
Tidak ramai yang tahu terutama generasi muda masa kini bahawa Kubang Pasu dahulunya adalah sebuah negeri yang dinamakan “Kubang Pasu Darul Qiyam.”
Malah, Kubang Pasu yang kini merupakan salah satu daerah dalam negeri Kedah menyimpan banyak sejarah yang menarik dan wajar kita ketengahkan supaya tidak luput ditelan masa.
Kali ini, saya nak ceritakan secara ringkas tentang negeri Kubang Pasu Darul Qiyam dan ‘sultannya’ Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.
Kalau kawan-kawan perasan, bila kita lalu jalan utama dari Kubang Pasu ke Jitra di Tok Jalai, kita akan nampak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.
Siapa Tunku Anum ini?
Tunku Anum Tunku Abdul Rahman diputerakan pada 1790 Masihi. Beliau pada mulanya ditugaskan sebagai raja penghantar bunga emas dan perak semasa penaklukan Siam di Kedah (1821 – 1841).
Disebabkan itu juga Tunku Anum juga digelar Paduka Raja Jambangan. Kebijaksanaan Tunku Anum berjaya memujuk Raja Siam untuk mengembalikan takhta kerajaan raja Negeri Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II.
Semasa pemerintahan Siam, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II diusir oleh Siam ke Melaka. Disebabkan jasa bakti Tunku Anum itu, Sultan Kedah telah mengurniakan kawasan Kubang Pasu bersama 24 mukim kepada Tunku Anum.
Maka, semenjak dari tahun 1841, Tunku Anum menjadi raja Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam yang pentadbirannya berpusat di bandar Pulau Pisang sehinggalah beliau mangkat pada hari Selasa 22 Syaaban 1269 bersamaan 31 Mei 1853 dan dimakamkan di Langgar, Pulau Pisang.
Dikatakan, antara punca kemangkatan beliau adalah kerana terlalu sedih diatas kematian puteranya yang juga bakal pengganti beliau.
Kubang Pasu sepanjang pemerintahan Tunku Anom pesat membangun dan berjaya menaikkan taraf ekonomi rakyatnya dengan wujudnya kilang kain, mahkamah, penjara, pejabat tanah malah masih tersimpan bukti geran tanah yang mempunyai cop negeri Kubang Pasu.
Malangnya selepas kemangkatan Tunku Anum pada 1853, Kubang Pasu yang diserahkan kepada cucunya, Tunku Ishak yang menjadi Raja dan memerintah selama 10 tahun, gagal mempertahankan negeri itu lalu diserahkan kembali kepada Sultan Kedah ke-24 ketika iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.
Makam Tunku Anom terletak di kampung Pulau Pisang, Tunjang. Jaraknya dari Pekan Jitra sejauh 7 km dan 28 km dari bandar raya Alor Setar.
Kredit: Hasmuni Hassan.
