Semua Orang Berisiko Sakit Jantung, Pembunuh Utama Manusia

Semua Orang Berisiko Sakit Jantung, Pembunuh Utama Manusia

Penyakit yang mempunyai simptom tertentu dan jelas sifatnya lebih mudah dikesan, maksudnya, lebih mudah juga untuk kita berhati-hati apabila mempunyai simptom berkenaan. Apabila setiap 20 serangan penyakit ini berlaku dan ada kematian kerananya dalam setiap minit, nampaknya penyakit ini amat membunuh! Bagi mereka yang berumur lebih 75 tahun, keadaan lebih rumit kerana penyakit ini boleh menyerang tanpa apa apa tanda. Bagi pesakit wanita berumur kurang 50 tahun, mereka berisiko meninggal dunia kerana penyakit ini berbanding kaum lelaki dalam usia yang sama. Penyakit ini tidak lain tidak bukan ialah penyakit jantung.

Apabila setiap 20 serangan penyakit ini berlaku dan ada kematian kerananya dalam setiap minit, nampaknya penyakit ini amat membunuh!

Maka, hasrat kerajaan menambah bilangan doktor pakar dalam bidang kardiologi pastinya memberi makna dan harapan kepada ramai orang tidak kira pesakit, sanak saudara dan rakan taulan. Pengumuman  Timbalan  Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye baru-baru ini merujuk kepada keperluan antara kira-kira 120 hingga 150 pakar jantung untuk berkhidmat di sembilan pusat rawatan jantung di seluruh negara berbanding jumlah yang ada iaitu hanya 30 hingga 40 orang bagi setiap pusat. Penyakit pembunuh utama di dunia ini dengan lebih 17 juta pesakit meninggal dunia mengancam manusia tidak terkecuali di Malaysia. Misalnya, penyakit jantung adalah punca utama kematian di negara ini pada 2016 atau mewakili 13.2 peratus daripada jumlah kematian tempatan.

Pada dasarnya beberapa petanda yang menunjukkan seseorang itu mulai diintai dengan sakit jantung, antaranya rasa sakit di dada dan berpeluh. Petanda yang lain seperti  rasa seperti sakit perut yang yang amat sangat,  pesakit mungkin berulang-ulang ke bilik air. Namun begitu tanda-tanda sakit jantung antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain adalah berbeza-beza. Berdasarkan pengalaman pesakit tanda yang paling jelas membuktikan seseorang terkena sakit jantung adalah sakit di lengan kiri, menular ke bahagian belakang disertai sakit dada, lengan, dan rahang.

Simptom Seramgan jantung

Salah seorang penulis mempunyai dua pengalaman peribadi yang berkaitan dengan pesakit jantung. Pertama pada tahun 2011 dalam lawatan ke Kuching, salah seorang peserta mula berulang alik ke bilik air. Keadaan ini tidak begitu merisaukan sebab sebelum ke sini,  dia telah ke klinik dan doktor mengesahkan hanya gastrik sahaja. Bersama-sama bekalan ubat-ubatan tersebut kami berkumpul untuk meneruskan tugasan di Bumi Kenyalang. Namun malang tidak berbau, sepanjang perjalanan ke hotel keadaannya kian tidak stabil. Badannya mula berpeluh, sejuk seluruh badan. Keadaan ini dapat saya rasakan apabila dia minta izin untuk tidur di atas ribaan.  Kami terus ke klinik swasta yang berhampiran dan doktor yang pada awalnya mesra terus memberi arahan yang membuatkan kami terpinga-pinga “Jika pesakit sudah berpeluh macam ni, sakit tangan kiri  bersambung ke bahagian belakang, itu petanda sakit jantung. Cepat-cepat bawa ke Hospital Pakar. Pergi sekarang! saya akan telefon hospital tersebut.” Dia terus bangun dan masuk ke ruang pejabat klinik tersebut.  Kami pula cuba bergerak sepantas kilat meluru ke kereta, syukurlah kawan saya masih boleh berjalan.  Sepanjang perjalanan saya tidak berhenti-henti mengurut dadanya, tidak sampai sepuluh minit kami sampai di Hospital Pakar yang dimaksudkan.

Sebaik sahaja sampai, semua kelengkapan dan keperluan telah tersedia. Begitu pantas mereka menyambar kawan saya menuju ke bilik kecemasan. Selepas itu barulah proses pendaftaran dan lain-lain dilaksanakan. Syukur rakan kami selamat kerana kerja pantas semua pihak. Sebelah malamnya kami dibenarkan melawat, keadaannya kembali seperti biasa. Kami bergilir-gilir bercerita tentang apa yang berlaku sepanjang hari. Dalam keriuhan yang terakhir itu kawan saya memberitahu yang suaminya akan menyusul esok. Mereka bercadang bercuti seminggu di Kuching agar keadaannya betul-betul pulih.

Selepas itu, kesihatan kawan saya bertambah stabil, mukanya berseri-seri.  Berdasarkan keadaan ini dan pengalaman doktor yang merawat, dia dibenarkan berpindah ke Hospital Besar Kuching. Kami ditugaskan mengurus perkara tersebut, sementara yang lain meneruskan mesyuarat dan tugasan masing-masing seperti yang telah dirancang. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kita merancang Allah SWT yang menentukannya. Ketika menunggu proses bertukar pakaian hospital, kami dikejutkan yang dia telah pergi selama-lamanya. Satu berita yang sangat sukar diterima.  Pengalaman yang terpahat mati apabila tidak sampai sepuluh minit, dua keadaan yang sangat berbeza terpaksa kami lalui. Sepuluh minit pertama yang penuh dengan cerita-cerita menarik dan laporan doktor mengenai status penyakit yang begitu bernasib baik kerana mendapat rawatan awal. Dia begitu ceria bercerita perancangan percutian selama seminggu di Kuching, seterusnya memohon maaf kerana tidak dapat terlibat dengan rombongan kami.  Namum keadaan berubah sepenuhnya pada sepuluh minit terakhir kami melihat badan yang terbujur kaku lengkap berbaju ungu, baju yang dia minta kami ambil dari dalam begnya. Satu pengalaman yang menggambarkan pelbagai kemungkinan yang boleh bagi setiap saat bagi pesakit jantung.

Faktor Serangan Jantung

Dari segi risiko, kebiasaan orang yang lebih berisiko untuk mendapat serangan jantung ialah perokok, penghidap  darah tinggi, penghidap kencing manis, mempunyai kolesterol yang tinggi, obes dan kerap mengalami tekanan hidup. Namum tidak semestinya mereka yang tidak diduga risiko ini tidak akan langsung mendapat sakit jantung. Fakta ini merujuk kepada pengalaman salah seorang penulis pada tahun 2017. Kesemua ciri-ciri di atas tidak ada pada suami, kecuali tekanan darah tinggi pada paras berjaga-jaga. Walau pun keadaan kesihatan yang tidak begitu kritikal,  namun sikap tidak mematuhi jadual temu janji dengan pihak hospital menyebabkan satu tragedi yang sangat menakutkan. Pada suatu malam suami yang baru tidur tiba-tiba tersedar dan terus  meluru ke bilik air. Keadaan ini berulang-ulang sehinggalah dia kepenatan. Jam hampir pukul 12.00 malam, kami mengambil keputusan segera ke klinik. Hampir setengah jam berpusing-pusing akhirnya ditemui satu klinik yang beropersi 24 jam. Doktor yang merawat begitu yakin yang suami terkena serangan gastrik. Namum apa yang berlaku sebaliknya, ubat tahan sakit yang diberi tidak memberi sebarang kesan, kesakitan berterusan dan kian ketara.  Keadaan ini menyebabkan kami terus menuju hospital pakar berhampiran. Kata-kata doktor  yang merawat kawan semasa di Kuching enam tahun lepas kembali segar diingatan.

Sesampai di hospital, ujian ECG dilakukan dengan segera. Sesuatu yang sangat diluar jangkaan, jantung suami  tersumbat dan perlu segera di bawa ke hospital besar untuk rawatan. Sesampai di hospital besar rawatan segera dilaksanakan, dalam keadaan kekeliruan, keseorangan penulis menandatangi borang persetujuan rawatan suami dengan pelbagai risiko yang sangat menakutkan. Dalam keadaan terpaksa, semua risiko yang dimaklumkan doktor diterima sebaiknya, termasuklah memaklum dan memanggil semua kaum keluarga terdekat ke hospital. Empat jam berlalu suami belum melepasi tahap kritikal, kaum keluarga semakin ramai yang berhimpun, namun belum mampu mengurangkan getaran di hati. Enam jam berlalu, melepasi tahap kritikal, namun tindakbalasnya sangat perlahan. Melepasi 10 jam barulah keadaan agak stabil, proses pencairan darah pada saluran yang tersumbat memberi hasil yang baik. Proses pembedahan perlu segera dilakukan. Pengalaman 28 hari  menemani  suami di Hospital Besar Serdang dan Pusat Jantung Negara (IJN) mengajar apa makna ICU, CCU, CHDW sebagai akronim yang melekat di hati.

Segala kerisauan tidak berhenti episod baru menyusul selepas pembedahan. Sebaik sahaja sedar dari pembedahan suami mula berubah. Dia hanya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris sahaja, ingatannya kepada keluarga pada zaman remaja begitu kuat. Perubahan mendadak ini menyebabkan sebahagian besar kaum keluarga dari Kelantan mula ke Kuala Lumpur. Kini 17 bulan berlalu keadaan suami bertambah baik, namun segala ubat-ubatan dan janji temu dengan doktor terus dipatuhi. Kesakitan merupakan satu pengalaman yang berjaya menjadikan seseorang itu berdisiplin, begitu juga  kesan parut panjang yang membelah  di dada. Semoga segala bukti yang ada mampu mengubah seseorang kepada keadaan yang lebih baik dengan menghargai peluang kedua yang dianugerahkan Allah SWT.

Infografik Penjagaan Kesihatan Jantung

Kesimpulannya petanda sakit jantung pada setiap orang agak berbeza-beza, walau bagaimana pun kekerapan sakit dada dan rasa berdebar-debar tidak perlu dilengahkan. Segeralah berjumpa doktor agar sempat dirawat. Setiap lelaki yang berusia 45 tahun ke atas dan perempuan yang berusia 55 tahun perlu menjalani saringan kesihatan jantung. Sayangilah jantung dengan mengamalkan gaya hidup sihat di samping menjalani pemeriksaan kesihatan mengikut jadual yang ditetapkan.

Speak Your Mind

*