu adalah hakikatnya.

Balik ke cerita asal, pesakit tersebut di triage ke zon merah, dan tekanan darahnya yang rendah, iaitu 90/60mmHg sahaja serta kadar denyutan nadinya yang laju. Saya segera memasukkan branula hijau di kedua-dua tangan pakcik Isa setelah diarahkan oleh house officer di situ.

Salah satu jarum segera di masukkan normal saline oleh nurse di situ, dan sebelah lagi jarum bakal digunakan untuk memasukkan ubat-ubatan. Sekali cucuk sahaja dah masuk, maklumlah pesakit lelaki, kurus, uratnya besar… bak kata orang, kalau gagal nak masukkan branula untuk pesakit macam tu, memang perlu dapatkan temujanjilah dengan pakar mata.

Keadaan pakcik Isa sangat tenang, dan atmosfera di situ walaupun sibuk, masih aman. Ternyatalah itu adalah “calm before the storm”, kerana pakcik Isa tiba-tiba bangun membongkok di atas katil serta memuntahkan darah. Sangat banyak jumlahnya.

Saya segera memberinya plastik kuning untuk muntah, keadaan yang aman damai jadi kelam kabut. MO kecemasan datang, ubat untuk menghentikan darah terus diberi melalui jarum di tangannya.

House officer di situ terus menghubungi bank darah, 4 pint diminta. Normal saline dialirkan sepantas mungkin, dan jarum kedua turut dimasukkan normal saline, iaitu air garam. Hal ini adalah bagi menstabilkan tekanan darahnya.

Darah yang keluar bukanlah darah lama, atau bukanlah coffee-ground vomitus (iaitu darah yang sebahagianya sudah membeku seakan-akan warna bji kopi), sebaliknya frank blood iaitu darah merah terang yang mengalir laju keluar daripada mulutnya.

Pakar Jabatan Kecemasan terus ke Pakcik Isa, bleeding peptic ulcer atau variceal ulcer menjadi diagnosis yang mungkin. Pakcik Isa di’scan’ di bahagian abdomen untuk meng”exclude”kan diagnosis lain, akan tetapi, benda yang ditakuti menjadi kenyataan. Pakcik Isa mempunyai bleeding abdominal aortic aneurysm.

AAA atau abdominal aortic aneurysm adalah penyakit dimana ada pembengkakkan di bahagian abdominal aorta, iaitu salur darah utama yang terletak di bahagian abdomen kita. Antara risikonya adalah mempunyai sejarah darah tinggi, tinggi kolesterol dan risiko utamanya adalah merokok.

Pembengkakkan salur darah ini menjadikan dindingnya lemah, dan pendarahan amat mudah berlaku di dinding yang bengkak. Cuba anda bayangkan, salur darah ini berukuran lebih kurang 2 cm untuk pesakit normal, dan untuk pesakit AAA, pembengkakkan yang berlaku menjadikan saiznya sebesar melebihi 5 cm. Oleh kerana ianya salur darah utama, pendarahan di situ mempunyai kadar kematian yang tersangat tinggi.

Pakar bedah dihubungi, pakcik Isa masih sedar walaupun selepas muntah darah yang agak banyak. Dia hanya baring telentang sahaja, bernafas laju, dan setakat ini, tekanan darahnya masih stabil dengan bantuan cecair normal saline.

Pakcik Isa tidak pernah ke hospital sebelum ini, dia hanya mengetahui dia mempunyai sakit darah tinggi pun kerana dia pernah check di satu ekspo kesihatan dahulu. Tidak pernah terlintas untuk dirinya mendapatkan rawatan atau makan apa-apa ubat-ubatan sebelum itu. Masakan tidak, penyakit darah tinggi ini tiada apa-apa simptom.

Dalam hati saya terdetik kerisauan. Saya khuatir, bimbang inilah kali pertama dan kali terakhir dia ke hospital.

Perbincangan rancak berlaku antara pakar bedah dan pakar kecemasan. Peluang untuk selamat menjalani pembedahan adalah 10%, anak-anak pakcik Isa dipanggil, untuk berbincang mengenai bapa mereka.

Dalam erti kata lain, jika tidak dibedah, dia akan mati malam itu juga. Dan jika dibedah, 9 daripada 10 peluang dia akan mati di meja pembedahan.

Anak-anaknya membuat keputusan untuk tidak membedah kerana risiko yang sangat tinggi, dan bak kata orang, bedah mati, tak bedah pun mati. Anak-anaknya mahukan bapanya pergi dengan tenang. Tidak sanggup melihat bapanya mati di meja pembedahan.

Pakcik Isa muntah lagi, darah merah membasahi bajunya, lencun, serta sehingga menitik2 di atas lantai kecemasan. Tisu saya hulurkan, namun tidak cukup, saya segera ke sinki di Zon kuning untuk mengambil lebih banyak tisu.

Saya urut-urut belakang Pakcik Isa, dia muntah lagi, apron plastik yang saya pakai basah lencun dengan darahnya. Sangat merbahaya pula melihatkan darah yang banyak terkena badan, takut-takut ada penyakit berjangkit. Terus saya tukar apron plastik yang baru.

Pakcik Isa semakin restless, resah dan gelisah. Saya ke tepi untuk memberi laluan anak-anak dan cucu pakcik isa. Pakcik Isa yang tadinya berbaring kini duduk di atas katilnya, nafasnya semakin laju, namun masih berbicara seperti orang biasa.

Dia minta saya air kosong, segera saya mengambilkannya. Sambil saya hulurkan gelas kepadanya, sempat lagi dia berkata

“Minta maaf ya adik doktor, kena muntah pokcik pula”

“Eh, takpe pakcik, tak kisah, biasalah tu”, jawab saya sambil memandang mukanya. Saya melihat dalam-dalam matanya

Hanya Allah yang tahu perasaanya. Perasaan bahawa nyawa akan diambil dalam masa beberapa jam lagi, atau mungkin beberapa minit lagi. Saya lihat sahaja muka Pakcik Isa, dalam hati saya, bukannya perasaan sedih, sebaliknya perasaan takut.

Terbayang saya kalau saya berada di tempatnya. Sungguh menakutkan. Takut membayangkan alam barzakh, alam kubur, perasaan ditarik nyawa oleh malaikat serta membayangkan anak-anak bakal ditinggalkan.

Cuak. Seksa sakaratulmaut, seksa kubur. Takut, amalan di dunia yang sedikit, sembahyang yang tidak cukup, puasa yang belum diganti, dosa sesama manusia, hutang – piutang yang belum dijelaskan.

Ya Allah, takutnya hati ini. Muka saya jadi pucat, jantung jadi sebegitu laju melihat kejadian tersebut. Ya, semasa saya menulis entri ini pun, saya masih merasakan benda yang sama.

Pakcik Isa duduk di atas katil, berbual-bual dengan anak-anaknya di akhir hayat, memberikan kata-kata akhir, wasiat dan apa yang terbuku di dalam hatinya. Tangisan dan kesedihan memenuhi ruangan kubikel yang menempatkan katil pakcik Isa.

Jam 9.42 malam, pakcik Isa tercungap-cungap. Oksigen diberikan, dia mula tidak sedar. Tidak berbicara. Nafasnya semakin dalam, tetapi pendek, ibarat kelemasan. Mulutnya dibasahi darah, mukanya pucat, urat didahinya timbul.

Mulutnya makin kerap menyebut nama Allah. Saya lihat, itulah mungkin saat-saat terakhir yang Allah kurniakan kepadanya. Minta maaf dan keampunan daripada Allah. Taubat.

Tiba-tiba matanya terpandang ke atas. Berkerut-kerut dahinya, ibarat menahan sakit yang amat, Saya jadi takut, namun saya beranikan juga untuk melihat. Berdiri bulu roma saya berada di situ, ibarat merasakan maut bakal menjemput dalam masa beberapa saat lagi.

Tekanan darahnya 40/20 mmHg terlalu rendah. Denyutan nadinya mula perlahan. Beep! Beep! Hanya satu denyutan dalam masa beberapa saat. Alarm daripada mesin mula membuat bunyi bising. Ditutup sahaja oleh staf di situ. Dah diketahui nasibnya, dan diketahui tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi.

Tiba –tiba mukanya berkerut, macam sakit yang amat sangat. 2..3…5 saat…segala-galanya terhenti. Jantungnya berhenti berdegup, tiada lagi pernafasan.

Beeeeep! Bunyi mesin Dynamap dan di skrinya menunjukan satu garisan yang lurus. Kosong, semuanya kosong, tekanan darah 0, denyutan nadinya 0.

Medical officer menyuluh pada anak matanya, dan saya lihat mata hitamnya mengembang. Badannya keras, kaku dan sejuk. Dia diisytihar meninggal dunia jam 9.50 malam.

Jam 9.50 malam itu, tertutup segalanya untuk dia. Setiap langit tertutup buat namanya. Putus segala hubungan dengan dunia. Putus segala amal kebaikan didunia kecuali 3 perkara.

Tiada siapa yang tahu apa yang dirasainya, pendek kata, siapalah saya nak mengadili sama ada dia meninggal dengan cara elok atau tidak. Apa yang pasti, terasa betapa kerdilnya satu makhluk bernama manusia ini. Apabila saat kematian dah tercatat di Luh Mahfuz tiada satu pun makhluk dapat melewatkan atau menangguhkannya lagi.

Itu adalah pengalaman saya kali pertama melihat bagaimana seorang manusia, yang daripada sihat dan normal, sehingga ditarik nyawanya. Takut, sangat menakutkan.

Juga memikirkan, seperti Pakcik Isa pada hari kematiannya, cuba anda bayangkan, bangun pagi seperti biasa, tiba-tiba petang anda hampir pengsan, senja anda di hospital dan malam anda meninggal dunia,

Ya Allah, betapa tidak bersedianya hambamu ini untuk menghadapi kematian. Melangkah dari alam dunia ke alam barzakh, alam yang tidak diketahui dan tidak terjangkau dek akal fikiran untuk membayangkannya.

“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk. Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat.”

Al Fatihah kepada pesakit tersebut, semoga rohya ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman, Amin.

Credit: Ilzanno Sharky

Speak Your Mind

*