Malaysia Negara Ke-16 Paling Aman Di Dunia

Jika anda bertanya kepada pelancong mengapa mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan, jawapannya adalah kerana keunikan yang ada dengan kehidupan pelbagai bangsa.

Malah dengan bangsa yang pelbagai itu mampu membuatkan masyarakat hidup dengan aman sekaligus mencatatkan Malaysia negara ke-16 paling aman di dunia.

Bagi senarai Asia Tenggara pula, Malaysia adalah negara ke-3 paling aman selepas Jepun dan Singapura.

Ia berdasarkan laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2019 sekaligus ia mampu menarik perhatian pelabur dan pelancong asing untuk datang ke Malaysia.

Laporan itu juga menunjukkan kedudukan yang baik berbanding tangga ke-26 pada 2018, ia suatu pencapaian yang boleh dibanggakan!

Dengan capaian tersebut, ia juga mampu menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 juta resit pelancongan pada tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Sasaran itu dinyatakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar menjadikan VM2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

Malah, pelbagai destinasi pelancongan yang boleh dikunjungi sama ada di sebelah utara yang terkenal dengan syurga makanan di Pulau Pinang, di belah timur dengan seni dan budaya tersendiri di Kelantan dan Terengganu serta di sebelah barat yang terkenal dengan keindahan alam dan semulajadi.

Begitu juga di Sabah dan Sarawak mempunyai keunikan yang mampu menggamit hati pelancong, namun kerajaan kini sedang mempergiat aktiviti kawalan daripada dicerobohi anasir luar yang sebelum ini sering berlaku pencerobohan dan penculikan di sana.