Rasanya minuman paling popular dalam dunia ni adalah kopi dan juga teh. Kedua-duanya mempunyai peminat yang tersendiri. Bagi penggemar kopi ia mungkin menjadi minuman wajib pada waktu pagi sebelum memulakan sebarang pekerjaan. Begitu juga dengan penggemar teh yang gemar menghirup teh pada waktu pagi atau pun petang. Tapi yang penting minuman ini amat lah nikmat untuk diminum dalam cuaca dingin. Walau bagaimanapun, kedua-dua minuman ni sering diingatkan untuk tidak diambil secara berlebihan kerana boleh memberi keburukan kepada kesihatan. So persoalannya mana satu yang lebih baik untuk kita minum?
SEJARAH MINUMAN TEH DAN KOPI
Ada satu kisah menarik tentang dari mana bermulanya minuman teh dan kopi ini. Menurut satu kisah lagenda, teh pertama kali ditemui oleh Maharaja China pada tahun 2737 Sebelum Masihi ketika daun teh secara tidak sengaja jatuh ke dalam air yang sedang dididihkannya. Beliau kemudian meminum minuman itu dan terkejut dengan rasa dan faedahnya. Ada juga sejarah tentang teh yang mengatakan ia berkaitan dengan opium war antara pihak China dan British satu ketika dahulu.
Manakala lagenda kisah minuman kopi pula dipercayai berasal dari Yaman dan mula berkembang di selatan tanah Arab. Sejarah mengatakan bahawa seorang penggembala kambing bernama Kaldi melihat kambingnya menjadi hiperaktif lepas makan biji kopi. Biji kopi tersebut secara kebetulan juga terjatuh daripada sebuah pokok yang ada di situ. Selepas itu, biji kopi pun diolah dan dihasilkan sebagai satu bentuk minuman. Jadi dari situ lah dipercayai bermulanya budaya minuman kopi dan teh.
KEBAIKAN DAN KEBURUKAN MINUM KOPI
Sebenarnya minuman kopi ni memang ada kebaikannya. Satu kajian daripada Universiti Harvard mendapati bahawa orang yang minum tiga hingga lima cawan kopi sehari mempunyai risiko kematian yang rendah akibat penyakit tertentu. Sifat antioksidan dalam kopi dikatakan banyak membantu memberi perlindungan terhadap penyakit diabetes, parkinson dan juga sesetengah penyakit barah. Tapi dengan syarat jumlah gula pada paras yang rendah lah.
Walau bagaimanapun, bahan semula jadi yang ada dalam kopi jika tidak ditapis boleh meningkatkan kadar kolesterol. Tambahan lagi, kandungan asam kopi yang dikatakan lebih tinggi daripada teh boleh menyebabkan masalah pencernaan. Kalau minum empat cawan kopi atau lebih dalam sehari, ia dikatakan mampu mengurangkan kepadatan tulang sekitar 2-4%.
Selain itu, kopi juga agak terkenal dengan kandungan kafein yang tinggi. Sebab tu kalau jenis yang tak biasa minum kopi macam aku ni akan mudah rasa gelisah atau kurang selesa lepas minum kopi. Lagi satu, pengambilan kopi secara berlebihan kepada yang mereka mempunyai tekanan darah tinggi boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah. Itu lah tindak balas kafein yang ada dalam kopi terhadap tubuh badan kita.
KEBAIKAN DAN KEBURUKAN MINUM TEH
Pengambilan minuman teh pula sering dikatakan memberi manfaat kepada kesihatan kerana kandungan antioksidannya terbukti dapat membantu mencegah pembuluh darah daripada menjadi pejal dan dapat meningkatkan kesihatan otak. Di samping itu, satu lagi kajian yang diterbitkan dalam jurnal kesihatan Nutrition Bulletin mendapati bahawa pengambilan teh secara berkala dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan diabetes. Sebenarnya, kajian lain ada menyatakan bahawa pengambilan teh dapat mengurangkan tahap tekanan berbanding minuman berkafein lain, seperti kopi. Jadi dari sini boleh nampak teh mempunyai manfaat yang lebih berbanding kopi.
Minuman teh hijau yang memang sinonim dengan manfaatnya juga merupakan satu jenis teh terbaik. Dikatakan pengambilan lebih dari dua cawan sehari mampu meningkatkan imuniti badan, membantu mempercepatkan metabolisme tubuh, dan dapat mengurangkan risiko kehilangan ingatan akibat penuaan. Namun, pengambilan secara berlebihan tetap mendatangkan risiko kepada kesihatan badan.
Kandungan tanin dalam teh dikatakan boleh mengganggu penyerapan zat besi dalam badan. Satu kajian mendapati bahawa pengambilan teh boleh menyebabkan penurunan penyerapan zat besi sebanyak 62%. Selain itu, satu kajian mendakwa bahawa pengambilan teh lebih daripada tujuh cawan sehari dapat menggandakan risiko penyakit barah prostat berbanding mereka yang mengambil tiga cawan teh atau kurang.
MINUM LAH SECARA SEDERHANA
Walaupun ramai penggemar teh atau kopi yang selalu berdebat dan menyatakan minuman mereka adalah yang terbaik dan banyak memberi manfaat, pengambilan secara berlebihan tetap ada keburukannya. Teh atau kopi? Kedua-duanya tetap baik untuk kesihatan jika diambil pada jumlah yang sederhana.
Speak Your Mind