Archives for March 2020

Trik dan tip anda kena tahu jika hendak lulus pembiayaan perumahan

Setiap orang pasti mempunyai impian untuk memiliki rumah.

Namun yang menjadi persoalan, adakah pembiayaan rumah kali pertama anda lulus atau tidak.

Jadi untuk memastikan pembiayaan rumah anda tidak ditolak, penting untuk anda ketahui beberapa perkara sebagaimana yang dikongsikan menerusi Facebook Amir Syahir.

Pembiayaan Rumah Kali Pertama Ditolak?

“Bang, pembiayaan perumahan saya bank baru tolak, apa yang saya patut buat?”

Nak senang lulus pembiayaan perumahan kena ada ilmu juga, kena belajar ilmu pembiayaan perumahan.

Jadi, jika pembiayaan perumahan kena tolak, teliti perkara-perkara berikut :

1. Selidik sebab

Jika pegawai bank kata kena tolak, tanya sebab kenapa kena tolak. Biasanya sebab kewangan tak kuat, komitmen pula banyak. Dokumen tak lengkap pun boleh jadi. Jadi, belajar sediakan dokumen yang lengkap.

2. Baiki profil kewangan

Jika anda tak mampu tambah pendapatan, anda kena kurangkan komitmen. Kurangkan komitmen dulu. Hapuskan hutang lapuk. Buatlah side income, pasif income dan pelaburan income. Gaji jangan tinggal berapa belas ringgit dalam akaun bank tiap-tiap bulan.

3. Cari rumah bawah kemampuan

Kira “Debt Service Ratio” (DSR) baik-baik. Jika anda mampu membayar pembiayaan perumahan RM200K, cuba cari rumah bawah RM150K.

4. Baiki CCRIS

Periksa CCRIS jika anda ada terlepas bayar. Ada nombor 1 maksudnya ada yang pernah anda tersangkut bayar. CTOS pun kena periksa. Anda mungkin pernah jadi penjamin, pernah bagi pinjam no kad pengenalan atau apa sahaja sehingga ia boleh menjerat anda sendiri.

5. Cipta rekod CCRIS

Jika tiada rekod CCRIS, ada pegawai bank akan suruh anda buat kad kredit dengan dia. Jadi, cipta dulu rekod pembayaran balik. Yang dah ada kad kredit, pembiayaan daripada bank, kena kepilkan “Letter Offer” daripada bank tersebut. Ini kerana bimbang bank itu akan tersalah kira anda punya DSR.

6. Individu berisiko

Mungkin anda tergolong daripada individu berisiko. Contohnya anda berumur 35 tahun tapi tiada langsung simpanan atau komitmen dengan bank. Ataupun anda baru bekerja 2 bulan. Sebagai pekerja kontrak juga akan membuatkan bank anggap anda individu berisiko. Apa anda boleh buat sediakan dokumentasi selengkapnya. Surat lantikan kerja jika kerja kurang 6 bulan.

7. Tambahkan simpanan

Tambahkan simpanan anda sebanyak mungkin. Jika ada simpanan yang banyak lagi bagus. Simpan sehingga ada 6 bulan ansuran. Nak sedap lagi setahun. Contohnya, ansuran rumah anda nak beli RM700 sebulan. Jadi, untuk bayar ansuran selama enam bulan, anda kena ada simpanan RM4200.

Semoga boleh dijadikan panduan untuk anda.

Jadi jika pembiayaan perumahan kali pertama kena tolak, janganlah bersedih.

Terbaik… Google perkenal aplikasi ‘Family Link’ bolehkan ibu bapa pantau anak-anak

Aplikasi ‘Family Link’ sangat sesuai untuk ibu bapa pantau penggunaan telefon pintar anak.

Dunia teknologi tanpa sempadan mempunyai banyak kelebihan dan kekurangannya.

Bagi ibu bapa, masalah utama mereka ialah memastikan anak-anak tidak menyalahgunakan kemudahan internet untuk mengakses sesuatu yang tidak sepatutnya.

Bagi mengawal akses anak-anak kepada internet, ada ibu bapa yang menggunakan software parental control pada komputer peribadi ini.

Bagi menyokong usaha ini, Google melancarkan aplikasi “Family Link” dan ia berfungsi di mana ibu bapa boleh mengawal akses anak-anak mereka ketika menggunakan telefon pintar seperti membenarkan muat turun, akses ke laman web ataupun menetapkan masa penggunaan telefon oleh anak-anak.

Menurut Google aplikasi ini dibangunkan khas untuk kanak-kanak yang berumur 13 tahun ke bawah.

Cara guna aplikasi Family Link

Untuk menggunakannya, ibu atau bapa dikehendaki memuat turun aplikasi “Family Link” dan mendaftar satu akaun baru untuk anak-anak mereka.

Kemudian, aplikasi ini perlu install pada telefon pintar anak dan ibu bapa dikehendaki mendaftar masuk menggunakan akaun yang telah didaftarkan oleh mereka.

Aplikasi ini akan minta email dan ikut arahan yang diberikan.

Aplikasi ini tidak boleh ‘uninstall’ melainkan ibu bapa memilih untuk ‘stop supervision’.

Untuk telefon ibu bapa kena “install google family link for parent” dan kalau untuk telefon anak kena “install google family link for children & teens”.

Aplikasi ini juga memudahkan ibu bapa memantau jumlah masa yang diluangkan anak-anak menggunakan telefon disamping membolehkan mereka mengunci telefon anak daripada jauh sekiranya melebihi masa yang dibenarkan untuk menggunakan telefon.

Jadi apabila sampai masa telefon pintar ini akan padam sendiri dan anak tidak boleh tekan mana-mana butang melainkan call sahaja.

Dan kalau dia perlu buka kod itu hanya ada pada ibubapa.

Paling penting anda tahu dimana lokasi telefon pintarnya berada.

Ini kerana semua pergerakannya boleh dipantau kerana ada notifikasi yang akan memaklumkannya.

Jika anak hendak uninstall aplikasi ini mereka tidak boleh melakukannya sama sekali.

Malah jika telefon ibu bapa uninstall aplikasi ia tetap masih boleh install balik dan monitor anak macam biasa semula. Melainkan ibu bapa tekan “Stop Supervision”.

Usaha Google ini harus dipuji memandangkan kanak-kanak kini terlalu bebas melayari internet sehingga mereka terdedah kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Kenapa anda perlu meletakkan pokok di meja kerja?

Meletakkan pokok di atas meja kerja mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi dan berasa lebih baik dari segi emosi dan mental.

Ada sesetengah individu sukakan keadaan meja kerja yang minimal tanpa dipenuhi banyak barang dan ada juga individu yang gemar meletakkan pokok di meja kerja.

Kebaikan meletakkan pokok

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan, meletakkan pokok di meja kerja seperti bonsai atau kaktus, dikatakan dapat membantu memberikan ketenangan kepada seseorang individu dan dapat mengurangkan stres akibat kerja.

Melalui kajian ini, para penyelidik menyatakan meletakkan pokok dapat mencegah pekerja pejabat daripada tekanan kehidupan kerja 9-5.

Menurut penulis utama kajian, Dr Masahiro Toyoda ketika ini, tidak ramai individu memahami sepenuhnya mengenai manfaat pemulihan tekanan yang diberikan oleh tumbuhan di tempat kerja.

“Bagi mengubah tahap pemikiran sedemikian, kami selaku penyelidik membuat keputusan penting untuk mengesahkan dan menyediakan bukti saintifik berkaitan kesan pemulihan tekanan yang dibawakan oleh tumbuhan dan pokok yang berdekatan anda dalam suasana pejabat yang sebenar,” ujar Dr Masahiro.

Penyelidikan dilakukan oleh saintis dari University of Hyogo di Awaji, Jepun ini mengkaji sama ada tumbuhan kecil benar-benar dapat membangkitkan emosi dan perasaan di tempat kerja.

Ini kerana secara umumnya, alam semula jadi sudah diketahui dapat membantu meningkatkan kesejahteraan.

Kajian yang dilakukan

Kajian ini melibatkan 63 sukarelawan yang bekerja di pejabat dan kurang pendedahan kepada kehijauan ketika waktu kerja.

Setiap seorang daripada mereka diberikan beberapa jenis pokok yang sesuai diletakkan di dalam bangunan (indoor plant) seperti bonsai, san pedro cactus, echeveria, air plant, parlor palm atau kokedama.

Sukarelawan tersebut juga perlu menjaga dan menguruskan tumbuhan tersebut untuk tempoh 4 minggu.

Tahap kebimbangan (anxiety) serta kadar denyutan harian, yang merupakan 2 ukuran bagi tekanan, diambil sebelum dan selepas eksperimen dilakukan.

Selain itu, sukarelawan yang terlibat juga diarahkan untuk berehat selama 3 minit sambil duduk di meja kerja mereka apabila mereka berasa penat melakukan tugasan kerja.

Dalam tempoh penyelidikan, setiap sukarelawan perlu melalui 2 fasa kajian, iaitu fasa pertama dikenali sebagai tempoh kawalan yang berlangsung selama seminggu dan tidak melibatkan sebarang tumbuhan atau pokok.

Manakala pada fasa kedua kajian, dikenali sebagai tempoh intervensi dan ia berlangsung selama 4 minggu.

Sepanjang tempoh ini sukarelawan diberikan peluang untuk menjaga pokok pilihan mereka yang diletakkan pada meja masing-masing.

Analisis kajian

Ketika fasa pertama atau tempoh kawalan dijalankan, kesemua 63 sukarelawan hanya dibenarkan untuk menatap skrin komputer mereka semasa waktu berehat 3 minit.

Dalam tempoh intervensi pula, setiap sukarelawan perlu menatap tumbuhan mereka.

Para penyelidik mengukur tekanan psikologi para sukarelawan dengan menggunakan State-Trait Anxiety Inventory sebanyak 2 kali, iaitu sekali pada akhir tempoh kawalan dan sekali lagi pada akhir tempoh intervensi.

Ia melibatkan 20 kenyataan dengan skala empat-mata yang perlu dipilih.

Antara kenyataan yang diberikan:

“Saya mengalami kebimbangan yang besar mengenai sesuatu perkara yang tidak penting”.

Julat skor terkumpul antara 20 hingga 80 mata dan skor yang tertinggi menunjukkan sukarelawan mempunyai kebimbangan yang lebih besar.

Berdasarkan analisis tersebut, keputusan yang diperolehi menunjukkan bahawa purata skor kebimbangan dapat dikurangkan daripada 47.9 dalam tempoh kawalan tanpa tumbuhan kepada 46.2 ketika tempoh intervensi dengan tumbuhan.

Angka yang diperolehi tersebut tidaklah begitu menarik, namun menerusi kenyataan yang diterbitkan dalam jurnal HortTechology, penyelidik kajian mendakwa keputusan yang diperolehi itu adalah mengikut pengiraan matematik yang signifikan.

Ukuran tekanan fisiologi

Di samping itu, Dr Masahiro dan penyelidik lain turut mengukur tahap tekanan fisiologi, yang memberikan kesan terhadap bagaimana badan berfungsi dengan merakamkan kadar degupan jantung sukarelawan.

Setiap sukarelawan telah diajar tentang cara untuk mengukur nadi mereka sendiri dan diminta melakukannya sebelum dan selepas setiap kali tempoh rehat 3 minit.

Hasil bacaan ukuran tekanan fisiologi tersebut menunjukkan 27% sukarelawan memperlihatkan penurunan kadar degupan jantung mereka semasa tempoh intervensi yang melibatkan tumbuhan.

Sebagai perbandingan, jumlah sukarelawan yang menunjukkan kadar penurunan degupan jantung ketika tempoh kawalan, di mana mereka perlu menatap skrin komputer ketika waktu rehat 3 minit hanyalah sebanyak 5% sahaja.

Ubah pemikiran

Dr Masahiro dan pasukan penyelidikan mengatakan bahawa meletakkan pokok dapat mewujudkan sedikit “lencongan” daripada memikirkan mengenai tugasan kerja.

Tetapi objek lain yang berada di atas meja seperti telefon, skrin komputer atau buku nota, tidak akan dapat membantu.

Berdasarkan laporan kajian, mereka berpendapat, objek semula jadi ini menggabungkan unsur-unsur yang dapat mewujudkan perasaan selesa, seperti daya hidup, keindahan dan kasih sayang.

Keadaan ini dipercayai dapat membantu menjauhkan diri daripada pemikiran berkaitan pekerjaan semata-mata.

Menatap pokok yang diletakkan di meja kerja atau di dalam pejabat akan mewujudkan jarak pemisah berkaitan tekanan kerja.

Keadaan ini juga dapat memberikan peluang kepada para sukarelawan untuk mengelakkan diri daripada ketegangan yang timbul disebabkan kerja, walaupun hanya untuk tempoh beberapa minit.

Malahan, Dr Masahiro dan pasukan penyelidikannya percaya bahawa meletakkan pokok pada meja atau persekitaran kerja adalah sangat bagus untuk kemajuan syarikat.

Ini kerana pokok akan membantu mengurangkan tekanan seterusnya meningkatkan produktiviti pekerja.

Penemuan dan hasil kajian ini menambahkan bukti yang menunjukkan pendedahan kepada kehijauan adalah bermanfaat untuk emosi dan perasaan setiap individu, walaupun ia hanyalah pemandangan dari tingkap atau berjalan kaki di sekitar taman selama 20 minit setiap hari.

Jika pekerjaan anda sering menyebabkan anda mengalami tekanan, solusi terbaik yang boleh anda lakukan dengan meletakkan pokok pada meja anda.

Walaupun saiz pokok yang diletakkan kecil, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu meredakan tekanan yang dihadapi dan membuatkan anda berasa lebih baik dari segi emosi dan mental.

Tetapi anda juga boleh meluangkan masa berjalan melihat pokok dan tumbuhan hijau di luar bangunan pejabat anda, jika anda tidak gemar meletakkan pokok di meja.

Bolehkah pengambilan suplemen menggantikan senaman?

Hasil kajian sehingga kini tidak dapat membuktikan suplemen mampu mengganti senaman yang sepatutnya dilakukan.

Kebanyakan individu mahukan badan yang cergas.

Tetapi tidak semua mahu meluangkan masa untuk melakukan senaman. Tetapi bagaimana jika pengambilan suplemen dapat menjadikan badan anda cergas tanpa bersenam?

Manfaat senaman tanpa bersenam?

Terdapat penyelidikan mendakwa bahawa seseorang individu itu boleh mendapatkan manfaat kecergasan daripada bersenam tanpa perlu melakukannya.

Terdapat satu kajian yang dijalankan oleh sepasukan saintis dari University of Michigan ke atas tikus dan lalat.

Ia bertujuan untuk melihat kesan sejenis protein yang dinamakan Sestrin, dalam memberikan impak kepada badan haiwan dan serangga tersebut.

Untuk kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications ini, para saintis telah mencipta “treadmill” khas untuk lalat, yang mana akan membuatkan serangga ini mempunyai kecenderungan semula jadi untuk naik ke atas dari tiub ujian.

Kumpulan lalat dalam ujian ini dipaksa untuk berjalan selama tiga minggu.

Analisis kajian

Melalui satu kajian yang dilakukan kepada tikus dan lalat ini, penyelidik mencadangkan bahawa apabila kedua-dua haiwan dan serangga ini dipaksa untuk menghasilkan Sestrin yang dikeluarkan sewaktu melakukan senaman, ia akan membuatkan tikus dan lalat lebih cergas.

Bagi kumpulan lalat yang dilakukan pengubahsuaian untuk menghentikan proses badannya daripada menghasilkan Sestrin, ia langsung tidak dapat meningkatkan kecergasan diri atau membakar lemak tidak kira betapa banyak senaman dilakukan.

Hasil yang sama juga diperolehi daripada ujian yang dijalankan kepada tikus.

Di mana tikus yang telah diubahsuai dan tidak boleh menghasilkan Sestrin, ia tidak dapat meningkatkan kecergasan atau membakar lemak apabila ia melakukan senaman.

Manakala bagi kumpulan haiwan dan serangga uji kaji yang diberikan Sestrin, kedua-duanya mendapat kecergasan dan boleh membakar lemak dengan banyak walaupun tanpa melakukan sebarang senaman.

Penghasilan Sestrin

Menurut ketua penyelidikan, Dr Myungkin Kim, para penyelidik sebelum ini telah mengkaji bahawa protein Sestrin akan terhasil dan terkumpul di dalam otot selepas seseorang melakukan senaman.

Sestrin merupakan sejenis protein yang dihasilkan dalam badan manusia.

Menerusi kajian yang dilakukan, penyelidik mencadangkan dengan memaksa badan untuk menghasilkan atau mendapatkan Sestrin melalui suplemen, akan menjadikan seseorang individu itu lebih cergas tanpa perlu bersenam.

Dr Myungkin dan rakan-rakan penyelidiknya percaya bahawa pengeluaran Sestrin semasa bersenam adalah satu penghasilan yang memberikan manfaat kepada badan.

Senaman juga membantu meningkatkan aliran darah dan oksigen ke otak, kulit dan organ penting serta menguatkan otot dan tulang.

Bersenam vs suplemen

Selain itu, bersenam juga dapat membantu meningkatkan keupayaan paru-paru untuk membawa masuk oksigen, serta menjadikan jantung dan arteri untuk berfungsi dengan lebih baik dalam mengepam darah ke seluruh badan.

Malahan, beliau tidak menafikan bahawa senaman akan dapat membantu kebanyakan individu untuk kekal langsing dan dalam masa yang sama dapat menurunkan risiko penyakit seperti diabetes jenis 2 serta kanser.

Bagaimanapun, kebanyakan individu di dunia ini tidak melakukan senaman yang mencukupi.

Bagi sesetengah individu yang disebabkan faktor usia yang lanjut atau berpunca daripada penyakit seperti masalah penyakit neuron motor, ia mengakibatkan otot tidak dapat digunakan sepenuhnya.

Oleh sebab itu, para penyelidik sedang dalam usaha untuk mencari kaedah dan cara yang dapat membantu memberikan manfaat senaman tanpa memerlukan seseorang individu itu untuk bersenam dan antara cadangannya adalah untuk menghasilkan suplemen.

Bagaimanapun, penyelidik memberitahu untuk menghasilkan suplemen Sestrin adalah mustahil.

Ini kerana molekul Sestrin terlalu besar dan tidak sesuai untuk dijadikan sebagai suplemen.

Sehingga kini kajian lanjut masih dilakukan bagi mencari cara terbaik.

Berapa banyak senaman diperlukan?

Jadi buat masa ini, masih tidak terdapat sebarang suplemen yang boleh menggantikan atau memberikan manfaat senaman kepada anda dan anda masih perlu untuk bersenam bagi mengekalkan kecergasan diri.

Berapa banyak senaman yang perlu dilakukan bagi menjadikan diri sentiasa cergas?

Berikut merupakan cadangan jumlah senaman yang perlu dilakukan setiap hari bagi individu dewasa yang berusia antara 19 hingga 64 tahun untuk kekal sihat dan aktif.

  • Lakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana seperti berbasikal atau berjalan pantas pada setiap minggu
  • Lakukan senaman kekuatan untuk 2 hari atau lebih dalam seminggu. Pilih senaman yang menggerakkan semua otot utama seperti kaki, pinggul, belakang badan, perut, bahagian dada, bahu dan lengan

Atau anda boleh memilih untuk melakukan:

  • 75 minit aktiviti fizikal berintensiti tinggi seperti berlari atau bermain tenis perseorangan pada setiap minggu
  • Lakukan senaman kekuatan untuk 2 hari atau lebih dalam seminggu. Pilih senaman yang melibatkan semua otot utama seperti kaki, pinggul, belakang badan, perut, bahagian dada, bahu dan lengan

Jika tidak, anda boleh melakukan senaman seperti:

  • Gabungan aktiviti fizikal berintensiti sederhana dan tinggi pada setiap minggu. Sebagai contoh, 2 kali berjalan pantas untuk tempoh 30 minit bersama aktiviti berlari untuk tempoh 30 minit yang bersamaan lebih kurang 150 minit aktiviti fizikal
  • Anda juga perlu melakukan senaman kekuatan untuk 2 hari atau lebih dalam seminggu. Pilih senaman yang melibatkan semua otot utama seperti kaki, pinggul, belakang badan, perut, bahagian dada, bahu dan lengan

Satu peraturan senaman yang baik adalah di mana satu minit senaman aktiviti berintensiti tinggi dapat memberikan manfaat senaman seperti melakukan 2 minit senaman berintensiti sederhana.

Cara bagi melengkapkan tempoh waktu senaman sebanyak 150 minit seminggu dengan melakukannya secara 30 minit bagi 5 sesi senaman setiap minggu.

Melakukan senaman satu aktiviti yang baik dan amat digalakkan untuk dilakukan buat semua peringkat usia.

Anda tidak boleh menggunakan faktor usia atau keadaan fizikal seperti sedang mengandung sebagai alasan untuk tidak bersenam.

Ini kerana terdapat jenis senaman yang sesuai untuk dilakukan berdasarkan peringkat usia, keadaan fizikal atau kesihatan.

Tetapi pastikan anda mendapatkan nasihat dan rundingan daripada doktor sebelum memilih untuk melakukan sebarang aktiviti senaman.

Perkara paling penting yang harus sentiasa diingat adalah untuk tidak melakukan sebarang senaman sekiranya anda berasa tidak sihat atau keletihan.

Jika anda terus memaksa diri anda, ia cenderung untuk menyebabkan masalah lain untuk berlaku.

Pastinya anda tidak mahu keadaan seperti itu untuk berlaku, jadi usah memaksa diri sekiranya tidak sihat.

Mana lebih sesuai, ubat sapuan jenis krim atau ointment?

Krim bersifat ‘water based’ manakala ointment bersifat ‘oil based’.

Setiap orang pasti akan melalui rasa gatal-gatal tidak kiralah disebabkan nyamuk atau gigitan serangga atau alahan.

Dan setiap kali kulit berasa gatal, anda pasti akan segera mencari ubat yang boleh disapu untuk menghilangkan rengsa kegatalan itu.

Namun bezanya sesetengah orang lebih suka menggunakan ubat sapuan jenis krim manakala ada pula yang suka menggunakan jenis “ointment”.

Menurut ahli farmasi, Salinda Sopian dalam perkongsiannya di Facebook, terdapat perbezaan di antara ubat sapu krim dan ointment.

Krim atau ointment?

Apa perbezaan antara krim dan ointment? Yang mana satu lebih berkesan?

Krim bersifat “water based” manakala ointment bersifat “oil based”.

3 ciri utama krim

  • Krim bersifat lebih mudah disapu pada bahagian yang besar (easily spread on large body surfaces).
  • Kurang melekit dan tekstur yang “ringan” (less sticky and light texture).
  • Mudah dicuci (easily wash off with water).

3 ciri utama ointment

  • Oitment lebih bersifat “occlusive” dan memerangkap kelembapan pada kulit dengan lebih berkesan.
  • Menggalakkan lebih penyerapan ubat (active ingredient) pada kulit.
  • Berminyak dan melekit (greasy and sticky).
Ingat jangan sesekali campurkan kedua-dua bahan ini pada tempat yang sama.

Jadi yang mana satu sesuai dengan anda, ia bergantung kepada keadaan.

Jika kulit anda sangat kering, ointment bertindak lebih baik kerana ia bersifat “occlusive”.

Ia bermaksud, jika anda sapu ointment pada kulit kering, ia akan tahan lebih lama berbanding krim.

Malah ia juga memerangkap kelembapan dan penyerapan ubat (active ingredient) dengan lebih bagus.

Dan jika anda memilih untuk sapu krim, sekejap sahaja teksturnya akan hilang memandangkan ia water based, mudah tersejat (evaporated).

Tetapi jika kawasan yang bermasalah itu bersifat “basah” atau “berair”, krim lebih bagus.

Jadi bagaimana pula jika ia melibatkan kawasan yang besar seperti di belakang badan? Seeloknya gunalah krim kerana ia mudah disapu.

Bagaimana pula jika ia melibatkan kawasan kulit berbulu? Seeloknya gunakan krim kerana ointment boleh menutup liang roma.

Manakala bagi kulit yang sensitif dengan bahan pengawet, boleh gunakan ointment kerana ointment kurang mengandungi bahan pengawet.

Sifatnya yang “oil based” menjadikan ointment tidak sesuai untuk pertumbuhan bakteria dan kulat kerana ketiadaan air.

Berbanding dengan krim, perlu ada bahan pengawet untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria dan kulat.

Jangan campur ointment dan krim

Yang paling penting, jangan campur ointment dengan krim.

Contohnya: Aqueous krim (pelembap) + Elomet ointment (steroid). Tak boleh dicampur sama sekali.

Perlu guna kedua-dua yang sama jenis. Kalau nak krim, guna aqueous krim + elomet krim.

Jika hendak ointment, guna emulsificant ointment + elomet ointment.

Hand sanitizer boleh bunuh kuman pada tangan?

Hand sanitizer hanya untuk basmi kuman tapi tidak mampu bunuh 100% kuman pada tangan anda seperti yang didakwa.

Kita mungkin sering menggunakan hand sanitizer, dengan tujuan untuk membasmi kuman.

Bagaimanapun, adakah penggunaan hand sanitizer benar-benar berkesan untuk membunuh virus?

Adakah terdapat cara lain yang lebih mudah dan berkesan bagi membunuh virus pada tubuh anda?

Hand sanitizer boleh bunuh virus flu dan Ebola?

Baru-baru ini, The Food and Drug Administration (FDA) telah mengeluarkan surat amaran kepada GOJO Industries, pengeluar produk Purell, agar menghentikan tuntutan bahawa produk hand sanitizer mereka boleh membunuh virus seperti flu dan Ebola.

Menurut FDA, produk Purell yang berasaskan alkohol diperakui sebagai ubatan, tetapi belum diluluskan untuk di iklankan seperti tuntutan berikut.

Di Amerika Syarikat, jenama hand sanitizer Purell ini adalah jenama yang paling popular bagi penduduk di sana.

Apa yang Purell letakkan pada botol hand sanitizer mereka?

Purell membuat tuntutan “Terbukti mampu membunuh 99.9% kuman pada tangan” bagi produk-produk mereka.

Untuk pengetahuan anda, tuntutan sebegini berada di kesemua botol produk, penjenamaan, laman web dan keterangan produk Purell.

Ia adalah satu tuntutan yang sangat meyakinkan pengguna terutama sekali pada waktu di mana wabak koronavirus novel sedang merebak di seluruh dunia.

Tuntutan berlebihan sebegini boleh memperdayakan pengguna yang mungkin beranggapan bahawa produk mereka boleh membunuh virus hampir 100%.

Saranan CDC dan WHO

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) dan WHO menggalakkan penggunaan air dan sabun sebagai cara utama bagi membersihkan diri anda daripada kuman dan virus.

Penggunaan air dan sabun lebih berkesan menanggalkan bahan kimia berbahaya dan juga virus berbanding hand sanitizer.

Jika tiada air dan sabun, maka hand sanitizer berasaskan alkohol boleh digunakan sebagai salah satu langkah-langkah pencegahan bagi jangkitan virus flu.

CDC menyatakan bahawa disinfektan dengan kepekatan alkohol antara 80% hingga 90% “kuat” atau “berkuasa” dalam melemahkan kesemua enveloped virus (virus berkapsul).

Hand sanitizer berasaskan alkohol boleh mengurangkan mikrob pada tangan anda dengan lebih pantas dalam situasi tertentu, tetapi ia tidak mampu membunuh kesemua mikrob atau kuman pada tangan anda.

Hand sanitizer tidak begitu berkesan apabila tangan anda kotor dan berminyak

Banyak kajian menunjukkan bahawa, hand sanitizer berkesan dalam perkhidmatan klinikal seperti hospital, kerana tangan tidak terlalu kotor dengan tanah dan berminyak.

Ini kerana, jika tangan anda berada dalam keadaan yang sangat berminyak atau kotor, penggunaan hand sanitizer sememangnya tidak begitu berkesan.

Jika tangan anda kotor dengan kesan tanah selepas bersukan, cara terbaik untuk membersihkannya daripada kuman atau virus adalah dengan menggunakan sabun dan juga air.

Hand sanitizer tidak menanggalkan bahan kimia berbahaya pada tangan anda

Berdasarkan banyak kajian yang telah dilaksanakan, hand sanitizer mungkin tidak mampu untuk menanggalkan bahan kimia berbahaya daripada tangan anda.

Dalam satu kajian, individu yang menggunakan hand sanitizer untuk membersihkan tangan mereka memiliki tahap kandungan racun perosak yang lebih tinggi dalam tubuh.

Oleh itu, jika tangan anda ada menyentuh bahan-bahan kimia berbahaya, basuh tangan anda dengan bersih menggunakan sabun dan juga air.

Adakah hand sanitizer boleh menyebabkan mudarat jika saya tertelannya?

Kanak-kanak cenderung untuk menelan hand sanitizer yang mempunyai bau yang wangi, berwarna atau memiliki pembungkusan yang menarik.

Hand sanitizer perlu disimpan jauh daripada dicapai oleh kanak-kanak dan digunakan di bawah pengawasan individu dewasa.

Hand sanitizer yang berasaskan ethyl alkohol (ethanol) adalah selamat jika anda menggunakannya seperti yang diarahkan.

Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan keracunan alkohol jika seseorang menelannya dengan kadar yang tertentu.

Jelas sekali bahawa hand sanitizer tidak mampu untuk membunuh 100% kuman pada tangan anda seperti yang didakwa.

Selain itu, ia juga tidak begitu berkesan bagi menanggalkan kotoran fizikal yang lebih berat seperti sisa makanan dan tanah.

Oleh sebab itu, CDC menyarankan untuk kita sebaiknya mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air.

Jika tidak terdapat sabun dan air, barulah hand sanitizer boleh digunakan sebagai pilihan kedua.

Betul ke bawang merah boleh serap kuman?

Bawang merah banyak khasiat tidak diketahui.

Tular mengenai kisah bawang merah boleh membantu menyerap kuman influenza. Memandangkan sekarang sedang berlakunya musim jangkitan flu tersebut, maka bermulalah episod meletak bawang keliling rumah dan di dalam bilik.

Mungkin ada yang masih bingung atau tidak mengetahui mengenai kisah bawang merah yang dikatakan menyerap kuman ini.

Ia adalah mengenai hantaran yang tular di dalam media sosial Facebook, mengisahkan tentang beberapa versi berkenaan bawang yang boleh menyerap bakteria dan kuman.

Dalam dakwaan yang tular itu, mengatakan terdapat seorang doktor telah mengunjungi sebuah keluarga petani dan mendapati keluarga tersebut berada dalam keadaan sihat.

Sedangkan jiran-jiran mereka menderita selesema dan penyakit bawaan bakteria seperti demam, cirit-birit, kudis dan lain-lain.

Doktor bertanyakan kepada petani tersebut bagaimana keluarganya tetap sihat sedangkan jiran-jiran mereka menderita sakit. Isteri petani menjawab, caranya mudah. Mereka hanya perlu meletakkan bawang merah yang telah dikupas di dalam piring pada setiap ruang rumah.

Doktor amat tertarik dan meminta untuk melihat bawang yang telah digunakan itu dibawah mikroskop. Hasilnya, beliau mendapati virus selesema dan bakteria serta kuman lain terlekat pada bawang tersebut.

Bawang itu dikatakan berfungsi menyerap semua virus dan bakteria sekitarnya dan secara tidak langsung dapat mengelakkan keluarga petani tersebut daripada dijangkiti penyakit bawaan virus dan bakteria.

Tiada bukti saintifik

Apa yang menjadi persoalan kini, adakah kisah yang tular itu sahih? Betulkah bawang merah dapat membantu menyerap bakteria dan kuman? Wujudkah sebarang bukti atau kajian yang mengesahkan mengenai dakwaan yang tular ini?

Memetik satu laporan akhbar, menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, “Tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang boleh menyokong dakwaan bahawa penggunaan bawang merah mampu merawat influenza.”

“Walau bagaimanapun, ia adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Jika anda ingin mengamalkan petua hirisan bawang tersebut atau menggunakan sebarang semburan pembunuh kuman, cuma janganlah secara berlebihan,” ujar Dr Lee lagi.

Beliau turut menyarankan agar setiap individu untuk mengamalkan penjagaan kebersihan diri serta mengambil pemakanan yang seimbang bagi menghindari atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko terkena jangkitan.

Manfaat kesihatan bawang merah

Jadi setakat ini, apa yang boleh disimpulkan, bawang merah tidak mempunyai fungsi untuk menyerap kuman atau bakteria. Tetapi sekiranya anda ingin mencuba, tiada salahnya. Cuma diharapkan anda mampu menahan bau bawang di segenap ruang rumah anda.

Walaupun bawang tidak dapat membantu mencegah jangkitan influenza, namun, terdapat pelbagai manfaat kesihatan yang boleh diperolehi daripada bawang yang berwarna merah keunguan ini.

Berikut dikongsikan beberapa manfaat yang ditawarkan oleh bawang:

Menguatkan sistem ketahanan badan

Bawang kaya dengan vitamin C yang merupakan sejenis antioksidan. Kehadiran vitamin C ini membantu melawan radikal bebas yang berpotensi merosakkan sel-sel di dalam badan. Risiko penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan kanser dapat dikurangkan.

Kandungan quercetin dan antosianin di dalamnya dipercayai mampu melawan dan menghancurkan sel kanser dalam badan. Ia turut mengandungi selenium, yang mampu meningkatkan sistem imun badan.

Dengan memakan bawang ini, ia dianggap sebagai bantuan kepada sistem imun dan anda akan dapat mencegah diri daripada jangkitan penyakit. Jika ingin memperkuatkan sistem imun, mungkin anda boleh memperbanyakkan penggunaan bawang ini dalam masakan anda, dan jika anda boleh mengambilnya secara mentah, kenapa tidak?

Bagus untuk penghidap anemia

Penghidap anemia mempunyai kadar hemoglobin yang rendah. Hemoglobin adalah sejenis protein di dalam sel darah merah yang dihasilkan daripada zat besi. Ia berfungsi membawa oksigen di dalam darah. Bawang merah mengandungi kadar zat besi yang baik. Ia sekali gus membantu meningkatkan zat besi serta hemoglobin di dalam badan.

Mencegah keradangan

Anda yang sering mengalami keradangan atau iritasi, terutama pada bahagian leher, mungkin boleh untuk mengamalkan pengambilan bawang merah dalam masakan dan diet anda. Ini kerana kandungan quercetin pada bawang dapat meredakan keradangan.

Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit pada bahagian kepala yang disebabkan oleh selesema dan hidung tersumbat.

Hal ini disebabkan oleh kandungan sulfur pada bawang yang mampu memecahkan mukus.

Melawan bakteria

Terlebih dahulu, menyerap bakteria dengan cara meletakkan hirisan bawang pada persekitaran dan melawan bakteria melalui pemakanan, adalah dua situasi yang berbeza, okay? Takut ada yag keliru pula.

Bawang boleh melawan bakteria berbahaya seperti Escherichia coli (E. coli), Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus (S. aureus) dan Bacillus cereus.

Tambahan pula, ekstrak bawang menunjukkan ia membantu menghalang pertumbuhan Vibrio cholerae, bakteria yang menjadi kebimbangan kesihatan awam utama di negara-negara yang membangun.

Meningkatkan kualiti tidur

Sekiranya anda mempunyai atau sering berdepan dengan masalah sukar untuk tidur, anda mungkin boleh mencuba untuk memperbanyakkan pengambilan dan penggunaan bawang ini di dalam masakan anda.

Ini kerana bahan ini dikatakan mempunyai probiotik yang dapat membantu meningkatkan kualiti tidur dan mengurangkan tekanan.

Di samping itu, dikatakan terdapat bakteria baik dalam bawang ini yang dipercayai dapat merangsang fungsi otak dengan lebih baik.

Membantu penghadaman

Mengalami gangguan pencernaan memang menjadi masalah yang serius.

Oleh kerana bawang ini kaya dengan serat yang baik bagi pertumbuhan bakteria baik dalam usus, ia membantu melancarkan sistem penghadaman dan memastikan pergerakan usus yang baik.

Serat juga membersihkan usus serta membuang kotoran di dalam badan dan mencegah masalah sembelit.

Bawang juga mengandungi bahan kimia saponin yang boleh mengurangkan sakit dan kekejangan perut.

Tidak salah jika anda ingin mencuba menggunakan hirisan bawang sebagai salah satu ikhtiar dalam mencegah jangkitan influenza.

Namun, dalam masa yang sama anda masih perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza untuk membantu mencegah jangkitan virus ini.

Jangan ambil mudah, alahan kulit kacang tanah boleh sebabkan maut

Alahan pada kulit kacang tanah tidak seharusnya dipandang ringan memandangkan ia boleh membawa maut.

Bercakap mengenai alahan kulit, pasti ramai yang belum tahu ada pelbagai jenis alergi yang boleh berlaku.

Anda pasti biasa mendengar tentang individu yang mempunyai alahan terhadap makanan laut seperti sotong dan udang.

Tetapi, adakah anda pernah mendengar mengenai alahan lain seperti alahan serangga, getah, besi dan kacang?

Alahan kacang? Ya, mungkin anda jarang mendengarnya tetapi ia adalah penyebab paling biasa bagi serangan alahan yang teruk.

Malah, simptom alahan kacang tanah sebenarnya boleh mengancam nyawa!

Alahan kulit disebabkan kacang tanah yang mungkin anda tidak tahu

Bagi mereka yang masih belum tahu tentang hal ini, kacang tanah adalah sejenis makanan yang paling kerap menyebabkan alahan pada manusia.

Bagi sesetengah individu yang mempunyai alahan kulit terhadap kacang tanah, dengan hanya terkena sedikit sahaja cebisan kacang ini boleh menyebabkan reaksi yang agak teruk.

Alahan kacang tanah ini semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun anak anda mempunyai alahan kulit yang ringan terhadap kacang tanah, bawalah mereka untuk berjumpa dengan doktor bagi mengelakkan risiko reaksi yang lebih serius pada masa hadapan.

Apakah simptom-simptom alahan kulit ini?

Reaksi alahan terhadap kacang tanah ini biasanya berlaku dengan pantas, iaitu hanya selepas beberapa minit berlakunya pendedahan terhadap kacang tanah.

Perlu diingat, walaupun anda mungkin menganggapnya sebagai sejenis alahan kulit, namun simptom yang berlaku tidak hanya pada kulit sahaja.

Antara simptom-simptom alahan yang boleh berlaku ialah:

  • Hidung yang berair
  • Reaksi kulit seperti kemerahan dan juga pembengkakan
  • Gatal-gatal atau rasa kesemutan pada atau sekitar mulut dan juga tekak
  • Berlakunya masalah pencernaan seperti cirit-birit, ketakcernaan, kejang perut, loya atau muntah-muntah
  • Rasa ketat pada bahagian tekak
  • Sesak nafas atau bunyi nafas yang berdehit
  • Batuk yang berulang
  • Nadi yang lemah
  • Kulit yang pucat atau berwarna biru
  • Pening kepala
  • Berasa keliru

Bagaimanakah alahan kulit kacang tanah ini boleh terjadi?

Mesti anda tertanya-tanya, bagaimana alahan kacang tanah ini boleh berlaku?

Alahan kacang tanah ini berlaku apabila sistem imun tubuh telah tersilap dalam mengenal pasti protein kacang tanah sebagai sesuatu yang berbahaya.

Pendedahan secara langsung atau tidak langsung dengan kacang tanah akan menyebabkan sistem imun tubuh melepaskan sejenis bahan kimia dalam aliran darah.

Bahan kimia ini kemudiannya menyebabkan berlaku simptom-simptom seperti di atas.

Pendedahan terhadap kacang tanah ini boleh berlaku melalui 3 cara iaitu:

Pendedahan langsung

Ini adalah cara yang paling kerap menyebabkan alahan. Memakan kacang tanah atau sebarang produk makanan yang mengandungi kacang tanah adalah satu bentuk pendedahan langsung. Kadangkala, sentuhan secara langsung antara kulit dan kacang tanah juga boleh mencetuskan reaksi alahan.

Pendedahan silang

Ini adalah pendedahan terhadap kacang tanah secara tidak sengaja di dalam sesuatu produk makanan. Biasanya produk makanan yang dihasilkan telah terdedah dengan sisa kacang tanah semasa diproses atau menggunakan alatan yang sama semasa memproses kacang tanah.

Menyedut nafas

Reaksi alahan juga boleh berlaku sekiranya seseorang individu itu menyedut nafas dengan habuk atau semburan aerosol yang mengandungi kacang tanah. Habuk kacang tanah ini boleh terhasil daripada serbuk atau tepung kacang dan juga semburan minyak masak kacang tanah.

Bagaimanapun, jenis pendedahan ini adalah sangat jarang berlaku. Ini kerana, biasanya kacang tersebut perlu dimakan untuk mengakibatkan reaksi alahan.

Adakah alahan ini hanya melibatkan kacang tanah sahaja?

Walaupun kita menyebutnya sebagai kacang tanah, tetapi ia bukanlah sejenis kacang pokok (tree nuts). Ia adalah sejenis legum yang tergolong dalam keluarga yang sama seperti kacang pis dan kacang dal.

Bagaimanapun, protein kacang tanah ini mempunyai struktur yang sama seperti yang ada pada jenis kacang pokok.

Oleh itu, individu yang ada alahan dengan kacang tanah juga akan mempunyai alahan dengan jenis kacang pokok seperti badam, walnut, kacang hazel, macadamia, pistachio, pecan dan juga gajus.

Bagaimana reaksi alahan kacang tanah ini boleh dirawat?

Alahan kacang tanah ini boleh menyebabkan reaksi yang teruk yang disebut sebagai anafilaksis.

Anafilaksis mungkin bermula dengan simptom yang lebih kurang sama seperti reaksi yang kurang teruk, tetapi ia akan menjadi lebih teruk dengan kadar yang pantas.

Sekiranya anafilaksis ini tidak dirawat secepat mungkin, ia boleh mengancam nyawa individu tersebut.

Biasanya, jika anda mempunyai alahan terhadap kacang tanah atau sebarang alahan terhadap makanan yang serius, doktor akan memberikan anda epinephrine auto-injector sekiranya berlaku kecemasan.

Ia adalah sejenis ubat preskripsi yang mudah untuk digunakan. Anda perlu membawanya bersama ke mana-mana untuk keselamatan anda.

Berita baik! Rawatan pertama untuk alahan kacang tanah telah diluluskan

Untuk pengetahuan anda, rawatan pertama untuk alahan kacang tanah ini telah diluluskan oleh Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat.

Palforzia, adalah sejenis serbuk kacang tanah rumusan khas yang dimakan setiap hari dalam jumlah yang kecil, yang kemudiannya akan bertambah dosnya dari semasa ke semasa.

Ia membantu golongan kanak-kanak dan remaja untuk mengelakkan kecenderungan berlakunya reaksi alahan yang serius.

Bagaimanapun, Palforzia ini bukanlah sejenis penawar.

Mereka yang menggunakan rawatan ini masih perlu mengelakkan pengambilan kacang tanah dan perlindungan akan hilang sekiranya mereka berhenti mengambil Palforzia ini.

Selain itu, rawatan ini juga boleh menyebabkan kesan sampingan termasuklah risiko reaksi alahan yang teruk.

FDA memerlukan pesakit untuk mengambil dos pertama mereka dan setiap pertambahan dos perlulah dilakukan di bawah pengawasan doktor.

Apa yang boleh anda lakukan?

Sekiranya anda merupakan seorang individu yang memiliki alahan terhadap kacang tanah, pastikan anda tidak mengambil sebarang produk yang mempunyai sisa kacang di dalamnya.

Perhatikan label produk untuk memastikannya dengan tepat.

Antara jenis produk yang biasa mengandungi sisa kacang ialah biskut, roti, gula-gula, aiskrim dan juga yogurt.

Oleh itu, elakkan daripada mengambil produk-produk ini melainkan ia benar-benar tidak mengandungi sebarang kandungan atau sisa kacang tanah di dalamnya.

Ubat gigi berasaskan arginin teknologi terbaru melawan karies gigi

Ubat gigi berasaskan arginin mampu untuk menghasilkan kesan perlindungan daripada kaviti 4 kali ganda lebih kuat berbanding ubat gigi biasa.

Dengan kadar prevalens hampir 100%, karies gigi kekal sebagai penyakit kronik paling lazim di dunia.

Tanpa langkah intervensi, ia boleh menyebabkan pembentukan kaviti dan juga komplikasi lain yang tidak diingini.

Sehubungan itu, pelbagai kajian sedang rancak dijalankan demi membangunkan teknologi ubat gigi yang lebih baik dalam melindungi gigi.

Salah satu daripada revolusi teknologi ubat gigi terbaru itu adalah ubat gigi berasaskan arginin.

Pentingnya perlindungan daripada kaviti

Apabila masalah karies gigi tidak dikawal, paras asid yang tinggi dalam mulut boleh menyebabkan penghakisan lapisan enamel gigi.

Apabila ini terjadi, kaviti boleh terbentuk dan terus membesar sehingga mendedahkan lapisan pulpa.

Apabila lapisan yang kaya dengan salur darah dan saraf ini terdedah, rasa sakit yang teruk dan berterusan boleh dialami oleh penghidap kaviti.

Terdapat juga beberapa masalah kesihatan dan komplikasi lain yang boleh berlaku. Antaranya:

  1. Sakit gigi yang berterusan
  2. Pembentukan nanah dalam gusi dan sekitar gigi
  3. Berisiko untuk mengalami jangkitan sistemik (sepsis)
  4. Gigi menjadi pecah
  5. Masalah untuk mengunyah
  6. Gangguan psikologi akibat masalah penampilan gigi (keresahan dan kemurungan)

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 9 daripada 10 orang dewasa di Malaysia dilaporkan pernah mengalami penyakit periodontal dan juga karies gigi.

Di samping itu, penyakit yang sama turut berlaku dalam 40 hingga 75% pelajar sekolah di Malaysia.

Kanak-kanak merupakan kumpulan populasi yang paling berisiko untuk menghidap karies gigi yang teruk sehingga memerlukan rawatan.

Kajian mendapati 76% daripada kesemua kanak-kanak di bawah usia 5 tahun telahpun mempunyai 8 daripada 10 gigi susu mereka terjejas dengan karies.

Di Malaysia, negeri Terengganu, Pahang, Perlis dan juga Sabah adalah negeri-negeri yang mempunyai prevalens kaviti tertinggi.

Kuasa ubat gigi berasaskan arginin

Inovasi Amino Power ini menggabungkan teknologi lama (berasaskan fluorida) bersama teknologi baru (berasaskan arginin) demi memberi kesan perlindungan gigi yang sinergistik.

3 komponen utama dalam teknologi yang telah dipaten ini adalah asid amino arginin, fluorida dan juga kalsium.

Seperti ubat gigi lain, fluorida dan kalsium merupakan bahan inorganik yang membantu untuk menguatkan dan membekalkan mineral penting kepada gigi.

Berbeza dengan kedua-dua kompaun tersebut, arginin pula adalah sejenis kompaun organik yang terdapat secara semula jadi dalam air liur.

Kelebihan menggunakan ubat gigi berasaskan arginin adalah:

  1. Membekalkan nutrisi kepada bakteria baik yang membantu untuk menstabilkan pH dalam mulut sekali gus menghalang pembentukan karies gigi
  2. Melemahkan aktiviti bakteria jahat yang mendorong kepada penghasilan asid
  3.  Mencetus kepada polarisasi komposisi bakteria kepada anjakan populasi bakteria yang lebih baik bagi melindungi mulut penghidap karies.

Revolusi dalam ubat gigi berasaskan arginin ini menyebabkan ia mampu untuk menghasilkan kesan perlindungan daripada kaviti sebanyak 4 kali ganda lebih kuat berbanding ubat gigi biasa.

Mitos & fakta berkaitan mata: Lobak merah paling popular

Lobak merah sememangnya mempunyai khasiat yang baik untuk mata dan ia tidak dapat dinafikan.

Lobak merah dan mata, 2 perkara yang selalu dikaitkan bersama.

Malah ia menjadi kepercayaan kebanyakan ibu di luar sana, tetapi betul ke makan lobak baik untuk penglihatan?

Propaganda lobak merah

Lobak lazimnya dikatakan sebagai 1 ubat ajaib yang dapat menjaga kesihatan mata dan memperbaiki penglihatan pada waktu malam.

Mungkin ada di antara kita yang mempersoalkan mengenai perkara ini, adakah ia benar atau sekadar auta semata-mata?

Lobak dan manfaatnya kepada mata telah menjadi kepercayaan kebanyakan individu di dunia ini dalam meningkatkan kesihatan mata.

Walaupun ada kebenaran mengenainya, namun asal usul tersebarnya berita ini bermula daripada mitos.

Semasa Perang Dunia II, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja British berjaya menggunakan radar, satu teknologi baru ketika itu untuk menyasar dan menembak jatuh pesawat musuh.

Mitos mengenai kehebatan lobak ini disebarkan bagi menutup rahsia teknologi baru tersebut yang mempunyai keupayaan memberikan ketepatan visual kepada juruterbang daripada pengetahuan musuh, iaitu pihak Nazi Jerman.

Bermula daripada itulah, propaganda mengenai kehebatan lobak merah atau carrot yang kononnya dapat meningkatkan penglihatan pada waktu malam tersebar dan dipercayai sehingga ke hari ini.

Hubungan lobak merah dan penglihatan

Lobak merah merupakan antara sayuran yang popular dan menjadi kegemaran kebanyakan individu.

Sayuran rangup dengan nama saintifik Daucus carota ini kaya dengan pelbagai khasiat seperti:

  • Karbohidrat
  • Protein
  • Serat
  • Vitamin A, C, K
  • Kalsium
  • Zat besi
  • Magnesium
  • Fosforus
  • Kalium
  • Zink
  • Folat

Selain itu lobak juga kaya dengan lutein, iaitu antioksidan penting dalam membantu memperbaiki tahap kesihatan individu.

Makanan tinggi kandungan lutein akan meningkatkan ketumpatan pigmen dalam makula.

Apabila ketumpatan pigmen meningkat, ia akan dapat membantu melindungi retina.

Keadaan ini sekali gus akan mengurangkan risiko kemerosotan penglihatan.

Beta-karotena yang terdapat dalam lobak merah juga bermanfaat dalam membantu fungsi penglihatan.

Selepas dimakan, mineral ini akan bertukar bentuk kepada vitamin A yang dikenali sebagai retinol dan boleh dicerna badan.

Kekurangan beta-karotena atau turut dikenali sebagai karotenoid yang penting untuk penghasilan vitamin A dalam badan akan meningkatkan risiko berlakunya masalah penglihatan apabila dalam keadaan kurang pencahayaan.

Mitos lain berkaitan mata

Selain daripada lobak merah, terdapat juga 4 mitos lain berkaitan mata yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

1. Tengok televisyen pada jarak dekat

Selalunya kita akan melarang anak-anak daripada menonton televisyen (TV) pada jarak yang terlalu dekat kerana mempercayai ia akan merosakkan penglihatan, betul?

Tetapi hakikatnya, duduk pada jarak yang dekat ketika menonton TV hanya akan menyebabkan anda berasa sakit kepala tetapi TIDAK akan menjejaskan penglihatan anda.

2. Membaca dalam keadaan gelap

Penulis pernah dimarahi Tok (gelaran nenek bagi masyarakat sebelah utara) kerana membaca buku dalam bilik yang kurang pencahayaan. Katanya tabiat ini boleh buat mata jadi rabun.

Sebenarnya, situasi ini sama seperti menonton TV pada jarak dekat. Ia boleh mengakibatkan anda mendapat sakit kepala atau mata menjadi penat. Namun ia TIDAK sampai menyebabkan tahap penglihatan anda merosot.

3. Kebergantungan kepada cermin mata atau kanta lekap

Jika anda adalah individu yang memakai cermin mata, mesti pernah mendengar bahawa pemakaian cermin mata hanya akan membuatkan penglihatan anda menjadi lebih teruk. Tetapi betul ke?

Ia tidak benar sama sekali. Keupayaan penglihatan mata anda tidak akan merosot kerana penggunaan cermin mata atau pemakaian kanta lekap. Preskripsi tahap mata anda mungkin akan berubah tetapi ia bukan disebabkan cermin mata atau kanta lekap.

Sebaliknya peningkatan itu berlaku seiring dengan peningkatan usia atau didasari oleh sebarang masalah berkaitan kesihatan.

4. Masalah penglihatan tidak boleh dirawat

Ada yang mengatakan apabila sudah menghadapi masalah rabun, ia tidak akan boleh dirawat sama sekali. Alamak, takkanlah tiada jalan penyelesaian?

Bertenang. Itu semua adalah auta semata-mata. Apabila anda mula mengesan masalah penglihatan seperti penglihatan kabur, kesakitan pada bahagian mata atau terlihat cahaya berkelip, ia adalah tanda-tanda awal masalah mata.

Pada saat ini, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor dengan segera.

Pengesanan awal dapat memberikan lebih banyak pilihan rawatan untuk membetulkan tahap penglihatan, menghentikan atau sekurang-kurangnya melambatkan kadar kemerosotan kehilangan penglihatan.

Walau apapun, harus diingatkan jenis pilihan rawatan akan bergantung kepada punca atau faktor yang mengakibatkan wujudnya masalah berkaitan penglihatan.

Sayangilah mata

Jadi mitos mengenai lobak merah sahih.

Ia sememangnya baik untuk memperbaiki tahap penglihatan, cuma kerap makan lobak tidaklah sampai membuatkan anda memiliki mata yang berkuasa pada waktu malam.

Apapun, mata merupakan satu deria yang penting bagi setiap individu.

Amat penting untuk anda memberikan penjagaan yang terbaik pada mata.

Jika menyedari sebarang masalah berkaitan mata, lakukan pemeriksaan dengan segera, jangan melengah-lengahkan masa.