Tular mengenai kisah bawang merah boleh membantu menyerap kuman influenza. Memandangkan sekarang sedang berlakunya musim jangkitan flu tersebut, maka bermulalah episod meletak bawang keliling rumah dan di dalam bilik.
Mungkin ada yang masih bingung atau tidak mengetahui mengenai kisah bawang merah yang dikatakan menyerap kuman ini.
Ia adalah mengenai hantaran yang tular di dalam media sosial Facebook, mengisahkan tentang beberapa versi berkenaan bawang yang boleh menyerap bakteria dan kuman.
Dalam dakwaan yang tular itu, mengatakan terdapat seorang doktor telah mengunjungi sebuah keluarga petani dan mendapati keluarga tersebut berada dalam keadaan sihat.
Sedangkan jiran-jiran mereka menderita selesema dan penyakit bawaan bakteria seperti demam, cirit-birit, kudis dan lain-lain.
Doktor bertanyakan kepada petani tersebut bagaimana keluarganya tetap sihat sedangkan jiran-jiran mereka menderita sakit. Isteri petani menjawab, caranya mudah. Mereka hanya perlu meletakkan bawang merah yang telah dikupas di dalam piring pada setiap ruang rumah.
Doktor amat tertarik dan meminta untuk melihat bawang yang telah digunakan itu dibawah mikroskop. Hasilnya, beliau mendapati virus selesema dan bakteria serta kuman lain terlekat pada bawang tersebut.
Bawang itu dikatakan berfungsi menyerap semua virus dan bakteria sekitarnya dan secara tidak langsung dapat mengelakkan keluarga petani tersebut daripada dijangkiti penyakit bawaan virus dan bakteria.
Tiada bukti saintifik
Apa yang menjadi persoalan kini, adakah kisah yang tular itu sahih? Betulkah bawang merah dapat membantu menyerap bakteria dan kuman? Wujudkah sebarang bukti atau kajian yang mengesahkan mengenai dakwaan yang tular ini?
Memetik satu laporan akhbar, menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, “Tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang boleh menyokong dakwaan bahawa penggunaan bawang merah mampu merawat influenza.”
“Walau bagaimanapun, ia adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Jika anda ingin mengamalkan petua hirisan bawang tersebut atau menggunakan sebarang semburan pembunuh kuman, cuma janganlah secara berlebihan,” ujar Dr Lee lagi.
Beliau turut menyarankan agar setiap individu untuk mengamalkan penjagaan kebersihan diri serta mengambil pemakanan yang seimbang bagi menghindari atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko terkena jangkitan.
Manfaat kesihatan bawang merah
Jadi setakat ini, apa yang boleh disimpulkan, bawang merah tidak mempunyai fungsi untuk menyerap kuman atau bakteria. Tetapi sekiranya anda ingin mencuba, tiada salahnya. Cuma diharapkan anda mampu menahan bau bawang di segenap ruang rumah anda.
Walaupun bawang tidak dapat membantu mencegah jangkitan influenza, namun, terdapat pelbagai manfaat kesihatan yang boleh diperolehi daripada bawang yang berwarna merah keunguan ini.
Berikut dikongsikan beberapa manfaat yang ditawarkan oleh bawang:
Menguatkan sistem ketahanan badan
Bawang kaya dengan vitamin C yang merupakan sejenis antioksidan. Kehadiran vitamin C ini membantu melawan radikal bebas yang berpotensi merosakkan sel-sel di dalam badan. Risiko penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan kanser dapat dikurangkan.
Kandungan quercetin dan antosianin di dalamnya dipercayai mampu melawan dan menghancurkan sel kanser dalam badan. Ia turut mengandungi selenium, yang mampu meningkatkan sistem imun badan.
Dengan memakan bawang ini, ia dianggap sebagai bantuan kepada sistem imun dan anda akan dapat mencegah diri daripada jangkitan penyakit. Jika ingin memperkuatkan sistem imun, mungkin anda boleh memperbanyakkan penggunaan bawang ini dalam masakan anda, dan jika anda boleh mengambilnya secara mentah, kenapa tidak?
Bagus untuk penghidap anemia
Penghidap anemia mempunyai kadar hemoglobin yang rendah. Hemoglobin adalah sejenis protein di dalam sel darah merah yang dihasilkan daripada zat besi. Ia berfungsi membawa oksigen di dalam darah. Bawang merah mengandungi kadar zat besi yang baik. Ia sekali gus membantu meningkatkan zat besi serta hemoglobin di dalam badan.
Mencegah keradangan
Anda yang sering mengalami keradangan atau iritasi, terutama pada bahagian leher, mungkin boleh untuk mengamalkan pengambilan bawang merah dalam masakan dan diet anda. Ini kerana kandungan quercetin pada bawang dapat meredakan keradangan.
Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit pada bahagian kepala yang disebabkan oleh selesema dan hidung tersumbat.
Hal ini disebabkan oleh kandungan sulfur pada bawang yang mampu memecahkan mukus.
Melawan bakteria
Terlebih dahulu, menyerap bakteria dengan cara meletakkan hirisan bawang pada persekitaran dan melawan bakteria melalui pemakanan, adalah dua situasi yang berbeza, okay? Takut ada yag keliru pula.
Bawang boleh melawan bakteria berbahaya seperti Escherichia coli (E. coli), Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus (S. aureus) dan Bacillus cereus.
Tambahan pula, ekstrak bawang menunjukkan ia membantu menghalang pertumbuhan Vibrio cholerae, bakteria yang menjadi kebimbangan kesihatan awam utama di negara-negara yang membangun.
Meningkatkan kualiti tidur
Sekiranya anda mempunyai atau sering berdepan dengan masalah sukar untuk tidur, anda mungkin boleh mencuba untuk memperbanyakkan pengambilan dan penggunaan bawang ini di dalam masakan anda.
Ini kerana bahan ini dikatakan mempunyai probiotik yang dapat membantu meningkatkan kualiti tidur dan mengurangkan tekanan.
Di samping itu, dikatakan terdapat bakteria baik dalam bawang ini yang dipercayai dapat merangsang fungsi otak dengan lebih baik.
Membantu penghadaman
Mengalami gangguan pencernaan memang menjadi masalah yang serius.
Oleh kerana bawang ini kaya dengan serat yang baik bagi pertumbuhan bakteria baik dalam usus, ia membantu melancarkan sistem penghadaman dan memastikan pergerakan usus yang baik.
Serat juga membersihkan usus serta membuang kotoran di dalam badan dan mencegah masalah sembelit.
Bawang juga mengandungi bahan kimia saponin yang boleh mengurangkan sakit dan kekejangan perut.
Tidak salah jika anda ingin mencuba menggunakan hirisan bawang sebagai salah satu ikhtiar dalam mencegah jangkitan influenza.
Namun, dalam masa yang sama anda masih perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza untuk membantu mencegah jangkitan virus ini.
Speak Your Mind