Apabila mengalami sakit yang kritikal, anda perlu mendapatkan rawatan di hospital. Namun persoalannya yang mana menjadi pilihan, sama ada hospital kerajaan atau swasta?
Sudah pasti setiap keputusan yang dibuat akan bergantung kepada kos pembiayaan. Jika ia mempunyai wang lebihan, sudah pasti hospital swasta yang akan dipilih kerana servis dan kualitinya lebih baik.
Berbanding hospital kerajaan, ia mengambil masa yang lama kerana terlalu ramai pesakit dan ia lebih murah berbanding swasta. Jangan pula anda mengharap akan mendapat layanan yang sama seperti di hospital swasta kerana anda akan di layan mengikut giliran dan keseriusan penyakit yang dihidapi.
Perbezaannya adalah ketara, jika sakit jantung, anda memerlukan kos pembiayaan sebanyak RM4,000 jika di hospital kerajaan, berbanding RM80,000 di hospital swasta.
Untuk penyakit katarak mata pula, anda hanya memerlukan sekitar RM100 hingga RM500 bagi setiap rawatan, dan kos yang diperlukan bagi penyakit yang sama adalah antara RM3,500 hingga RM6,000 jika di hospital swasta.
Berlainan pula dengan penyakit batu karang yang berlaku di buah pinggang anda, ia agak mahal walaupun anda mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, yang mana kos rawatannya adalah antara RM3,000 hingga RM10,000, bergantung kepada kerumitan sesuatu kes itu.
Jika anda memerlukan rawatan kemoterapi pula, anda hanya perlu membayar RM200 untuk setiap kali rawatan yang dijalani di hospital kerajaan, manakala di fasiliti swasta, jumlahnya boleh mencecah sehingga RM4,000 hanya bagi setiap kitaran kemoterapi tersebut.
Jika anda pernah mendapat rawatan bagi demam denggi di hospital kerajaan, anda pasti tahu ia adalah percuma. Tetapi tidak di hospital swasta yang mana anda perlu membelanjakan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 untuk rawatan tersebut.
Kos tambahan yang juga perlu dibayar:
Anda masih perlu membayar kos berkaitan yang lain seperti yuran konsultasi, yuran pendaftaran, caj harian wad, bayaran x-ray, ujian darah dan lain-lain lagi. Jika di hospital kerajaan, anda hanya perlu membayar RM1 bagi yuran konsultasi, tetapi anda perlu membayar antara RM30 hingga RM250 bagi perkhidmatan yang sama di hospital swasta.
Bagi yuran pendaftaran kemasukan ke hospital, anda hanya perlu membayar antara RM15 hingga RM35 bagi kemasukan di hospital kerajaan.
Manakala di hospital swasta, anda perlu membayar yuran kemasukan antara RM500 hingga RM2,000, atau 6% hingga 10% daripada kos keseluruhan pembedahan anda.
Mengapa terdapat perbezaan kos yang begitu besar antara hospital kerajaan dan swasta?
Perkara paling utama adalah disebabkan trend perubatan terkini dan pembangunan kaedah dan rawatan yang lebih moden. Selain itu, terdapat permintaan tinggi terhadap perkhidmatan perubatan seiring dengan peningkatan populasi penduduk.
Begitu juga dengan peningkatan kadar penyakit berkaitan gaya hidup yang tidak sihat sekaligus menyebabkan lebih ramai individu mendapatkan rawatan perubatan. Peningkatan kos rawatan di Malaysia dijangkakan berlaku antara 10 hingga 15% setiap tahun.
Ia mungkin tidak disedari kerana kebanyakan peningkatan ini berlaku di sektor perubatan swasta, manakala di sektor perubatan awam, ia disubsidikan oleh kerajaan dan peningkatan yang berlaku adalah sangat minimum.
Apa yang anda perlu lakukan?
Masih ramai di antara kita yang mengabaikan konsep gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian selain tidak mengambil mana-mana polisi insurans perubatan. Kedua-dua ini sangat membantu diri anda dalam mengurangkan tanggungan kos perubatan dan juga risiko untuk mengalami penyakit kronik.
Jadi, amalkan gaya hidup sihat sebelum anda dihidapi sebarang penyakit!
Speak Your Mind