Selalunya cerita hantu yang seram dan paling menyeronokkan adalah cerita seram yang diinspirasi atau berasal daripada kisah yang benar.
Di Malaysia pun kita tahu ada beberapa hotspot atau tempat yang berhantu seperti Highland Tower ataupun yang paling popular Lebuhraya Karak. Pelbagai cerita yang boleh didapati kalau bercerita tentang tempat-tempat tersebut.
Tapi dalam dunia ni ada beberapa rumah hantu yang digelar paling seram dan keras sehingga ada yang dijadikan filem.
5. Monte Cristo, Australia
Rumah agam era Victoria yang dibina pada tahun 1876 oleh Christopher William Crawley, amat dikenali sebagai salah satu rumah yang paling berhantu di Australia.
Pelbagai jenis tragedi yang telah berlaku di rumah ini. Ada insiden seperti seorang budak kecil dibuang dari atas tangga, budak penjaga kuda dibakar sehingga mati dan pembantu rumah jatuh dari beranda.
Lagi menakutkan apabila anak lelaki kepada salah seorang penjaga bagunan tersebut telah dirantai selama 40 tahun bersebelahan mayat ibunya. Di kediaman ini juga ada salah seorang penjaga bangunan yang lain pula telah dibunuh.
Mereka yang pernah tinggal di kediaman ini kerap merasai kehadiran pemilik asal rumah tersebut iaitu Christopher dan Elizabeth Crawley. Pelbagai kejadian yang berlaku seperti bahu dipegang, nama dipanggil, rasa macam ada yang memerhati serta kedengaran bunyi tapak kaki yang kerap berlaku dan terdapat juga beberapa foto lembaga yang diambil secara tidak sengaja.
4. Borley Rectory, England
Dibina pada tahun 1862 di atas tanah bekas sebuah biara lama, Borley Rectory yang terletak di Essex ini dirujuk sebagai antara rumah yang paling berhantu di England.
Sebuah akhbar pernah dilaporkan bahawa penampakan lembaga seorang biarawati pada tahun 1929 dan atas permintaan, seorang penyiasat fizik bernama Harry Price diminta untuk menyiasat dakwaan paranormal.
Lembaga biarawati itu sering dilihat di sekitar taman kediaman itu dengan mukanya tunduk kesedihan. Terdapat juga laporan dari saksi yang terlihat cahaya pelik, terdengar bunyi tapak kaki, bisikan serta bunyi kereta kuda di luar kediaman.
Satu kebakaran yang berlaku pada tahun 1939, memusnahkan rumah itu dan ianya dirobohkan sepenuhnya pada tahun 1944. Walaupun rumah itu sudah tiada, masih banyak lagi kejadian paranormal dilaporkan seperti pengunjung dibaling dengan batu.
3. Amityville Horror House, Amerika Syarikat
Antara rumah hantu yang paling popular sehingga menjadi inspirasi kepada penghasilan filem The Amityville Horror. Terletak di New York, ia menjadi lokasi pembunuhan besar-besaran pada tahun 1974. Seorang lelaki berumur 23 tahun membunuh seluruh ahli keluarganya iaitu kedua ibu bapanya dan empat adik-beradiknya semasa mereka sedang tidur.
Beberapa bulan selepas kejadian tersebut, keluarga Lutz berpindah ke rumah tersebut dan mereka turut mengalami pengalaman yang mencemaskan yang masih menghantui mereka sehingga hari ini.
Keluarga Lutz sering terjaga setiap malam tepat pada waktu yang sama pembunuhan dilaporkan berlaku iaitu pada jam 3:15 pagi. Menyeramkan lagi, mereka sering menyaksikan pelbagai objek terbang melintasi bilik, patung salib mereka diterbalikkan dan juga biasa melihat sepasang mata entiti merenung tajam ke arah mereka.
2. Myrtles Plantation, Amerika Syarikat
Ladang Myrtles ini terletak di St. Francisville, Louisiana yang dibina pada 1796 oleh Jeneral Dave Bradford. Ladang ini dikhabarkan mendiami sekurang-kurangnya 12 roh hantu yang dilaporkan menyerupai hamba ketika zaman Perang Saudara.
Seorang kanak-kanak perempuan bernama Chloe merupakan salah satu hantu yang dilihat dalam sekeping gambar yang diambil di antara dua buah bangunan di situ.
Ada gambar yang pernah diambil di ladang ini menjadi terkenal kerana mempunyai penampakan seorang budak perempuan sedang memerhati kea rah luar tingkat dan tepat kea rah kamera. Budak itu diberikan nama sebagai ‘Budak Hantu’ kerana tiada siapa yang mengenalinya.
1. Ancient Ram Inn, England
Kediaman yang pertama dibina pada tahun 1145 ini terletak di Wotton-under-Edge di Cloucestershire merupakan rumah penginapan yang paling berhantu di seluruh England.
Menurut lagenda yang mengatakan bahawa rumah ini dibina atas tapak perkuburan agama Pagan purba di mana upacara korban kanak-kanak pernah dilakukan. Tapak itu juga dikatakan pernah menjadi tempat ahli sihir dibakar.
Ramai tetamu yang menginap sini sering lari keluar pada waktu malam menyatakan mereka menyaksikan pelbagai perkara yang menakutkan berlaku. Ada yang pernah menyaksikan perabot dan objek berterbangan dan bergerak dengan sendirinya.
Ada yang pernah ditolah jatuh dari katil, melihat budak perempuan di laluan utama dan paderi wanita duduk di dalam bilik. Malah pelbagai bunyi yang menakutkan didengari seperti kanak-kanak menangis, menjerit dan bermain.
Speak Your Mind