Pernah tak anda mendengar mitos tentang perkaitan saiz kepala dan kecerdikan? “Semakin besar saiz kepala, semakin bijak sebenarnya anda”, kata mereka. Pemikiran ini selalu didengar di kalangan mereka yang sudah berusia atau kita kenali sebagai kata-kata orang tua-tua. Namun, benarkah perkaitan ini atau pun hanya sekadar mitos semata-mata?
Kalau mengikut logik akal, kebijaksanaan yang bergantung kepada saiz otak agak mengelirukan jika kita melihat pada saiz binatang besar seperti gajah. Pastilah otak mereka besar, tetapi sebenarnya kecerdikan gajah adalah lebih rendah berbanding haiwan lain umpamanya ikan lumba-lumba. Ikan lumba-lumba mempunyai saiz otak yang kecil jika dibandingkan dengan gajah, tetapi hakikatnya ikan lumba-lumba sebenarrnya adalah
hidupan kedua terbijak selepas manusia.
Berbalik pada saiz otak dan kecerdikan, terdapat dua pendapat berkait hal ini. Ada pendapat yang mengatakan saiz memang berkait dengan kecerdikan, manakala satu lagi pendapat mengatakan sebaliknya. Bagi yang bersetuju, hujah mereka didasarkan pada kajian tahun 1979 yang dikendali oleh pengkaji bernama Passingham, yang menemui perkaitan antarara kapasiti saiz kranium otak dan IQ, namun perkaitan itu adalah perkaitan
kecil.
Selain itu, hujah kumpulan ini disokong dengan penemuan mengenai perkaitan rapat antara ujian IQ dan saiz otak melalui ujian MRI. Tambah lagi, terdapat juga kajian yang mendakwa mereka menemui gene IQ spesifik (HMGA2) yang, menurut mereka, gene ini bertanggungjawab menghasilkan protein yang bertindak meningkatkan saiz isi padu otak.
Malangnya, pendapat ini ditentang dengan pendapat yang mengaitkan saiz otak ini dipengaruhi oleh genetik, jantina dan bangsa, yang menghalang perkaitan terus antara saiz otak dan kecerdikan. Tambahan lagi, pendapat ini tidak dapat dibuktikan dengan sahih kerana IQ dan kecerdikan tidak dapat diletakkan sebagai ukuran yang sama. Hal ini kerana IQ yang tinggi tidak menjamin kecerdikan kerana ia tidak mengukur fungsi kognitif secara keseluruhan.
Kecerdikan adalah diasaskan pada dua kebolehan iaitu kebijaksanaan (‘intelligence atau kecerdasan’) dan fungsi kognitif. Ujian IQ menilai kecerdasan manakala fungsi kognitif menterjemah kecerdasan itu kepada pemikiran, perlakuan dan perbuatan. Kedua-dua faktor ini saling melengkapi antara satu sama lain. Disebabkan itulah, perkaitan antara saiz dan kecerdikan tidak dapat diterima sebagai fakta, kerana saiz mungkin mempengaruhi IQ, tetapi tidak mempengaruhi kecerdikan secara menyeluruh.
Kajian dari penyelidik neurosains mendapati kepadatan isipadu otak dengan sel otak yang berhubung melalui sinaps sel neuron adalah penentu kecerdikan berbanding saiz. Kepadatan isi padu jirim kelabu otak di bahagian prafrontal memberi impak pada fungsi kognitif dan jugak kecerdikan seseorang. Ini boleh dilihat pada perbezaan mereka yang mempunyai masalah Alzheimers, yang mana isi padu sel neuron di jirim kelabu otak
mereka berkurangan menyebabkan kebolehan kognitif dan kecerdasan mereka jelas terjejas.
Jadi jelaslah disini bahawa isi padu otak yang mempunyai kepadapatan sel neuron yang aktif berhubung lebih signifikan untuk menjadi penentu kebijaksanaan secara menyeluruh berbanding teori saiz otak. Contoh paling terkenal berkait hal teori saiz dan kecerdikan ialah kajian saiz otak Albert Enstein. Albert Einstein adalah satu jasad manusia yang tidak boleh dinafikan kecerdikannya. Tapi tahukah anda, saiz otak Albert Enstein hanyalah bersaiz normal tetapi kepadatan isi padu jirim kelabu otaknya dikatakan lebih padat berbanding otak orang biasa. Namun, kajian itu masih tidak dapat disahihkan pada saat ini.
Sebagai kesimpulan, perkaitan saiz dan kecerdikan masih tidak dapat dipastikan sebagai fakta atau pun hanya sekadar mitos kerana ia masih dikaji para saintis dan pendapat berkait hal ini adalah pelbagai. Tetapi apa yang pasti, kepadatan isi padu otak
mempengaruhi kecerdikan dan IQ seseorang manusia.
Rujukan:
1. Passingham RE (1979); Brain size and intelligence in man. Brain Behav Evol.
16(4):253-70.
2. Rushton J.P. and Ankey C. D. (2007). The evolution of brain size and intelligence. In
S. M. Platek, Evolutionary cognitive neuroscience (pp. 121-161). Cambridge, MA: MIT
Press.
Link yang menarik untuk pengetahuan am:
https://blog.udemy.com/cognitive-assessment/
https://www.popsci.com/what-does- brain-size- have-to- do-with- intelligence