Dalam kehidupan era kini, memiliki kad kredit dilihat sebagai satu keperluan dan perlu ada bagi setiap orang untuk digunakan jika berada dalam situasi kecemasan.
Bagaimanapun sesetengah golongan millenial menggunakan kad kredit tanpa mengetahui fungsi dan kegunaan sebenar kad kredit.
Oleh sebab itu, ia boleh membuatkan seseorang itu boros dan terlebih belanja.
Ikuti tip 7 perkara mengenai kad kredit supaya anda dapat menggunakannya dengan bijak.
1. Kredit limit
Kredit limit akan bergantung pada gaji sewaktu memohon kad kredit. Jadi janganlah cakap bank A bagi sikit, tetapi bank B bagi banyak. Sebab ianya bukan salah bank. Ada juga orang yang sudah mohon pada satu bank lepas itu dia juga mohon dengan bank kedua. Tapi marah bila dapat kredit limit tidak sama dengan bank pertama yang dia mohon. Mestilah tidak sama, sebab bank pertama yang dia mohon waktu itu belum ada kad lain lagi sebagai tanggungan.
Tapi jangan risau, kredit limit boleh dinaikkan dengan hantar slip gaji terkini dan boleh mohon peningkatan kredit limit. Ia boleh di mohon setiap 3 bulan. Jika anda ada 2 kad kredit dibawah satu bank, had kad kredit itu boleh “swap” ikut kita suka. Contoh kita ada 2 kad dengan limit 10K. Maka boleh sahaja kita mohon swap untuk jadikan ia 7K-3K, 6K-4K atau sebaliknya.
Anda juga boleh memohon untuk menurunkan kredit limit. Tidak perlu bagi slip gaji hanya perlu beritahu sebab seperti mahu kawal penggunaan dan kurangkan penggunaan kredit kad.
Anda jangan sangka kad yang lebih grand macam signature, limit lebih tinggi daripada kad biasa seperti gold. Ini kerana ada banyak juga orang kad biasa tapi limit ratus ribu. Jadi jenis kad tidak menggambarkan limit dalam itu tinggi atau rendah. Tetapi anda perlu tahu, kad yang grand perlukan gaji minima yang tinggi untuk mohon. Jadi biasanya memang akan dimiliki oleh orang yang bergaji tinggi.
2. Kad suplemen
Syarat untuk buat kad suplemen mudah sahaja. Biasanya bank tidak lihat ccris untuk bagi kelulusan kad suplemen. Yang penting orang yang dinamakan ialah ahli keluarga terdekat. Contoh, bagi pada isteri atau anak-anak. Biasa orang mohon kad suplemen untuk isteri bagi tujuan kegunaan waktu kecemasan, kalau untuk anak pula biasanya kalau anak itu belajar di luar negara. Senang kalau ada apa-apa boleh swipe kad kredit dulu. Tapi had umur minima untuk dinamakan mesti 18 tahun dan ke atas sahaja.
Ada bank dia boleh benarkan kita set limit maksima yang boleh digunakan oleh pemegang kad suplemen. Tetapi majoriti bank sekarang sudah tidak boleh buat ketetapan ini. Maksudnya, automatik kalau limit kredit kad itu 10K maka isteri dan anak boleh habiskan dalam satu hari juga tanpa sekatan.
3. Pulangan wang dan mata ganjaran kad
Sebagai pengguna, anda perlu tahu kad kredit mana yang tawarkan pulangan wang atau “cash back” serta mata ganjaran yang ternyata berbaloi.
Dan sudah pasti “cash back” lebih berbaloi, ini kerana anda akan mendapat diskaun dalam setiap pembelian.
Ia akan terus ditolak daripada jumlah hutang kad kredit dan ia dikira lebih jimat. Namun apa yang perlu anda tahu, “cash back” yang diberi pun ada had limit. Biasanya satu kad sebulan RM50 sahaja.
Berbeza pula dengan mata ganjaran. Ia hanya mengumpul mata ganjaran dengan setiap pembelian tetapi sangat jarang pelanggan yang datang bank dan tuntut mata ganjaran untuk ditukar dengan pilihan hadiah yang wujud dalam katalog.
Cuba manfaatkan semua kebaikan yang ada terutama promo diskaun yang diberikan. Ini kerana lain jenis kad lain promo yang ditawarkan. Biasanya promo akan dihantar melalui email.
“Cash back” juga sangat bagus jika digunakan dalam pengisian minyak kereta.
4. Kadar faedah kad kredit
Ramai yang terperangkap bila mereka ada kad kredit tetapi hanya buat bayaran minima dan secara tidak langsung mereka akan dikenakan caj agak mahal.
Caranya, selesaikan terus hutang kegunaan kad kredit bulan berkenaan sebelum tarikh akhir. Jadi sebagai pengguna anda kena ambil tahu bila penyata keluar dan bila pula tarikh akhir bayaran. Ini kerana lain kad lain tarikh penyatanya. Malah kad itu juga ikut pada tarikh pengaktifan.
Tetapi jika anda berhasrat mahu tukar tarikh penyata ia boleh dilakukan. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah dengan menghubungi khidmat pelanggan bank berkenaan, dan mohon untuk penukaran tarikh. Biasanya alasan yang diberikan mahu pastikan ia selepas gaji keluar, jadi senang untuk buat bayaran sebelum tarikh akhir.
5. Kad tidak aktif
Ada juga orang yang ada banyak kad kredit tetapi tidak diaktifkan. Biasanya bank akan auto terminate sahaja jika tidak diaktifkan 6 bulan dari tarikh penerimaan kad kredit. Jadi jika anda ada kad kredit tetapi tidak diaktifkan lebih 6 bulan. Buang sahaja, kerana ia sudah tidak berguna, tetapi guntinglah dulu ya.
Paling penting kena tahu, jika kad sudah diaktifkan maka kita perlu bersedia dengan annual fee. Masih banyak kad kredit yang caj tahunan yang agak tinggi hingga RM 600 setahun. Tetapi anda boleh minta “waiver”.
Sesetengah bank akan bagi “auto waiver” jika kad kredit berkenaan digunakan minimum satu bulan satu kali. Jadi, bagi pemilik kad kredit sila pastikan anda tahu berapa caj tahunan dan apa yang perlu dilakukan untuk dapatkan waiver. Kalau kredit kad anda “free for life” bermaksud memang tiada caj tahunan langsung, maka ini ialah lebih baik.
Anda juga perlu tahu caj tahunan ini juga akan dikenakan pada kad suplemen. Biasanya separuh harga daripada apa yang dikenakan pada pemegang kad principal.
6. Pindahan dan penukaran baki
Ramai tidak tahu kad kredit rupanya boleh pindahkan baki yang boleh digunakan untuk tujuan bayaran hutang kad kredit daripada bank yang lain.
Biasanya caj lebih murah berbanding terus bayar menggunakan cara biasa pada kad kredit yang berhutang. Jadi orang biasanya buat untuk kurangkan caj yang dikenakan pada kad kredit yang lagi satu.
Manakala bagi penukaran baki atau “convert balance” pula ibarat anda tukarkan segala hutang dalam kad kredit kepada bayaran bulanan. Contoh hutang shopping dekat mall RM10,000 maka anda tukarkannya kepada 10 kali bayar. Sebulan bayar RM1,000. Ini lebih jimat daripada caj yang lebih mahal jika tidak lakukan “convert”.
7. Ansuran tunai
Biasanya jika anda terima panggilan daripada bank, inilah antara tawaran yang paling menarik bagi pengguna kad kredit. Dalam bahasa mudahnya ia umpama “personal loan”. Tetapi kita buat loan atas limit kredit yang ada sahaja.
Tetapi jangan keliru dengan “cash out” atau pengeluaran terus tunai dari mesin ATM. Ini sangat-sangat tidak digalakkan. Kebiasaanya limit setiap pengeluaran RM500 dan setiap transaksi akan dicaj RM50. Belum lagi dengan caj lain. Jadi jangan keluarkan cash dari ATM guna kredit kad ya. Tidak berbaloi langsung.
Ansuran tunai ada baiknya berbanding “personal loan” sebab rate yang ditawarkan jauh lebih murah. 2% pun ada. Berbanding personal loan yang berbelas peratus. Lain bank lain tawaran dan lain daya penariknya. Yang pasti ianya pinjaman wang yang perlu dibayar kembali.
Speak Your Mind