Pernahkah anda mengalami satu keadaan yang mana anda merasa ‘dihempap’ atau ‘ditindih’ oleh sesuatu yang berat sewaktu anda terjaga dari tidur pada waktu malam ?. Adakah anda dapat menjerit atau menggerakkan anggota badan seperti tangan pada ketika itu? Masihkah anda ingat apakah perasaan anda pada waktu itu? Apakah anda berasa takut yang teramat atau menjadi panik? Keadaan yang dinyatakan di atas adalah satu manifestasi yang disebut sebagai kelumpuhan sewaktu tidur atau ‘sleep paralysis’ dalam istilah Bahasa Inggeris.
Kelumpuhan sewaktu tidur ini umumnya dikaitkan dengan gangguan syaitan atau jin dalam masyarakat kita. Tahukah anda bahawa keadaan ini merupakan satu fenomena global yang telah berabad lama dibahaskan? Terdapat lebih daripada seratus budaya di dunia yang menggunakan istilah tersendiri bagi menggambarkan kelumpuhan sewaktu tidur. “Phi um” merupakan istilah Siam yang menggambarkan keadaan yang mana seseorang diselubungi hantu sewaktu kelumpuhan tidur terjadi. Masyarakat Mesir pula beranggapan keadaan ini adalah satu serangan daripada jin. Dalam masyarakat Itali di daerah Abruzzo, keadaan ini dikenali dengan istilah serangan “Pandafeche” yang mana seseorang merasakan kehadiran entiti ghaib yang menghalang pergerakan dengan menghempap dada. Berbeza dengan budaya lain, sebahagian masyarakat Inggeris pula beranggapan keadaan ini adalah akibat daripada roh yang keluar daripada badan sewaktu tidur yang gagal masuk semula ke dalam tubuh sewaktu seseorang terjaga dari tidur. Pada abad pertengahan di Parsi, keadaan ini dikenali dengan istilah “kabus” yang bermaksud mimpi ngeri. Seorang ilmuan Islam yang bernama Akhawayni dalam bukunya yang bertajuk “Hidayat”, telah memberikan penjelasan saintifik berkaitan dengan kelumpuhan sewaktu tidur pada zaman puncak kepercayaan mistik dalam menjelaskan keadaan ini.
Dari sudut perubatan, kelumpuhan sewaktu tidur terjadi pada fasa yang dikenali sebagai ‘rapid eye movement’(REM) atau fasa pergerakan mata yang cepat. Pada fasa ini, kelumpuhan otot sementara terjadi pada sebahagian besar bahagian tubuh. Mimpi merupakan salah satu manifestasi yang terjadi pada fasa ini. Kelumpuhan sementara ini adalah satu bentuk pencegahan daripada seseorang bertindak balas terhadap mimpi ngeri yang dialaminya. Sekiranya seseorang tersedar sewaktu memasuki atau keluar dari fasa REM, individu tersebut akan merasakan kelumpuhan ini. Pada ketika ini, deria seseorang adalah utuh yang menyebabkan seseorang dapat mendengar, merasa atau melihat. Hal ini dapat terjadi selama beberapa saat sehingga beberapa minit. Tempoh yang lama dikaitkan dengan tekanan yang lebih tinggi. Pada waktu ini, bahagian otak tertentu diaktifkan yang menyebabkan seseorang mempunyai persepsi bahawa terdapat sesuatu entiti yang berada berhampiran dengannya. Penampakan entiti tersebut juga dapat terjadi akibat daripada aktiviti bahagian otak tertentu.
Terdapat pelbagai penyebab yang mungkin dikaitkan dengan kelumpuhan sewaktu tidur. Kekurangan tidur atau pola waktu tidur yang terganggu seperti bekerja syif yang tidak menentu mungkin menyebabkan kelumpuhan sewaktu tidur. Trauma atau pengalaman hidup yang mengancam juga dikaitkan dengan keadaan ini. Pengalaman berkaitan penderaan seksual pada zaman kanak-kanak adalah faktor lain yang dikaitkan dengan kejadian kelumpuhan sewaktu tidur. Seseorang yang mempunyai masalah kegelisahan (anxiety disorder) atau gangguan pasca trauma mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding individu yang tidak mengalami masalah yang sama. Kajian yang dijalankan untuk mengetahui hubungan antara kelumpuhan sewaktu tidur dan faktor genetik menemukan keadaan ini dapat diturunkan atau diwarisi.
Jadi, apakah yang boleh saya lakukan bagi mengatasi masalah kelumpuhan sewaktu tidur? Tidur yang cukup adalah penting bagi mendapatkan rehat secukupnya untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pada keesokan hari. Anda disarankan untuk tidur selama 6 – 8 jam sehari. Tidur dan bangun pada waktu yang sama juga digalakkan agar dapat mengekalkan pola tidur yang sihat. Kerap bersenam adalah satu rutin yang dapat meningkatkan kualiti tidur tetapi harus diingatkan, senaman yang dilakukan seboleh-bolehnya lebih daripada 4 jam sebelum anda tidur. Elakkan daripada mengambil makanan yang berat sebelum tidur. Minuman yang mengandungi kafein seperti teh dan kopi juga harus dielakkan. Selain itu, elakkan daripada tidur pada posisi terlentang bagi mengurangkan risiko kelumpuhan sewaktu tidur. Jika anda merasa keadaan ini berlanjutan dan mengganggu aktiviti harian anda, dapatkan rawatan lanjut. Antara contoh gejala-gejala yang memerlukan anda mendapatkan rawatan segera adalah serangan tidur yang mendadak yang dapat terjadi beberapa kali sewaktu anda melakukan aktiviti dan rasa mengantuk yang berlebihan pada siang hari. Anda boleh berjumpa doktor untuk membincangkan masalah ini. Ini adalah kerana kelumpuhan tidur boleh disebabkan oleh masalah lain seperti narkolepsi, kebimbangan melampau atau gangguan pasca trauma. Doktor mungkin menjalankan beberapa ujian bagi mengenal pasti masalah yang anda alami dan memberikan ubat tertentu bagi mengatasi masalah tersebut.
Kesimpulannya, masalah kelumpuhan sewaktu tidur merupakan satu masalah umum yang dapat menimbulkan kerisauan atau ketakutan kepada sebahagian individu yang mengalaminya. Pelbagai faktor dikaitkan dengan masalah ini dan anda wajar mendapatkan nasihat atau rawatan sekiranya ianya menganggu. Artikel ini menyentuh masalah ini dari aspek perubatan dan berharap dapat memberikan pencerahan dan maklumat kepada pembaca mengenai masalah kelumpuhan sewaktu tidur.