Resdung: Kenali Penyakit ini dan Rawatannya

Resdung | Penawar Resdung Paling Berkesan

Artikel ini membincangkan sedikit sebanyak tentang penyakit resdung (“sinusitis“) dan kaedah-kaedah rawatan resdung berdasarkan pengalaman peribadi penulis sebagai penghidap penyakit ini, saranan pihak-pihak ketiga (doktor, pakar perubatan tradisional, rakan-rakan yang menghidap penyakit yang sama), dan hasil himpunan artikel-artikel daripada laman web di luar sana. Penulis telah berusaha sedaya upaya untuk menghimpunkan maklumat sebaik mungkin dengan mengambil kira keselarian maklumat di antara sumber-sumber berbeza. Namun begitu harus diingatkan kepada pembaca bahawa maklumat yang terkandung di dalam artikel ini hanya sekadar untuk tujuan perkongsian maklumat dan bukannya sebagai nasihat perubatan. Pembaca haruslah merujuk kepada pakar perubatan bertauliah untuk mengesahkan sama ada pembaca benar-benar menghidap penyakit resdung dan mendapatkan nasihat rawatan dengan betul.

Apa itu resdung?

Di bahagian muka kita, terdapat satu rongga yang dikenali sebagai sinus yang terletak pada bahagian di antara tulang muka mengelilingi hidung. Ianya terbahagi kepada empat bahagian, iaitu:

Resdung | Penawar Resdung Paling Berkesan
  • Frontal sinus;
  • Sphenoidal sinus;
  • Ethmoid sinus; dan
  • Maxillary sinus.

Resdung pula adalah sejenis penyakit yang wujud apabila berlaku keradangan pada mana-mana bahagian yang disebutkan ini.

Punca Resdung

Penyakit resdung biasanya berpunca daripada jangkitan kuman, bakteria ataupun kulat yang akan menyebabkan bahagian sinus tersebut menjadi bengkak. Bengkak ini pula akan menyebabkan aliran mukus daripada sinus ke dalam hidung dan kerongkong terhalang. Akhirnya, aliran yang terhalang inilah yang akan menyebabkan tekanan dan keradangan di dalam rongga sinus yang terjejas.

Rongga sinus yang tersumbat dan menghadapi keradangan mempunyai potensi tinggi untuk dijangkiti kuman. Di dalam sesetengah kes resdung kronik, ia juga boleh menyebabkan nanah. Sekiranya persakit tidak mendapatkan rawatan resdung dengan segera, nanah di dalam sinus boleh merebak ke bahagian lain seperti mata, yang boleh menyebabkan kebutaan malahan ia juga boleh merebak ke bahagian otak.

Tanda Tanda Resdung

Resdung boleh dikenalpasti dengan pelbagai tanda. Di antara simptom resdung yang lazim dialami seseorang yang menghidap penyakit ini adalah:

  • Demam;
  • Sakit tekak;
  • Pening kepala;
  • Saluran hidung sering tersumbat;
  • Sentiasa berasa penat dan lesu;
  • Deria rasa dan bau tidak berfungsi dengan baik;
  • Berlaku alahan;
  • Kerap bersin, terutamanya di waktu pagi dan ketika cuaca sejuk;
  • Hidung sering terasa gatal; dan
  • Terdapat lendir di dalam hidung dan tekak yang biasanya berwarna kuning pekat atau kehijau-hijauan untuk tempoh masa yang panjang.

Selain itu, jangkitan kuman pada kawasan sinus yang berlainan pula akan menyebabkan kesakitan di kawasan tertentu, iaitu:

  • Jangkitan pada maxillary sinus – Kesakitan di bahagian pipi dan bahagian atas gigi;
  • Jangkitan pada frontal sinus – Kesakitan di bahagian dahi dan atas kening mata;
  • Jangkitan pada sphenoid sinus – Kesakitan di bahagian belakang mata dan atas kepala;
  • jangkitan pada ethmoid sinus – Kesakitan di sekitar dan belakang mata.

Jadi, sekiranya anda mempunyai tanda tanda resdung seperti yang tersenarai, ada kemungkinan besar anda adalah seorang yang menghidap penyakit ini. Oleh yang demikian, anda amatlah disarankan untuk berjumpa dengan doktor ataupun pakar perbuatan tradisional untuk mengesahkannya.

Eh kejap, bagaimana pula dengan “ulat resdung”?

Biasanya apabila anda bercerita tentang penyakit resdung dengan orang lain ataupun mereka-mereka yang kononnya mengetahui sedikit sebanyak tentang resdung, pasti anda pernah diberitahu tentang adanya “ulat resdung” yang tinggal di dalam muka dan perlu dibuang.

Jangan tertipu, kerana ulat resdung bukanlah sesuatu yang benar, dan ianya cuma sebuah mitos.

Di dalam video ini contohnya, pasti akan kelihatan seperti ulat resdung keluar daripada muka ketika membuat rawatan. Namun begitu, sebenarnya kajian telahpun dibuat dan didapati bahawa ada segelintir pengamal perubatan yang tidak bertauliah dan tidak bertanggungjawab menggunakan parasit daripada lipas tanah dan banyak lagi kaedah-kaedah licik yang dipraktikkan.

Untuk menyokong perkara ini, Kementerian Penerangan Malaysia juga melalui portal PMR (Pusat Maklumat Rakyat di dalam artikel ini (sila klik link) telah mengesahkan bahawa resdung sememangnya tiada kaitan dengan ulat.

Menurut pengalaman saya bersama seorang rakan penghidap resdung pula, kami pernah pergi membuat rawatan tradisional dengan “melilin” muka dengan seorang ahli perubatan tradisional (ataupun juga dikenali sebagai “mengasap muka”). Apabila membuat rawatan tersebut, akan terlihat “ulat-ulat” kecil berwarna kekuningan yang keluar daripada muka. Walhal setelah dikaji, ianya tidak lain tidak bukan hanyalah habuk lilin yang terlekat pada muka sewaktu melilin. Tertipulah kami pada masa tersebut, siap beli selonggok lilin untuk diguna sendiri di rumah.

Speak Your Mind

*