Membaca bukan hobi tapi keperluan

SESEORANG perlu memperuntukkan sedikit masa dalam kesibukan harian untuk membaca bagi menambah ilmu pengetahuan

ZAMAN ini, apabila seseorang mengatakan hobinya adalah membaca, ia kedengaran agak pelik kerana tsbist itu kini dianggap keperluan.

Dr. Raghib As-Sirjani dalam bukunya bertajuk Spiritual Reading menjelaskan, membaca adalah satu konsep dalam kehidupan dan bukan sekadar hobi. Ini bermakna kita harus memperuntukkan masa untuk membaca setiap hari.

Bayangkan seseorang tidak makan seharian, sudah tentulah akan kelaparan. Begitulah juga dengan minda, harus makan. Makanan minda adalah membaca. Namun, bukan semua bahan bacaan kita perlu baca. Bacalah buku yang mempunyai nilai manfaat.

Bagi umat Islam, mereka mengetahui bahawa kalimat pertama yang diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW adalah perintah membaca: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (Surah Al-‘Alaq: 1).

Pendek kata, untuk membuka pintu gedung ilmu adalah dengan membaca. Membaca akan menyajikan kita sejuta rasa kemanisan dalam memperoleh ilmu. Membaca juga membawa seseorang
mengembara ke seluruh alam tanpa sempadan.

Membaca boleh mengubah corak fikir dan hala tuju seseorang, bahkan membina peradaban dunia. Tidak mungkin ketamadunan itu dibina tanpa penghuninya memiliki minat membaca yang mendalam terhadap ilmu dan buku. Lihat sahaja sepanjang sejarah ketamadunan manusia, pasti akan kelihatan di situ terbina perpustakaan yang besar. Ini membuktikan penghuninya mempunyai tabiat yang mendalam terhadap ilmu.

Menurut Shaharom T.M Sulaiaman dalam buku Perpustakaan Penggerak Peradaban, melalui pembacaan terletaknya kemilau ilmu yang menjadi khazanah keintelektualan sesuatu bangsa bertamadun.

Seharusnya tidak ada lagi kedengaran orang yang mengatakan, saya tidak minat membaca, saya tidak biasa membaca, membaca hanya untuk orang terpelajar atau saya cepat bosan bila membaca. Semua ini hanya ayat-ayat yang mematikan jiwa, memfakirkan pemikiran dan menghilangkan kecintaan terhadap ilmu.

Kembalilah pada wahyu pertama yang diturunkan malaikat Jibril kepada Rasulullah melalui surah Al-A’laq, ayat 1 hingga 5. Membaca kerana perintah Allah dan ia merupakan simbolik perhambaan kepadaNya. Mengangkat darjat kemanusiaan, sesuai dengan penciptaan-Nya.

Langkawi masih indah, terjaga

JANGAN lepaskan peluang mempelajari sejarah sumpahan Mahsuri dengan lebih mendalam sekiranya ke Pulau Langkawi.

KEBENARAN merentas negeri serta kelonggaran diberikan kerajaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dipersia-siakan dan ternyata begitu ramai pelancong tempatan ke Pulau Langkawi.

Kami sekeluarga tidak terkecuali mengambil peluang ke sana. Perjalanan kali ini amat bermakna.

Masya-Allah, terpegun sejenak dengan kelestarian bumi hijau di sana. Seperti tidak percaya keadaannya kekal utuh dan nampak terjaga jika hendak dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Bahkan, tiada satu pun kegiatan atau aktiviti menjarah tanah di lereng kaki bukit ataupun kerja-kerja menebang pokok.

Keadaan ini jauh sekali berbeza dengan apa yang berlaku di Gunung Jerai, Yan, Kedah yang difahamkan berlakunya pembalakan secara haram walaupun cuba dinafikan.

Di sisi lain, Pulau Langkawi sebenarnya bukan sahaja dikenali sebagai pusat destinasi pelancongan semata-mata bahkan masih terdapat banyak peninggalan artifak sejarah yang boleh ditelusuri terutamanya legenda Mahsuri seperti kisah sebenar pembunuhan Puteri Langkawi itu dan kisah darah putih yang terpancut keluar dari perutnya. Usah hanya bergantung pada pengetahuan menerusi pembacaan.

Pada masa sama, keindahan dan keunikan seni ukiran serta binaan masjid-masjid di sini juga menjadi daya tarikan pengunjung luar dan pelancong.

Antara masjid yang menjadi sebutan orang ramai adalah Masjid Aisyah. Mungkinkah terdapat kisah di sebalik penggunaan nama seorang tokoh wanita mulia itu? Selain itu, adakah keindahan serta keunikan seni binaan masjid-masjid melambangkan simbolik kemasyhuran legenda Mahsuri itu sendiri?

Tidak syak lagi, selain dapat merehatkan minda yang berserabut di tepi pantai, orang ramai boleh juga menikmati dan melihat panorama alam semula jadi dari dekat di samping merasa sendiri pengalaman menyeronokkan dengan menaiki kereta kabel.

Selain dapat mengambil gambar menarik sebagai kenangan, kami juga berpeluang merentasi titian gantung semasa menyeberangi Gunung Mat Cincang.

Buli bukan lagi gurauan

MENURUT Persatuan Psikologi Amerika Syarikat, buli adalah kelakuan agresif di mana seseorang secara sengaja dan berulang kali menyebabkan orang lain cedera atau tidak tenteram.

BULI adalah perbuatan yang berniat menunjukkan kekuatan, menggertak atau mencederakan orang yang dilihat berkeadaan lebih lemah daripada si pelaku.

Buli bukan lagi mainan dan gurauan. Sebab itu gejala ini perlu ditangani secara bersama. Hal ini kerana kes-kes buli saban hari semakin bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan dan tidak terkawal.

Menurut Persatuan Psikologi Amerika Syarikat, buli adalah kelakuan agresif di mana seseorang secara sengaja dan berulang kali menyebabkan orang lain cedera atau tidak tenteram.

Buli boleh terjadi secara ­fizikal, dalam bentuk perkataan atau secara lebih halus. Mangsa buli kebiasaannya tidak dapat mempertahankan diri dan dalam masa sama tidak melakukan apa-apa yang menjadikan sebab dirinya dibuli.

Menurut perspektif Islam, perbuatan buli tidak boleh dilakukan kerana ia bertentangan dengan agama dan nilai kemanusiaan. Ia juga bertentangan dengan Islam sebagai satu agama yang memelihara karamah insaniah atau kemuliaan insan.

Jika masalah ini tidak dibendung dari awal, ia akan meninggalkan kesan negatif kepada mangsa buli. Antaranya masalah kesihatan berkaitan mental, mengalami kecederaan anggota badan dek dipukul pembuli, ponteng sekolah kerana takut dengan pembuli dan pencapaian akademik merosot kerana hilang fokus dalam pelajaran.

Oleh itu, perbuatan buli harus dibendung sebelum ia menjadi tidak terkawal dan sewajarnya diberi perhatian penuh oleh semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda.

Semua pihak mempunyai peranan mereka masing-masing bagi membendung perbuatan buli. Jika perbuatan ini tidak dibendung, ia akan merosakkan generasi muda dan generasi akan datang.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Pepatah menyebut, tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.

Agama, sivik saja ubatnya

KITA bimbang pembuli yang terpelajar akan melahirkan pemimpin organisasi yang mementingkan pandangannya sahaja.

KES buli melibatkan pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini bukanlah yang pertama berlaku di negara ini.

Beberapa dekad lalu, kes buli melibatkan pelajar sebuah universiti mengejutkan negara.

Ini disebabkan kaedah buli tersebut mengandungi elemen dera dan memalukan mangsa. Walaupun pesalah telah menerima hukuman, namun kes buli masih berlaku sama ada dilaporkan atau disorok pihak pentadbir sesebuah institusi pendidikan.

Walaupun kedengaran agak klise, hanya pendidikan agama dan sivik sahaja yang mampu menyelesaikan masalah buli dalam kalangan pelajar mahupun anggota masyarakat. Seawal usia enam tahun di tabika, pendidikan agama dan sivik perlu diterapkan kepada anak-anak kita.

Adab hormat-menghormati sesama rakan perlu diajar termasuk adab terhadap orang tua. Rasanya semua agama mengajar penganutnya menghormati sesama insan dan melarang perbuatan menekan orang yang lemah.

Kita bimbang pembuli yang terpelajar akan melahirkan pemimpin-pemimpin organisasi yang mementingkan pandangannya sahaja. Pekerja-pekerja bawahan pasti akan berasa tertekan kerana mempunyai ketua yang bersikap pembuli sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Sebaiknya masalah buli ini diselesaikan dengan hukuman yang keras kerana sudah banyak kes buli melibatkan pelajar berakhir dengan kecederaan fizikal dan mental.

Jangan pening kepala mencari kaedah terbaik yang lain sedangkan penawarnya ada di depan mata, cuma jangan buta hati.

Saintis jumpa takungan air di planet Marikh

PESAWAT pengorbit, Mars Express merakamkan gambar Candor Chasma yang merupakan ngarai terbesar di utara Valles Marineris, Julai 2006.-AGENSI

LONDON: Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya menemukan ‘sejumlah besar takungan air’ selepas pesawat pengorbit mengelilingi planet Marikh, lapor CNN.

Pesawat pengorbit, The Exomars Trace Gas Orbiter yang dilancarkan sejak 2016 merupakan misi bersama antara agensi angkasa lepas itu dengan Roscosmos yang bertujuan mengesan air di Valles Marineris di planet tersebut.

Valles Marineris terletak di selatan khatulistiwa planet itu dengan suhu kebiasaannya tidak cukup sejuk untuk air kekal menjadi ais.

Saintis mendapati sistem ngarai itu 10 kali lebih panjang, lima kali lebih dalam serta 20 kali lebih luas berbanding Grand Canyon.

Air itu terletak di bawah permukaan lurah dalam bercerun tinggi yang curam dan dikesan oleh instrumen pengorbit FREND atau Pengesan Neutron Epitermal Resolusi Halus.

Instrumen tersebut berupaya memetakan hidrogen di 0.9 meter permukaan tanah planet Marikh.

Kebanyakan air di Marikh terletak di kawasan kutub planet dan kekal beku menjadi ais.

Pemerhatian itu dikumpulkan oleh pesawat pengorbit antara Mei 2018 hingga Februari tahun ini.

Sebelum ini, kapal pesawat pengorbit pernah mencari air di bawah permukaan Marikh dan mengesan sejumlah kecil di bawah debu planet itu.

SMS pertama di dunia bakal dilelong ratusan ribu ringgit

PARIS: Sebuah telefon bimbit yang mengandungi teks mesej sistem pesanan ringkas (SMS) pertama di dunia dijangka dibida lebih 150,000 pound (RM953,930).

Pada 3 Disember 1992, seorang pengatur cara Britain berusia 22 tahun, Neil Papworth menghantar SMS dari komputer kepada rakannya, Richard Jarvis.

Papworth bekerja sebagai jurutera perisian untuk mencipta SMS bagi Vodafone dan menaip Merry Christmas di komputernya di Newburry, Berkshire.

Pengarah syarikat itu, Jarvis kemudian berjaya menerima mesej tersebut di telefon bimbitnya, Orbitel 901.

“Pada 1992, saya tidak tahu betapa popularnya mesej teks yang boleh menghasilkan emoji serta aplikasi pesanan yang digunakan jutaan orang.

“Saya beritahu anak-anak teks pertama yang pernah dihantar mengenai Hari Krismas yang merupakan detik penting dalam sejarah telefon mudah alih,” kata Papworth.

Kini, selepas hampir tiga dekad berlalu, teks SMS itu akan menjadi koleksi barangan bersejarah oleh pembeli kaya dan celik teknologi dalam acara lelongan yang akan diadakan 21 Disember depan di rumah lelongan Aguttes.

9 Adab Yang Mudah Tetapi Sangat Besar Kesannya

1. Jangan call seseorang berturut-turut. Kalau tidak berjawab, maknanya mereka sedang buat sesuatu yang penting. Mesej selepas itu dan tanya bila masa sesuai untuk call.

2 . Jangan sesekali order menu yang mahal bila ada orang belanja. Lebih molek, minta orang yang belanja pilihkan menu. Sensitif terhadap orang yang belanja.

3. Jangan lah bertanya soalan janggal seperti, “Oh, belum kahwin ya? Umur sudah berapa ni?”, atau “Belum ada anak ya? Kan dah lama kahwin?”, “Kenapa belum beli rumah?”. Itu hal peribadi. Tidak perlu ditanya. Bukan hal kita.

 9 Adab Yang Mudah Tetapi Sangat Besar Kesannya

4. Selalu buka dan pegangkan pintu untuk orang dibelakang kita, terutamanya warga tua atau ibu sedang dukung anak. Tidak rugi bantu mudahkan orang lain.

6. Bila terima mesej, balas walaupun terlambat atau sedang sibuk. Ingat, bukan kita sahaja sibuk. Bila sudah lapang, tetap balas dan mohon maaf atas kelewatan.

7. Beri pujian di khalayak, tetapi beri kritikan secara peribadi dan tersendiri. Niat untuk menambah baik, bukan mengaibkan.

8. Jangan buat perancangan di depan mereka yang tidak terlibat atau tidak dijemput sekali. Kalau sudah terbagi tahu, eloklah jemput terus.

9. Hormati seseorang pada nilainya, bukan jawatan atau posisi. Seorang tukang cuci layak dilayan sama seperti seorang CEO. Mereka sama-sama manusia. Layanan kita yang penuh adab adalah cerminan nilai dalam diri kita.

Doa Yang Diajarkan Rasulullah Kepada Fatimah

1. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabrani, Rasulullah ﷺ dikatakan pernah masuk ke rumah Saidatina Fatimah, dan mendapati Fatimah sedang terlelap tidur. (Setelah terjaga) Baginda lalu bertanya, apakah yang menyebabkan beliau tidur pada waktu begini. Lalu Fatimah menjawab: “Aku kepenatan (atau tidak sihat).”

2. Rasulullah ﷺ kemudian mengajarkan kepada Saidatina Fatimah doa dan zikir ini yang sunnah untuk dibacakan setiap hari iaitu:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

“Ya Hayyu Ya Qayyum, Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah urusanku seluruhnya, dan jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walau hanya sekelip mata.” (Lafaz doa atau zikir ini daripada riwayat al-Nasa’i)

3. Menurut riwayat al-Nasa’i pula, Rasulullah ﷺ pernah mewasiatkan kepada Fatimah agar sentiasa membaca doa ini pada waktu pagi dan petang. Ini supaya kita sentiasa meletakkan kebergantungan diri kita kepada Allah tidak kira saat susah mahu pun senang.

كَانَ إِذَا كَرَبَهُ أَمْرٌ يَقُولُ: (يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ)

“Sesungguhnya Rasulullah apabila ditimpa sesuatu perkara maka Baginda akan mengucapkan: Ya Hayyu, Ya Qayyum, birahmatika astaghith.” (HR al-Tirmizi)

5. Amalkanlah lafaz zikir dan doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi ﷺ ini. Doa dan zikir ini mendidik kita meletakkan kebergantungan (tawakal) dan pengharapan kepada Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Penulis : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Apakah Tentera Singapura Lebih Kuat Berbanding Tentera Malaysia?

Satu persoalan yang mesti pernah timbul dalam perbualan kita bersama rakan.

Andai berlaku peperangan, apakah ATM mampu berdepan dengan pasukan keselamatan Singapura yang diketahui memiliki aset dan perbelanjaan ketenteraan yang jauh lebih besar berbanding Malaysia?

Pandangan seorang bekas tentera Singapura berikut disiarkan dalam kapasiti peribadi beliau di laman web Quora dan dipetik Mynewshub:

Saya percaya kita di Singapura perlu berhati-hati tentang memandang rendah ketenteraan Malaysia.

Ya dari segi peralatan, senjata, kereta kebal, pesawat, kapal, bajet dan kecekapan organisasi, kita mendahului Malaysia dan lain-lain di rantau ini namun begitu juga orang Amerika ketika mereka melawan VietCong (perang Vietnam).

Walau bagaimanapun, tentera Amerika (kebanyakannya terdiri daripada tentera kerahan ketika itu) masih kalah.

Dalam perang konvensional, kita pasti akan lebih berkuasa tetapi jiran kita tidak akan tunduk kepada taktik “konvensional” yang memihak kepada kita, mereka akan berjuang berdasarkan kekuatan mereka.

Jadi daripada fokus pada kekuatan kita, lebih baik tunjukkan di mana saya percaya kekuatan mereka….

a) Kedalaman Strategik: Malaysia jauh lebih besar daripada Singapura. Ia mempunyai keluasan tanah 329,847 km persegi dan garis pantai 4,675 km.

Kelebihan Selawat Ke Atas Nabi

1. Pada hari jumaat ini perbanyakkanlah berselawat. Mereka yang banyak berselawat akan diampunkan dosa mereka. Perkara ini direkodkan dalam sebuah hadis Nabi yang menceritakan tentang kisah Saidina Ubai bin Ka’ab yang bertanya kepada Rasulullah tentang berapa banyak selawat yang seharusnya di ungkapkan ke atas Baginda Nabi.

2. Saidina Ubai bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلاَةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلاَتِي؟

“Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyak berselawat ke atasmu. Berapa banyak aku harus berselawat kepadamu dalam doaku? Lalu Rasulullah bersabda: Terserah kepadamu wahai Ubai.

3. Ubai menyebutkan beberapa bilangan dan Rasulullah hanya menjawab: Terserah kepadamu. Sehinggalah di hujung dialog tersebut Ubai bertekad untuk menjadikan seluruh doanya mengandungi selawat kepada Baginda Nabi. Lalu Rasulullah bersabda:

إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ، وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ