Cara Solat Sunat Taubat Nasuha: Niat & Istighfar Dalam Bacaan Jawi & Rumi
Solat taubat adalah sejenis solat sunat yang boleh dipraktikkan oleh seseorang yang beragama Islam. Oleh kerana sudah menjadi lumrah manusia untuk melakukan kesilapan dan berbuat dosa, maka Allah S.W.T. yang maha pemurah telah memberikan kita satu hadiah ataupun anugerah yang tidak ternilai untuk menyucikan diri kita daripada dosa-dosa. Hadiah ini adalah taubat dan pengampunan. Bagaimanakah cara untuk mendapatkannya? Mudah sahaja. Anda boleh mempelajari cara untuk mengerjakan solat sunat taubat sepertimana cara yang diterangkan di bawah.
Cara Solat Taubat Nasuha Yang Betul
Waktu Solat Sunat Taubat
Solat taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja apabila seseorang itu merasa menyesal dan ingin bertaubat kepada Allah S.W.T. Tetapi, adalah lebih afdhal ianya dikerjakan pada waktu tengah malam kerana ia lebih sunyi dan anda lebih tenang. Anda juga disarankan untuk melakukannya sewaktu bersendirian supaya tiada gangguan dan anda akan menjadi lebih khusyuk ketika melakukan solat.
Solat sunat taubat juga digalakkan untuk dilakukan di dalam bulan-bulan haram iaitu Muharram, Rejab, Sya’ban, dan Ramadhan.
Kaedah Solat Sunat Taubat
Solat sunat taubat boleh dilakukan dalam 2, 4, ataupun 6 rakaat. Ia sama seperti solat sunat lain. (Jika solat 4 atau 6 rakaat, buatlah 2 rakaat dan salam, diikuti lagi 2 rakaat dan salam, dan begitulah seterusnya).
Niat
Niat anda juga adalah sangat penting. Adalah baik untuk anda bersungguh-sungguh dan mempunyai keinginan tinggi untuk bertaubat dan meninggalkan daripada berbuat perkara mungkar- perbuatan ini dipanggil taubat nasuha. Dengan mengikuti langkah-langkah ini, mudah-mudahan solat anda akan diterima.
Panduan Solat Sunat Taubat Menggunakan Carta Aliran
Anda boleh merujuk carta aliran ini sebagai panduan solat sunat taubat yang komprehensif, bermula daripada solat sunat sehinggalah ke istighfar, istighfar tauhid & penghulu istighfar. Untuk kemudahan anda, di sini saya sertakan juga cara bacaan niat & istighfar solat taubat dalam bahasa rumi.
Nota: Pada rakaat kedua, anda juga boleh membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali.
Silalah bookmark halaman ini untuk rujukan pada masa hadapan atau anda boleh menyimpan terus gambar carta aliran ini di dalam peranti anda. Saya mengharapkan supaya ilmu yang dikongsikan ini sedikit-sebanyak dapat memberikan manfaat.
Doa Solat Taubat Nasuha
Lazimnya, memang akan ada “template” untuk berdoa. Namun begitu, Admin sengaja memilih untuk tidak menyertakan “template” doa tersebut di sini. Hal ini kerana adalah lebih afdhal untuk kita berdoa dengan setulus hati di dalam bahasa yang kita sendiri fahami. Sekiranya kita berniat solat sunat taubat dengan sebenar-benar taubat tetapi doanya adalah sekadar doa mengikut “skrip” yang bukan datang daripada hati yang tulus ikhlas; lebih-lebih lagi jika ia di dalam bahasa Arab tetapi kita tidak arif dalam berbahasa Arab, wallahu a’lam tetapi berkemungkinan besar kita sendiri pun tidak yakin dan tidak dapat merasakan kesungguhan di dalam berdoa.
Oleh yang demikian, berdoalah dengan penuh keikhlasan dari hati, pohonlah keampunan, mudah-mudahan taubat kita diterima dan dosa-dosa kita dapat dihapuskan. Allah S.W.T. menyukai hamba-Nya yang suka bertaubat. Sesungguhnya perjalanan yang manis adalah perjalanan ahli taubat.
Speak Your Mind