Siapa Orang Melayu Yang Dikuburkan Di Sebelah Kubur Saidina Abdullah bin Abbas sepupu Rasulullah SAW ?

May be an image of outdoors

Nama sebenar beliau ialah Syeikh Wan Daud bin Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris al-Fatani. Beliau adalah tokoh ulama Islam berbangsa Melayu. Dilahirkan di Kerisik, Pattani dan berasal dari kalangan keluarga ulama’.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

SIFAT PERIBADI:

· Sanggup merantau keluar Negeri, demi menuntut ilmu.

· Bijak dan pintar dalam menguasai pelbagai bidang ilmu terutamanya ilmu agama.

· Mempunyai bakat kepimpinan yang membolehkan beliau dilantik sebagai syeikh bagi haji jamaah haji dari alam melayu.

PENDIDIKAN:-

· Mendapat pendidikan awal di sebuah pondok Pattani (Thailand) dan di Acheh (Indonesia) dalam bidang ilmu agama seperti tafsir, feqah, usuluddin, dan tasauf.

· Belajar di Mekah selama 30 tahun dan Madinah selama 5 tahun.

· Antara guru beliau ialah Syeikh Muhammad Zin Acheh, dan Syeikh Muhammad Salih bin Abdul Rahman al-Fatani yang mengajar di Masjidil Haram.

. Beliau mempelajari thariqah al-Syatiriyyah daripada Syeikh ‘Ali bin Ishak al-Fatani, dan thariqah al-Samaniyyah daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Saman al-Madani.

SUMBANGAN SYEIKH DAUD FATANI DALAM PERBAGAI BIDANG ILMU :

Beliau banyak menghasilkan buku iaitu sebanyak 58 buah dalam pelbagai bidang ilmu. Antara kitab karangan beliau ialah :

· Feqah : furu’ al-masail, munyyat al-musolli

· Tasauf : minhaj al-Abidin, bidayah al-Hidayah.

· Usuluddin : al-durr al-tahmin, dhia’ al-murid.

· Sejarah : tarikh al-Fatani.

KISAH SYEIKH DAUD DAN JIN :

Diriwayatkan: “Ada satu jin yang menyamar bersama-sama dengan jenis manusia belajar kepada Tok Syeikh Daud di Masjid al-Haram, Mekah. Jin itu menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak tahu bahawa dia adalah bangsa jin.

Sebenarnya Tok Syeikh Daud bukannya tidak tahu perkara itu, bagi seorang Wali Allah sesuatu rahsia yang belum diketahui oleh orang ramai beliau tidak akan menceritakannya selagi perkara itu tidak merosakkan pihak lainnya.

Pada satu malam, jin itu menjemput Tok Syeikh Daud dan gurunya yang berbangsa jin datang ke rumahnya kerana mengadakan kenduri. Semua yang hadir adalah bangsa jin dan mereka merendahkan diri kepada Tok Syeikh Daud.

Alam itu sebenarnya adalah alam jin, tetapi mereka cuba hadir kepada alam manusia. Maksud mereka bukan untuk menipu Tok Syeikh Daud tetapi mereka ingin mengambil berkat atas ketinggian martabat Wali Allah bangsa manusia itu.

Mereka menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak mengetahui perkara itu, sebenarnya sebelum datang ke tempat itu beliau telah maklum bahawa jemaah yang hadir di tempat itu bukan bangsa manusia tetapi adalah jemaah jin.

Setelah selesai upacara, jin tuan rumah bersedekah kepada Tok Syeikh Daud satu bungkusan yang di dalamnya terdapat ketulan-ketulan emas dan pelbagai jenis permata yang mahal-mahal harga.

Tok Syeikh Daud menolak sedekah itu dengan secara halus, dibahagi-bahagikan kepada semua bangsa jin yang hadir di tempat itu sehingga tidak ada sesuatu pun yang tinggal pada beliau.

Cerita di atas dapat menjadi pengajaran, bahawa pada zaman moden sekarang masih ada orang yang ingin mendapatkan harta kekayaan melalui jin.

Tetapi berbeza dengan ulama seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau tidak memerlukan barangan yang bukan dari alam kita sendiri.

KEWAFATAN :

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya berdampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.

Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan tepat. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Jenazahnya kemudian dipindahkan ke Mekah lalu ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.

Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.

Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH. Foto: Tengku Yusuff.