Wakaf merupakan suatu platform yang menjadi tulang belakang bagi ketamadunan dan peradaban dunia Islam. Semenjak berkurun lamanya, sistem wakaf telah membangunkan pelbagai prasarana untuk kesejahteraan masyarakat dari sudut kerohanian, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kelestarian. Namun dewasa ini, amalan berwakaf dilihat kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Lebih malang lagi apabila wujudnya persepsi yang salah berkenaan wakaf apabila ia dihadkan untuk beberapa aspek sahaja seperti pembinaan masjid, surau, sekolah agama dan tapak perkuburan, walhal sistem wakaf seharusnya bersifat dinamik dan progresif sejajar dengan perubahan zaman.
Menurut sejarah, sistem wakaf yang diperkenalkan Islam telah mewujudkan satu kerangka komprehensif dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal filantropi di peringkat universal. Wakaf mencapai kemuncaknya pada era Empayar Uthmaniyyah apabila lebih 35,000 yayasan wakaf telah ditubuhkan yang memayungi pembangunan pelbagai infrastruktur awam seperti masjid, pusat pendidikan, perpustakaan, hospital, pasar awam dan kompleks komuniti (kulliyye). Wakaf juga dianggap sebagai amalan mulia yang menjadi kebanggaan di kalangan bangsawan dan hartawan pada masa itu.
Pada era tersebut, umat Islam amat kreatif dalam amalan berwakaf dan mengembangkannya sehingga turut merangkumi pembangunan rumah penginapan musafir (karavansarai), dapur rakyat (imaret), pusat rawatan spiritual dan psikologi, rumah perlindungan anak yatim, rumah penjagaan warga tua, bantuan untuk pasangan baru berkahwin, wakaf untuk haiwan, serta sistem pengangkutan dan pembinaan jalan raya. Selain daripada itu, wakaf turut digunakan untuk membangunkan infrastruktur air seperti jambatan, kolam mandi awam (hammam), sistem pancuran air serta sistem saliran air untuk keperluan harian, kebersihan dan pengairan taman dan ladang.
Ia selari dengan kemajuan dan teknologi dalam bidang hidrologi yang telah dicapai oleh umat Islam pada waktu itu. Banyak infrastruktur air telah dibangunkan oleh tamadun Islam seperti ‘Ain Zubaidah – terusan dan pusat pengumpulan air untuk kemudahan jemaah haji yang dibina pada era Khalifah Harun Al-Rasyid, aljibes atau tempat takungan air berkapasiti besar yang dilengkapi sistem perpaipan dan saliran, noria – mesin berkuasa hidro yang membekalkan air untuk kawasan bandar dan kampung, nilometer – alat untuk mengukur ketinggian air dan memberikan amaran awal banjir, serta sistem hidrologi yang kompleks tinggalan tamadun Moorish di Alhambra. Bahkan antara wakaf terawal di kalangan sahabat adalah wakaf perigi dan kebun kurma oleh Saidina Uthman bin Affan yang menjadi model wakaf lestari.
Cendekiawan Islam seperti Ismail Al-Jazari pula telah mencipta pelbagai teknologi berkaitan air seperti saqiya (alat mengangkut air mekanikal), mesin menyedut air dengan piston dan injap, sistem bekalan air dengan kuasa hidro, jam hidraulik, mesin membasuh tangan dan mesin mengepam tandas.
Oleh kerana itu, langkah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memperkenalkan Wakaf Air (Tabung Wakaf Air Nasional) adalah satu usaha yang baik bagi menghidupkan amalan kelestarian di kalangan masyarakat, terutamanya apabila negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air daripada bukit akibat pembalakan yang tidak terkawal.
Melalui inisiatif ini, sumbangan wakaf daripada orang ramai atau badan swasta akan diuruskan bagi membiayai projek pembangunan infrastruktur air berskala kecil seperti menggali perigi, membina empangan mini serta membeli peralatan untuk pengepaman, pemasangan paip, saliran, tapisan dan tangki takungan air. Infrastruktur air ini juga bakal memastikan bekalan air kepada masyarakat akan sentiasa berterusan. Ia juga boleh membantu menyelesaikan isu bekalan air, terutamanya di pedalaman dan luar bandar, yang lokasinya jauh daripada paip utama. Melihatkan kepada krisis pencemaran air yang melanda negara baru-baru ini, ia mungkin boleh merangkumi fasiliti untuk pemantauan kualiti dan tahap pencemaran air berasaskan teknologi terkini seperti sistem pintar dan Internet pelbagai benda (IoT).
Inisiatif ini bakal diperkemaskan dengan penubuhan sebuah task-force yang bakal dianggotai badan berkepentingan seperti Yayasan Wakaf Malaysia dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam mewujudkan urus tadbir yang efisien dan sinergi yang efektif antara pelbagai organisasi. Ia selari dengan hasrat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 64/292 yang memberikan pengiktirafan terhadap kepentingan mendapatkan bekalan air bersih untuk sumber minuman dan sanitasi sebagai hak asasi sejagat, yang turut menyeru kepada semua negara untuk membangunkan infrastruktur dan teknologi untuk membekalkan air bersih, selamat dan mampu-milik untuk semua.
Usaha murni ini juga perlu disokong oleh badan dan organisasi berkaitan pengairan, saliran, bekalan, rawatan dan pemeliharaan sumber air di seluruh negara. Inisiatif ini juga akan lebih berkesan dengan dokongan majlis agama Islam di setiap negeri. Bagi meningkatkan lagi impaknya, usaha ini boleh dijalinkan dengan instrumen dan platform kewangan Islam yang lain, termasuklah mengaplikasikan platform digital seperti crowdfunding yang sedia ada di Malaysia demi mengoptimumkan sumbangan dan pendanaan awam. Wakaf Air akan dilancarkan pada bulan September 2020 dengan projek pertamanya dijangka bermula pada bulan Disember 2020.