Ini Yang Kamu Perlu Tahu Tentang GERD

Kamu pernah rasa pedih di bahagian tekak atau lebih spesifik, saluran esofagus seakan-akan hendak muntah dan sangat perit seperti ada sesuatu di tekak? Atau kamu berasa pedih ulu hati? Hmm, kamu mungkin mempunyai gastroesophageal reflux disease (GERD).
Segala Kamu Perlu Tahu Perihal GERD
Foto: 123rf

Siapa suka makanan pedas, berlemak, berasid dan berangin, angkat tangan? Rata-rata rakyat Malaysia memang gemar makanan seperti ini. Tahukah kamu ia memberi kesan tidak baik kepada tubuh lebih-lebih lagi apabila kamu baru saja selesai makan. Tidak ramai yang menyedari bahawa mereka menghidap penyakit penyakit refluks gastroesofagus sehinggalah badan beri tindak balas yang kurang senang setiap kali lepas makan atau beberapa jam selepas makan.

Akan tetapi, penyakit ini boleh dicegah. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mencegah refluks asid perut ke dalam esofagus melalui spinkter esofagus yang lebih rendah (LES), yang boleh merosakkan lapisan esofagus dan membawa kepada pelbagai penyakit termasuk kanser tekak.

Apa Itu GERD?

Ia terjadi apabila injap otot pada hujung esofagus tidak ditutup dengan betul. Esofagus adalah tiub yang membawa makanan dari mulut ke perut. Ini membolehkan kandungan perut kembali semula, atau refluks, ke kerongkong dan membuatkan penghidap merasa pedih. Kamu mungkin merasakan pembakaran di dada atau tekak yang dinamakan sebagai pedih ulu hati. Kadangkala, kamu boleh merasakan bendalir perut di bahagian belakang mulut. Jika kamu mempunyai simptom ini lebih daripada dua kali seminggu, kamu mungkin mempunyai GERD. Kamu juga boleh mempunyai GERD tanpa pedih ulu hati. Gejala kamu boleh termasuk batuk kering, asma atau masalah menelan.

 

Cegah Derita Kamu

Sesiapa saja termasuk bayi dan kanak-kanak boleh menghidap penyakit ini. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius. Dalam sesetengah kes, kamu mungkin memerlukan ubat atau pembedahan. Akan tetapi, ramai orang boleh perbaiki gejala mereka dengan mengamalkan beberapa cara. Berikut adalah petua yang kamu boleh cuba untuk mencegah GERD.

1) Kurangkan berat badan.

Obesiti adalah punca utama GERD. Lemak tambahan di perut memberi tekanan pada perut sekali gus mendorong asid gastrik mengalir atau naik semula ke dalam esofagus. Kamu disarankan untuk mengurangkan berat badan jika mempunyai masalah berat badan berlebihan. Ia boleh mengganggu sistem penghadaman kamu. Tapi, jika kamu mempunyai berat badan yang normal, ia bermaksud berat badan bukanlah punca kamu menghidap GERD.

2) Elakkan makanan yang menyebabkan refluks.

Jika kamu berisiko untuk menghidap GERD, elakkan makanan berlemak dan pedas. Antara makanan lain yang kamu perlu ketepikan adalah pudina, coklat, bawang, buah mangga, kopi atau sebarang minuman berkafein, minuman berkarbonat dan makanan berasid seperti tomato dan buah-buahan sitrus.

3) Makan dengan kuantiti yang lebih kecil dan lebih kerap.

Sekiranya kamu ambil makanan dengan kuantiti yang banyak dan mengisi perut kamu terlalu banyak, ia akan memberi tekanan di dalam sistem penghadaman dan berisiko mendapat refluks. Selain itu, kamu perlu makan dengan lebih kerap untuk memastikan asid tidak terbentuk di perut apabila membiarkan perut kosong untuk tempoh yang lama.

4) Jangan baring sebaik saja lepas makan.

Tunggu sekurang-kurangnya tiga jam. Graviti biasanya membantu mencegah asid refluks daripada berkembang. Apabila kamu makan dan kemudian berbaring untuk tidur, kamu membuatkan graviti tidak seimbang. Akibatnya, LES kamu akan tertekan dan asid akan mengalir ke dalam esofagus lantas menyebabkan refluks. Ubah tabiat buruk kamu dan elakkan ini daripada berlaku!

5) Tinggikan kepala kamu semasa tidur.

Ini bertujuan untuk mengelakkan asid naik ke esofagus. Dengan meninggikan kepala katil dari enam hingga lapan inci, ia boleh membantu graviti asid gastrik kekal di dalam perut. Kamu juga boleh menggunakan sokongan seperti bantal yang diletakkan secara menegak bagi memastikan badan kamu juga terangkat sedikit. Jangan gunakan bantal tambahan hanya di kepala kerana ia hanya menaikkan kepala dan tidak membantu mencegah GERD. Keseluruhan bahagian atas badan kamu perlu mendapatkan sokongan.

6) Berhenti merokok.

Beberapa kajian mendapati nikotin boleh melegakan otot-otot LES juga boleh mengganggu keupayaan air liur untuk membersihkan asid daripada esofagus. Tambahan pula, rokok sememangnya memudaratkan kesihatan. Bagi memastikan kesihatan kamu berada dalam keadaan yang terbaik, sila berhenti merokok.

7) Kurangkan atau berhenti ambil alkohol.

Seperti merokok, alkohol juga boleh menyebabkan LES kamu berehat. Ia juga boleh menyebabkan otot esofagus menjadi kejang. Oleh itu, sama juga seperti rokok, adalah lebih baik untuk berhenti minum minuman beralkohol.