GARIS PANDUAN PENJAGAAN KESIHATAN SEMASA BANJIR

Banjir adalah keadaan di mana air telah naik melebihi paras bahaya dan diisytiharkan banjir oleh pihak berkuasa.

Masalah-Masalah Yang Berlaku Semasa Banjir:

—Lemas
—Terdedah kepada kecederaan
—Terkena renjatan elektrik
—Terdedah kepada jangkitan taun, cirit-birit dan demam kepialu

Tindakan Yang Perlu Anda Lakukan Semasa Banjir:

—Pindah ke pusat pemindahan apabila diarahkan
—Jangan biarkan kanak-kanak bermain air banjir
—Elakkan meredah jalan raya yang ditenggelami air
—Matikan semua punca bekalan elektrik
—Tidak menyentuh dawai elektrik yang terjatuh di kawasan banjir

Bagaimana Kita Boleh Menjaga Kesihatan Ketika Berada Di Pusat Pemindahan?

—Sentiasa minum air yang telah dimasak
—Makan makanan yang dimasak sahaja
—Elakkan memakan makanan mentah seperti ulam
—Jangan makan makanan yang terdedah
—Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling
—Cuci tangan sebelum makan dan selepas ke tandas
—Guna tandas yang sempurna
—Buang sampah di tempat yang betul
—Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor
—Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami cirit-birit atau muntah-muntah

Credit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

BUNUH DIRI

Kesan terbesar di dunia ini untuk seseorang itu maut akibat membunuh diri bukan akan terjadi kepada diri mangsa sahaja semata-mata.

Sebaliknya, kesan kematian akibat membunuh diri akan meninggalkan kesan psikologikal yang mendalam terutama sekali kepada ahli keluarga terdekat dan sahabat handai.

Natijahnya kadangkala menjadi terlalu besar sehingga menyebabkan seseorang yang melalui proses untuk menerima perkhabaran berita tentang kematian seseorang dan ditambah pula dengan proses berkabung boleh menyebabkan mereka terjerumus kepada penyakit mental yang akan dibawa untuk selama-lamanya.

Justeru, marilah kita bertindak sekarang. Terapkanlah otak kita dengan ilmu pengetahuan mengenai penyakit mental. Sokonglah mana-mana individu yang berasa waswas untuk menerima rawatan daripada pakar psikiatri untuk mereka terus-menerus mengikuti rawatan yang ditetapkan.

Rawatan psikiatri bukan semata-mata dengan ubat-ubatan, kaunseling dan psychotherapy sahaja, sebaliknya, sokongan ahli keluarga dan sahabat terdekat, serta jiwa pesakit sendiri yang mempunyai tekad untuk sembuh merupakan satu jenis ‘rawatan’ yang terbaik.

Maka, wujudkanlah suasana yang kondusif dan aman untuk para pesakit bagi membolehkan mereka mempunyai iltizam untuk sembuh dan mengubah kehidupan mereka di samping rawatan yang berterusan daripada pakar psikiatri.

Salah satu kata-kata yang saya ingat sehingga kini yang diberikan oleh seorang ketua jabatan pembedahan di Hospital Serdang adalah:

“Don’t waste your life”.

Maka, bertekadlah dan berusahalah untuk pulih. Pengisian rohani juga merupakan unsur yang amat penting dalam usaha untuk mencapai kesembuhan. Apabila kehidupan dah menjadi semakin stabil, mempunyai pekerjaan dan keluarga tersendiri, maka, gunakanlah peluang yang ada untuk membantu insan-insan yang memerlukan, terutama sekali kepada pesakit yang mempunyai penyakit mental yang sama dengan kita.

Bunuh diri merupakan satu komplikasi terburuk boleh berlaku kepada seseorang pesakit, dan kini dikira sebagai satu bentuk kegagalan dalam masyarakat dan healthcare yang tidak boleh diterima lagi.

PS – Kini, 1 per 3 masyarakat mempunyai penyakit mental pada sesuatu masa di dalam kehidupan mereka.

Kredit imej – Sukuroifoundation

Rujukan
https://www.researchamerica.org/…/nimh-director-suicide-rat…

#mddgad #suicideawareness #suicide

Credit: Ilzanno Sharky

FAKTA RAWAK – LAGU PALING POPULAR DI DUNIA

Tahukah anda, lagu yang paling popular dalam dunia, iaitu lagu ‘Happy Birthday’ atau dialihkan ke bahasa Melayu dan pelbagai versi yang lain sebenarnya merupakan lagu yang mempunyai hakcipta terpelihara oleh Warner/Chappell’s bermula tahun 1988.

Hak cipta ini dibeli oleh mereka dengan harga 25 juta USD dan hakcipta tersebut sepatutnya tamat pada tahun 2030 (di EU pada 2017). Warner/Chappell’s mendapat keuntungan daripada segi royalti diantara 5,000 hingga 15,000 USD setiap hari untuk lagu tersebut digunakan di dalam filem, radio dan juga majlis terbuka (mungkin untuk insan yang terkenal sahaja kot).

Hal ini membawa kepada lawsuit di mahkamah oleh Jennifer Nelson pada tahun 2013 kepada Good Morning to You Production, anak syarikat Warner/Chappell’s. Jennifer menang kes tersebut dan selepas daripada itu, lagu ini kini boleh digunakan di mana-mana dengan sesuka hati kita.

Versi awal lagu ini dengan irama yang sama mempunyai lirik ‘Good Morning to You’, dan bukannya ‘Happy Birthday to You’. Lirik dan irama lagu ini ditulis dan dinyanyikan oleh adik beradik yang bernama Patty and Mildred J. Hill pada akhir abad ke-19.

Cuba korang bayangkan kalau kena saman dengan Warner/Chappell’s bila korang nyanyi lagu ini semasa nak menyambut ulangtahun kelahiran kawan-kawan korang. Sudahlah disaman, jawapan untuk persoalan yang paling UTAMA pula masih lagi tidak terjawab iaitu

“Apakah perkara yang kita harus lakukan semasa orang lain menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir kepada kita?”

Baik kita guna versi “Allah selamatkan kamu”. Versi Islamik gitu kan?

Credit: Ilzanno Sharky

Cerita dari Hospital : Mati Itu Pasti

Kejadian ini berlaku semasa saya masih belajar di Universiti Sains Malaysia. Saya masih ingat ketika itu saya berada di tahun 4 pengajian di pusat pengajian sains perubatan, dan hobi saya setiap malam minggu?

Tentulah pergi menimba ilmu ke Jabatan Kecemasan atau emergency department HUSM, kerana di sana, tidak kira anda medical student mahupun nursing atau MA (Medical Assistant) student, kerja pasti ada. Dan daripada kerja anda akan dapat pengalaman, dan daripada pengalaman, anda akan dapat ilmu yang sememangnya akan melekat di otak anda.

ED sentiasa ada kerja; pesakit yang memerlukan plaster of Paris cast kerana patah tangan, pesakit yang perlu diambil darah, pesakit yang memerlukan intravenous drip, pesakit yang memerlukan penyucian luka akibat kemalangan, resuscitation dan lain-lain. Emergency department adalah tempat yang baik untuk menimba ilmu pengetahuan.

Ceritanya bermula apabila seorang pesakit, Pakcik Isa (bukan nama sebenar) dihantar oleh keluarganya dan dia di triage ke zon merah, iaitu zon kritikal.

Di kecemasan terdapat tiga zon, merah iaitu kritikal, kuning iaitu separuh kritikal dan hijau iaitu tidak kritikal. Zon merah cuma ada 3 katil sahaja, di mana jumlah staffnya adalah lebih kurang sama dengan staff yang berada di zon kuning. Jadi anda boleh bayangkan betapa ramainya orang diperlukan untuk merawat pesakit kritikal ini.

Lelaki berumur 68 tahun itu kurus badannya, daripada luaran sahaja sudah nampak tulang rusuknya yang bergerak mengikut alunan pernafasannya yang agak laju. Rambutnya putih, berjanggut tetapi tiada misai, dan berkopiah. Mukanya agak cengkung.

Sebab dia dihantar ke wad kecemasan adalah kerana dia hampir pengsan di rumah. Dia mempunyai penyakit darah tinggi, dan masih merupakan perokok aktif di mana kali terakhir dia menghisap rokok adalah tengah hari hari kejadian tersebut.

Secara jujurnya, sewaktu bergelar pelajar perubatan, kebanyakkan daripada kami nak tahu cerita tentang pesakit atas dasar ingin belajar semata-mata, tiada langsung rasa untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Segalanya dilakukan atas sebab ingin belajar, mendapatkan ilmu sebanyak mungkin, itu sahaja. Merokok atau tidak, sejarah penyakit, cerita detail apa yang berlaku, jjumlah pendapatan isi rumah berapa ringgit, anak berapa orang, semuanya ditanya…

Naluri seseorang pelajar perubatan untuk menyelamatkan nyawa hanya akan ada ketika dia mula bekerja sebagai doktor kelak. Memang itu adalah hakikatnya.

Balik ke cerita asal, pesakit tersebut di triage ke zon merah, dan tekanan darahnya yang rendah, iaitu 90/60mmHg sahaja serta kadar denyutan nadinya yang laju. Saya segera memasukkan branula hijau di kedua-dua tangan pakcik Isa setelah diarahkan oleh house officer di situ.

Salah satu jarum segera di masukkan normal saline oleh nurse di situ, dan sebelah lagi jarum bakal digunakan untuk memasukkan ubat-ubatan. Sekali cucuk sahaja dah masuk, maklumlah pesakit lelaki, kurus, uratnya besar… bak kata orang, kalau gagal nak masukkan branula untuk pesakit macam tu, memang perlu dapatkan temujanjilah dengan pakar mata.

Keadaan pakcik Isa sangat tenang, dan atmosfera di situ walaupun sibuk, masih aman. Ternyatalah itu adalah “calm before the storm”, kerana pakcik Isa tiba-tiba bangun membongkok di atas katil serta memuntahkan darah. Sangat banyak jumlahnya.

Saya segera memberinya plastik kuning untuk muntah, keadaan yang aman damai jadi kelam kabut. MO kecemasan datang, ubat untuk menghentikan darah terus diberi melalui jarum di tangannya.

House officer di situ terus menghubungi bank darah, 4 pint diminta. Normal saline dialirkan sepantas mungkin, dan jarum kedua turut dimasukkan normal saline, iaitu air garam. Hal ini adalah bagi menstabilkan tekanan darahnya.

Darah yang keluar bukanlah darah lama, atau bukanlah coffee-ground vomitus (iaitu darah yang sebahagianya sudah membeku seakan-akan warna bji kopi), sebaliknya frank blood iaitu darah merah terang yang mengalir laju keluar daripada mulutnya.

Pakar Jabatan Kecemasan terus ke Pakcik Isa, bleeding peptic ulcer atau variceal ulcer menjadi diagnosis yang mungkin. Pakcik Isa di’scan’ di bahagian abdomen untuk meng”exclude”kan diagnosis lain, akan tetapi, benda yang ditakuti menjadi kenyataan. Pakcik Isa mempunyai bleeding abdominal aortic aneurysm.

AAA atau abdominal aortic aneurysm adalah penyakit dimana ada pembengkakkan di bahagian abdominal aorta, iaitu salur darah utama yang terletak di bahagian abdomen kita. Antara risikonya adalah mempunyai sejarah darah tinggi, tinggi kolesterol dan risiko utamanya adalah merokok.

Pembengkakkan salur darah ini menjadikan dindingnya lemah, dan pendarahan amat mudah berlaku di dinding yang bengkak. Cuba anda bayangkan, salur darah ini berukuran lebih kurang 2 cm untuk pesakit normal, dan untuk pesakit AAA, pembengkakkan yang berlaku menjadikan saiznya sebesar melebihi 5 cm. Oleh kerana ianya salur darah utama, pendarahan di situ mempunyai kadar kematian yang tersangat tinggi.

Pakar bedah dihubungi, pakcik Isa masih sedar walaupun selepas muntah darah yang agak banyak. Dia hanya baring telentang sahaja, bernafas laju, dan setakat ini, tekanan darahnya masih stabil dengan bantuan cecair normal saline.

Pakcik Isa tidak pernah ke hospital sebelum ini, dia hanya mengetahui dia mempunyai sakit darah tinggi pun kerana dia pernah check di satu ekspo kesihatan dahulu. Tidak pernah terlintas untuk dirinya mendapatkan rawatan atau makan apa-apa ubat-ubatan sebelum itu. Masakan tidak, penyakit darah tinggi ini tiada apa-apa simptom.

Dalam hati saya terdetik kerisauan. Saya khuatir, bimbang inilah kali pertama dan kali terakhir dia ke hospital.

Perbincangan rancak berlaku antara pakar bedah dan pakar kecemasan. Peluang untuk selamat menjalani pembedahan adalah 10%, anak-anak pakcik Isa dipanggil, untuk berbincang mengenai bapa mereka.

Dalam erti kata lain, jika tidak dibedah, dia akan mati malam itu juga. Dan jika dibedah, 9 daripada 10 peluang dia akan mati di meja pembedahan.

Anak-anaknya membuat keputusan untuk tidak membedah kerana risiko yang sangat tinggi, dan bak kata orang, bedah mati, tak bedah pun mati. Anak-anaknya mahukan bapanya pergi dengan tenang. Tidak sanggup melihat bapanya mati di meja pembedahan.

Pakcik Isa muntah lagi, darah merah membasahi bajunya, lencun, serta sehingga menitik2 di atas lantai kecemasan. Tisu saya hulurkan, namun tidak cukup, saya segera ke sinki di Zon kuning untuk mengambil lebih banyak tisu.

Saya urut-urut belakang Pakcik Isa, dia muntah lagi, apron plastik yang saya pakai basah lencun dengan darahnya. Sangat merbahaya pula melihatkan darah yang banyak terkena badan, takut-takut ada penyakit berjangkit. Terus saya tukar apron plastik yang baru.

Pakcik Isa semakin restless, resah dan gelisah. Saya ke tepi untuk memberi laluan anak-anak dan cucu pakcik isa. Pakcik Isa yang tadinya berbaring kini duduk di atas katilnya, nafasnya semakin laju, namun masih berbicara seperti orang biasa.

Dia minta saya air kosong, segera saya mengambilkannya. Sambil saya hulurkan gelas kepadanya, sempat lagi dia berkata

“Minta maaf ya adik doktor, kena muntah pokcik pula”

“Eh, takpe pakcik, tak kisah, biasalah tu”, jawab saya sambil memandang mukanya. Saya melihat dalam-dalam matanya

Hanya Allah yang tahu perasaanya. Perasaan bahawa nyawa akan diambil dalam masa beberapa jam lagi, atau mungkin beberapa minit lagi. Saya lihat sahaja muka Pakcik Isa, dalam hati saya, bukannya perasaan sedih, sebaliknya perasaan takut.

Terbayang saya kalau saya berada di tempatnya. Sungguh menakutkan. Takut membayangkan alam barzakh, alam kubur, perasaan ditarik nyawa oleh malaikat serta membayangkan anak-anak bakal ditinggalkan.

Cuak. Seksa sakaratulmaut, seksa kubur. Takut, amalan di dunia yang sedikit, sembahyang yang tidak cukup, puasa yang belum diganti, dosa sesama manusia, hutang – piutang yang belum dijelaskan.

Ya Allah, takutnya hati ini. Muka saya jadi pucat, jantung jadi sebegitu laju melihat kejadian tersebut. Ya, semasa saya menulis entri ini pun, saya masih merasakan benda yang sama.

Pakcik Isa duduk di atas katil, berbual-bual dengan anak-anaknya di akhir hayat, memberikan kata-kata akhir, wasiat dan apa yang terbuku di dalam hatinya. Tangisan dan kesedihan memenuhi ruangan kubikel yang menempatkan katil pakcik Isa.

Jam 9.42 malam, pakcik Isa tercungap-cungap. Oksigen diberikan, dia mula tidak sedar. Tidak berbicara. Nafasnya semakin dalam, tetapi pendek, ibarat kelemasan. Mulutnya dibasahi darah, mukanya pucat, urat didahinya timbul.

Mulutnya makin kerap menyebut nama Allah. Saya lihat, itulah mungkin saat-saat terakhir yang Allah kurniakan kepadanya. Minta maaf dan keampunan daripada Allah. Taubat.

Tiba-tiba matanya terpandang ke atas. Berkerut-kerut dahinya, ibarat menahan sakit yang amat, Saya jadi takut, namun saya beranikan juga untuk melihat. Berdiri bulu roma saya berada di situ, ibarat merasakan maut bakal menjemput dalam masa beberapa saat lagi.

Tekanan darahnya 40/20 mmHg terlalu rendah. Denyutan nadinya mula perlahan. Beep! Beep! Hanya satu denyutan dalam masa beberapa saat. Alarm daripada mesin mula membuat bunyi bising. Ditutup sahaja oleh staf di situ. Dah diketahui nasibnya, dan diketahui tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi.

Tiba –tiba mukanya berkerut, macam sakit yang amat sangat. 2..3…5 saat…segala-galanya terhenti. Jantungnya berhenti berdegup, tiada lagi pernafasan.

Beeeeep! Bunyi mesin Dynamap dan di skrinya menunjukan satu garisan yang lurus. Kosong, semuanya kosong, tekanan darah 0, denyutan nadinya 0.

Medical officer menyuluh pada anak matanya, dan saya lihat mata hitamnya mengembang. Badannya keras, kaku dan sejuk. Dia diisytihar meninggal dunia jam 9.50 malam.

Jam 9.50 malam itu, tertutup segalanya untuk dia. Setiap langit tertutup buat namanya. Putus segala hubungan dengan dunia. Putus segala amal kebaikan didunia kecuali 3 perkara.

Tiada siapa yang tahu apa yang dirasainya, pendek kata, siapalah saya nak mengadili sama ada dia meninggal dengan cara elok atau tidak. Apa yang pasti, terasa betapa kerdilnya satu makhluk bernama manusia ini. Apabila saat kematian dah tercatat di Luh Mahfuz tiada satu pun makhluk dapat melewatkan atau menangguhkannya lagi.

Itu adalah pengalaman saya kali pertama melihat bagaimana seorang manusia, yang daripada sihat dan normal, sehingga ditarik nyawanya. Takut, sangat menakutkan.

Juga memikirkan, seperti Pakcik Isa pada hari kematiannya, cuba anda bayangkan, bangun pagi seperti biasa, tiba-tiba petang anda hampir pengsan, senja anda di hospital dan malam anda meninggal dunia,

Ya Allah, betapa tidak bersedianya hambamu ini untuk menghadapi kematian. Melangkah dari alam dunia ke alam barzakh, alam yang tidak diketahui dan tidak terjangkau dek akal fikiran untuk membayangkannya.

“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk. Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat.”

Al Fatihah kepada pesakit tersebut, semoga rohya ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman, Amin.

Credit: Ilzanno Sharky

2 TITIK BAHAN KIMIA YANG BOLEH MEMBUNUH

Dr. Karen Wetterhahn, berumur 48 tahun merupakan profesor dari bahagian kimia yang mempunyai kepakaran dalam kajian mengenai kesan toksik daripada bahan kimia terhadap manusia. Beliau merupakan salah seorang daripada segelintir sahaja manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Pada satu hari, beliau terpaksa mendapatkan bantuan kecemasan kerana mengalami gejala hilang keseimbangan, tidak mampu berjalan dengan betul serta tidak boleh bertutur dengan betul yang semakin teruk. Keadaan ini sebenarnya telah bermula beberapa minggu lepas, tetapi hanya menjadi semakin teruk pada hari beliau mendapatkan rawatan.

Semasa pemeriksaan fizikal, dia mengalami dysmetria (hilang keupayaan untuk menganggar jarak), serta hilang koordinasi dan kawalan tehadap badannya sendiri. Selain itu, beliau juga mengalami ataxic gait, iaitu hilang koordinasi untuk berjalan dengan betul, tidak boleh menulis dengan betul (dystaxic handwriting) serta percakapannya kurang jelas (slurred speech).

5 bulan lepas, semasa dalam satu eksperimen melibatkan bahan kimia, beliau secara tidak sengaja menumpahkan lebih kurang 2 titik bahan kimia bernama Dimethylmercury di atas sarung tangan getah yang dipakai. Sejurus kejadian itu, beliau terus membersihkan kawasan tersebut mengikut protokol pembersihan yang disediakan.

Beliau juga perasan, kedua-dua belah tangannya berpeluh akibat memakai sarung tangan getah terlalu lama, dan beliau yakin bahawa tiada sentuhan terhadap bahan tersebut mengenai kulitnya.

Beberapa minggu kemudian, beliau berasa agak pelik, dan seringkali hilang keseimbangan badannya ketika berjalan. Bukan itu sahaja, beliau juga hampir terlibat dengan kemalangan jalanraya, di mana akhirnya dia menyuruh suaminya untuk menghantar dia ke universiti setiap hari. Dalam tanggapan beliau, keadaanya sebegitu kerana terlalu penat dan kurang tidur.

Setelah melakukan pemeriksaan, para doktor menyenaraikan diagnosis keracunan merkuri, setelah mangambil kira kejadian yang berlaku, serta fungsi kognitif yang melibatkan saraf dan otak yang semakin rendah. Diagnosis Neurodegeneration secondary to mercury poisoning dibuat.

Ujian darah menunjukkan beliau mempunyai tahap merkuri melebihi 4000 micrograms per litter. (400 kali lebih tinggi daripada normal). Doktor berasa agak pelik, kerana dalam kes-kes keracunan akibat merkuri, gejalanya sepatutnya semakin elok mengikut masa, tetapi berbeza di dalam keadaan ini di mana keadaan beliau semakin lama semakin kritikal. Tetapi tidak untuk beliau.

Sedikit informasi mengenai dimethylmercury – Dimethylmercury merupakan bahan kimia organo-metalik, yang terdapat dalam bentuk cecair, dan amat mudah untuk meresap masuk ke dalam badan. Molekulnya bersifat lipophilic, iaitu suka kepada bahagian lemak. Apabila bahan ini terdapat di dalam badan, bahagian hati manusia akan menukarkan molekul dimethylmercury kepada methylmercury, iaitu salah satu jenis molekul yang juga lipophilic.

Jadi, dalam kes sebegini, sudah tentu kita mahukan merkuri tersebut dibuang daripada badan pesakit bukan? Untuk membuat perkara sedemikian, para doktor perlu memberi sejenis ubat, bernama Succimer, dimana molekul tersebut akan mengikat methylmercury, seterusnya menukar sifat lipophilic kepada hydrophilic (suka kepada air). Molekul yang hydrophilic akan larut di dalam darah, dan seterusnya, dalam strategi rawatan yang dikenali sebagai chelation ini, molekul tersebut akan disingkirkan melalui buah pinggang

Walau bagaimanapun, setelah diberikan ubat tersebut, keadaan beliau menjadi semakin teruk. Fungsi kognitifnya mulai merosot, dan langsung tidak membalas atau memberi respon terhadap kata-kata suaminya. Ini adalah kerana walaupun ujian darah menunjukkan tahap merkuri di dalam badan beliau semakin rendah, namun kebanyakkan molekul bernama dimethylmercury ini sudahpun meresap ke otaknya.

Hal ini kerana otak mempunyai komposisi 60% lemak, dan molekul yang tidak berjaya diikat dengan succimer akan meresap ke bahagian otak. Mercuri akan merosakkan otak dengan memberikan oxidative stress kepada tisu menyebabkan sel-sel otaknya mulai mati. Bukan itu sahaja, bahagian saraf tunjang, serta saraf yang lain diliputi oleh satu lapisan lemak bernama myelin sheath, yang juga menjadi tempat peresapan molekul methylmercury ini

3 minggu berikutnya, keadaan beliau semakin teruk, di mana beliau gagal memberi apa-apa respon terhadap percakapan, sentuhan dan penglihatan. Refleks pupilnya juga perlahan. Beliau dilihat kadangkala membuka mata secara tiba-tiba, menjerit, menangis serta menggerakkan kedua-dua belah tangannya tanpa sebab. Beliau seseolah terperangkap di dalam badanya sendiri.

Ujian menunjukkan beliau sememangnya terdedah kepada tumpahan dimethylmercury tersebut pada awalnya, di mana setelah dikira, adalah sebanyak 1440mg. Tahukah anda, ikan salmon mempunyai 0.022 part per million merkuri. Untuk mendapatkan jumlah merkuri yang sama dengan beliau, anda perlu makan 65,000 kilogram ikan salmon sekaligus. Banyak kan?

Ujian juga mendapati bahawa jumlah dimethylmercury yang tertumpah di sarung tangan yang beliau pakai hanyalah sebanyak 2 titik, dan mereka juga mendapati bahawa dimethylmercury boleh meresap dan melintasi sarung tangan getah yang dipakainya pada hari kejadian.

Beberapa hari kemudian, beliau menghembuskan nafas terakhir. Autopsi dilakukan, mendapati terdapat banyak merkuri di bahagian otak beliau, di mana kebanyakkannya berada di bahagian frontal lobe, iaitu bahagian otak yang mengawal pergerakkan, occipital lobe, iaitu bahagian otak yang mengawal penglihatan serta temporal lobe, iaitu bahagian yang mengawal pendengaran. Hal Ini selari dengan gejala yang dialaminya.

Dalam dunia moden yang padat dengan informasi berkaitan teknologi dan sains, di Malaysia ini, masih ramai yang ingin mendapatkan jalan mudah untuk kononnya menjadi cantik, walaupun ada beberapa orang yang tahu akan kandungan merkuri yang digunakan dalam produk kecantikan.

Kes yang dialami Dr Karen Wetterhahn ini menunjukkan bahawa walaupun terdedah dengan 2 titik bahan ini, ianya cukup untuk membunuh seorang manusia. Bukan itu sahaja, gejala yang dialami amat menyeksakan serta penderitaan yang dialami amat lama, di mana beliau terperangkap dalam badan yang mengalami kemerosotan sedikit demi sedikit. Adakah risiko untuk cantik berbaloi dengan gejala-gejala yang bakal berlaku sehingga mengorbankan satu nyawa? Fikir-fikirkanlah.

Credit: Ilzanno Sharky

UPACARA MEMBUNUH DIRI BERAMAI-RAMAI

Pada tahun 1950 di Indiana, Amerika Syarikat, seorang lelaki bernama Jim Jones, iaitu seorang rakyat Amerika menubuhkan satu agama baru yang menjadi ikutan ramai bernama The People’s Temple. Setelah dia berjaya mengumpul ramai pengikutnya, pada tahun 1963, dia menyatakan bahawa pada bulan Julai 1967, seluruh bumi akan terkena letupan nuklear, di mana alasan demikian diwujudkan untuk mengalihkan para pengikutnya ke San Fransisco, California.

Jim Jones (gambar) mempunyai personaliti yang mampu membuatkan orang ramai tertarik dengan ucapan-ucapan yang diberikan yang mana kebanyakkan pengikutnya adalah dari kalangan kaum minoriti di Amerika Syarikat. Dia memperjuangkan kesaksamaan kaum serta sanggup berkorban demi mempertahankan kaum-kaum yang ditindas serta orang kurang upaya.

Dalam usahanya untuk membuktikan dia benar-benar tidak mempunyai sifat perkauman, maka dia mengambil beberapa orang anak angkat dari pelbagai bangsa yang bukan berkulit putih antaranya dari bangsa Korea (Korean-American), American Indian dan juga African-American. Konsep ‘Rainbow Family’ menjadi agenda utamanya untuk meraih lebih ramai pengikut, di mana dia menjadi orang putih pertama untuk mengambil anak angkat berbangsa African American.

Di balik seorang yang beragama dan taat kepada tuhannya, realitinya tidak seindah itu. Kebanyakkan perkara sebenar mengenai dirinya yang dihebohkan selepas kejadian pada tahun 1978 menceritakan sikapnya yang sebenar iaitu dia sering melakukan seks bersama pelacur, seks bersama lelaki lain, dan dia juga mengalami masalah ketagihan dadah dan sanggup menipu demi meraih wang ringgit untuk agendanya yang tersendiri.

Caranya meraih wang adalah dengan teknik yang digelar sebagai ‘Faith healing’ di mana dia memberitahu sesiapa pengikutnya yang sakit serta mempunyai masalah perubatan boleh disembuhkan olehnya dengan kata-kata sambil berdoa dan memegang kepala mana-mana pesakit yang sememangnya merupakan pengikutnya yang tegar.

Dia menjaja idea untuk menubuhkan satu bandar yang khas untuk dirinya dan pengikut-pengikutnya. Eden atau konsep utopia, di mana para pengikutnya boleh hidup dengan harmoni tanpa ada apa-apa keganasan, perkauman dan penindasan. Lokasi yang dipilih adalah di Guyana, sebuah negara yang terletak di Amerika Selatan. Nama asal bandar ini adalah ‘People’s Temple Agricultural Project’, dan kemudiannya ditukarkan namanya kepada Jonestown.

Lebih kurang 1000 orang penganut termasuk dirinya berpindah ke Jonestown, sebuah bandar yang diwar-warkan sebagai satu tempat paling suci untuk pengikutnya yang dianggap paling suci di antara manusia lain, Tempat ini dicanangkan oleh Jim Jones sendiri sebagai syurga, yang mana rata-rata pengikutnya percaya kepadanya.

Namun, apabila mereka tiba di Jonestown, realitinya berbeza. Jonestown dijadikan tempat sebagai satu kurungan, yang mana Jim meletakkan undang-undang dan polisi untuk tidak membenarkan sesiapa untuk keluar daripada situ. Sesiapa yang keluar secara senyap-senyap dianggap seorang pembelot, dan akan ditembak mati.

Salah seorang pengikutnya, yang bernama Tim Stoen berjaya melarikan diri, setelah isterinya, Grace mengadakan hubungan seks bersama Jim Jones ini sendiri sehingga dia mengandung dan melahirkan seorang anak bernama John. Walaupun akhirnya Grace dan Tim berjaya melarikan diri, di mana mereka kemudiannya bercerai selepas itu, Tim masih inginkan anaknya yang bernama John, yang secara terpaksa dikurung oleh Jim Jones dan pengikutnya di Jonestown.

Terdesak, Tim menubuhkan satu kumpulan bernama Concerned Relatives, di mana mereka menggesa supaya Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan kepada Jim Jones atas pelbagai isu di sana. Para pengikut Jim ini sudah mulai goyah apabila tak semena-mena dia mengaku dirinya sebagai tuhan, dan ‘ayah’ kepada semua pengikutnya. Selain itu, dia juga mengalami ketagihan dadah yang teruk di mana dalam negara Guyana ini, menghidap dadah bukanlah satu kesalahan. Jim menjadi paranoid kesan daripada pengambilan dadah, yang mana membuatkan dirinya bertindak ganas secara tiba-tiba.

Pada bulan November, 1978, seorang congressman bernama Leo Ryan (gambar) terbang ke Guyana daripada Amerika Syarikat untuk menyiasat apakah yang sebenarnya berlaku di Jonestown ini. Bersamanya adalah beberapa orang wartawan dan jurugambar daripada pelbagai syarikat media televisyen yang turut hadir demi membuat satu dokumentari mengenai Jonestown ini.

Kedatangannya tidak disukai oleh Jim Jones, tetapi dia tidak berbuat apa-apa terhadap mereka pada awalnya. Setelah Leo Ryan ini berjumpa dengan semua pengikut Jim Jones, seramai 15 orang daripada penganutnya ingin keluar daripada bandar Jonestown kerana mereka tidak tahan terkurung serta mempunya risiko dicabul oleh Jim Jones ini sendiri.

Pautan dokumentari: https://www.youtube.com/watch?v=lJSv0gDPVLA

Setelah mereka bersedia untuk berlepas di lapangan terbang Port Kaituma, tidak semena-mena mereka dihadiri oleh pengawal bersenjata Jim Jones yang digelar sebagai Red Brigade. Mereka melepaskan beberapa das tembakan, membunuh congressman, serta 4 orang lain yang rata-ratanya adalah kru daripada syarikat NBC.

Pada hari yang sama, Jim Jones menghimpunkan kesemua pengikutnya di mana dia akan menjalankan upacara yang digelar sebagai Revolutionary Suicide. Dia menjanjikan syurga buat para pengikutnya yang turut serta dalam ritual itu. Dia meyakinkan pengikutnya dengan menjaja cerita bahawa Amerika Syarikat akan menghantar para-troopers mereka dan membunuh semua pengikutnya. Dia mengatakan lebih baik mati dengan cara membunuh diri kerana sekurang-kurangnya dapat ke syurga bersamanya.

304 orang kanak-kanak dan bayi dibunuh terlebih dahulu dengan memberi mereka air berperisa (Kool-Aid) yang dicampur dengan racun bernama cyanide. 605 orang dewasa kemudiannya minum air tersebut, menjadikan jumlah kematian dalam ritual ini seramai 909 orang. Apa yang mengerikan adalah bukan semua orang mati dengan cara membunuh diri, ada beberapa orang yang melawan keputusan untuk membunuh diri ini, tetapi malangnya ada antara mereka yang mati akibat diberi racun melalui intravena, ada yang mati akibat ditembak dan lebih menyedihkan ada yang mati akibat dicekik oleh penganut Jim Jones yang fanatik ini.

Jim Jones kemudiannya membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri. Jumlah mangsa yang mati dalam upacara ini menjadikannya sebagai satu peristiwa yang membunuh paling ramai warga Amerika Syarikat (walaupun mereka berada di Amerika Selatan).

Daripada mengikuti kisah-kisah sebegini, kita berjaya memahami bahawa tidak susah untuk mendapatkan sokongan daripada manusia lain asalkan seseorang itu tampak yakin, berkarisma serta pandai bercakap. Tidak dinafikan juga bahawa seorang manusia seperti Jim Jones ini tapak mempunyai ciri-ciri psikotik, iaitu dia mempunyai gejala Grandiose Delusion (merasakan dirinya tuhan, atau sesuatu yang lebih hebat daripada manusia lain), paranoid, sadist dan psychopath.

Hal sebegini boleh terjadi sekiranya seseorang itu mengambil dadah yang boleh merosakkan otak serta meletakkan dirinya berada dalam khayalan (hallucination) dan delusion.
Kita boleh lihat sendiri yang pada awalnya, dia bersikap baik serta mempunyai idea yang mana boleh melindungi etnik-etnik minoriti daripada ditindas. Namun, kita boleh lihat setelah dia berjaya mendapatkan ramai pengikut, dia mulai untuk mengambil dadah serta mengadakan hubungan seks kepada tak kira lelaki atau wanita bagi memenuhi kepuasan dirinya yang menjadi tidak terkawal.

Apapun, di Malaysia ini, muncul juga seorang dua yang bersikap lebih kurang sama dengannya antaranya adalah dengan memberitahu dia seorang nabi, seorang rasul mahupun seseorang yang mempunyai kerajaan di langit. Kita sebagai masyarakat moden perlu peka akan tindak-tanduk seseorang serta melaporkan dengan kadar segera kepada pihak yang bertanggung jawab andai kata kejadian seumpama ini berlaku.

Jim Jones

 

Lokasi Georgetown di negara Guyana

 

Papan Tanda Selamat Datang Ke Jonestown

 

Aftermath – selepas kejadian pembunuhan diri secara sukarela dan paksarela

 

Imej Tragis menunjukkan kanak-kanak juga terlibat dalam kejadian gila ini

Credit: Ilzanno Sharky

MEDICAL FACT 1

Tahukah anda, mengapakah kapten lanun seperti yang dibayangkan oleh banyak fiksyen dan penulisan mengenainya memakai penutup mata? Perbuatannya itu sebenarnya adalah untuk membolehkan dia cepat menyesuaikan dirinya daripada segi penglihatan dikala waktu malam mula menjelma.

Adakah ini sebenarnya satu mitos? Dalam rancangan Mythbuster, mereka meletakkan keputusan ujian ini sebagai plausible. Tetapi, daripada segi sains, adakah teori ini benar? Jawapannya sama sahaja, iaitu boleh dikatakan benar.

Dalam mata kita terdapat struktur sel yang mengesan kehadiran cahaya yang dipanggil sebagai retina. Terdapat 2 jenis untuk deria penglihatan ini, yang kita panggil sebagai photoreceptor iaitu rod dan cone. Struktur rod ini membolehkan kita melihat dalam kegelapan kerana ianya 1000 kali ganda lebih sensitif terhadap kehadiran cahaya berbanding dengan cone. Cone sebebnarnya berfungsi untuk kita melihat warna dalam keadaan terang.

Walau bagaimanapun, rods memakan masa yang agak panjang untuk ianya digunakan semula berbanding dengan cones. Penggunaan semula ini kita namakan sebagai recovery times. Disebabkan itu, manusia memerlukan masa yang sedikit panjang untuk menyesuaikan diri bagi membolehkan seseorang itu melihat di dalam gelap. Jika anda perasan, di dalam kegelapan tanpa ada cahaya buatan manusia, kita hanya boleh melihat dalam warna hitm putih sahaja. Inilah keadaan di mana sel rods ini digunakan sepenuhnya (kecuali jika di dalam kegelapan itu ada satu sumber cahaya yang bewarna – cahya tersebut menggunakan cones untuk memprosesnya).

Jadi, untuk mempercepatkan ‘recovery times’ bagi seorang lanun kerana dia banyak kerja untuk merompak dan membuat navigasi kapalnya, maka, itulah sebabnya dia memakai penutup mata. Ingat, lanun ini adalah merujuk kepada lanun yang benar-benar lanun, bukan lanun yang ,encetak rompak DVD ya.

PS – Search #medicafact untuk membaca fakta-fakta pendek perubatan yang lain

 

Credit: Illzano Sharky

Random

How would you consider yourselves?

Alive or just existing?

IKLAN PERTAMA DI DUNIA YANG MUNCUL DI KACA TV

Iklan televisyen ialah sebuah rancangan televisyen yang dibuat dan dibayar oleh sesebuah organisasi untuk menyampaikan mesej, biasanya untuk memasarkan produk atau perkhidmatan.

Iklan televisyen pertama disiarkan di Amerika Syarikat pada tarikh 1 Julai 1941. Pencipta jam Bulova telah membayar $9 dolar untuk iklan di stesen WNBT, New York sebelum perlawanan besbol antara Brooklyn Dodgers dan Philadelphia Phillies. Iklan selama 20 saat ini memaparkan gambar jam yang melapisi peta Amerika Syarikat, disertai dengan suara “Amerika berjalan dengan masa Bulova.”

 

Credit: Jasson King Fans Official

Amelia Earhart, Hilang Selepas Pergi Mengelilingi Dunia

Amelia Mary Earhart (Sumber:NBC News)

Amelia Earhart dilahirkan pada 24 Julai 1897 di Atchison, Kansas, Amerika Syarikat. Pada masa itu, memang banyak pilot wanita tetapi mengapa nama Amelia Earheart yang paling menonjol? Ini kerana, prestasi Amelia Earheart yang luar biasa dimana dialah pilot wanita pertama yang berjaya terbang solo melintasi Samudera Atlantik.

Amelia Earheart mendapat lesen penerbang wanita pada 15 Mei 1923 dari Fédération Internationale Aéronautique (FAI), tetapi yang membuat namanya terkenal adalah pada tahun 1928 apabila beliau berhasil melakukan penerbangan melintasi Samudera Atlantik yang ditaja oleh pengusaha penerbitan buku bernama George Putnam.

 

Amelia bersama Gordon dan Stultz (Sumber:Raptis Rare Books)

Pada masa itu, Amelia Earheart sebenarnya tidak melakukan terbang solo (sendirian) tetapi beliau bertugas sebagai Kapten pesawat bersama dengan pilot Slim Gordon dan juruteknik, Bill Stultz.

Hasil kejayaan itu, Amelia Earheart banyak mendapat tawaran sebagai bintang iklan sehingga menghasilkan wang yang cukup banyak untuk penajanya George Putnam dan untuk Amelia sendiri. Beliau telah menerima United States Distinguished Flying Cross untuk pencapaian ini.

 

The Ninety-Nines (Sumber: Pioneers of Flight)

Setelah namanya terkenal, Amelia Earheart semakin bergerak aktif dalam dunia penerbangan. Beliau menulis buku terlaris tentang pengalaman terbangnya dan berperanan dalam pembentukan The Ninety-Nines(namanya Ninety-Nines kerana anggota pertamanya berjumlah 99 penerbang wanita) iaitu sebuah organisasi untuk juruterbang wanita.

 

Amelia bersama George Putnam (Sumber: Refinery29)

Pada tahun 1931, beliau berkahwin dengan George Putnam, iaitu penajanya sendiri. Walaupun sudah menjadi seorang yang sangat terkenal, Amelia Earheart masih belum puas. Beliau merasakan dirinya hanya sebagai “penumpang” ketika berhasil melintasi Samudera Atlantik. Amelia Earheart tetap ingin melintasi Samudera Atlantik secara seorang diri.

Akhirnya pada 20 Mei 1933 dengan bantuan suaminya, Amelia berangkat untuk terbang secara sendirian melintasi Samudera Atlantik.
Amelia berangkat dari New Foundland Amerika kemudian setelah terbang tanpa henti selama 14 jam 56 minit, Amelia berjaya sampai di Ireland.

Kali ini Amelia Earheart menjadi penerbang wanita pertama yang berjaya terbang solo melintasi Samudera Atlantik. Selain itu, Amelia juga menjadi orang kedua yang berjaya terbang solo melintasi Samudera Atlantik. Oleh kerana itu, Amelia Earheart digelar sebagai “Miss Lindy”.

 

Gene Vidal berdiri nombor tiga dari kiri dan Amelia duduk dihadapan (Sumber: Wikipedia)

Prestasi yang memukau dan kecantikan yang beliau miliki, telah menarik perhatian seorang pengajar penerbang dari West Point (Akademi tentera Amerika) bernama Gene Vidal. Lalu
terjadilah hubungan cinta terlarang antara Amelia dan Gene Vidal sebelum akhirnya diketahui George Putnam yang terjumpa puisi cinta Amelia Earheart kepada Gene Vidal. Masalah rumah tangga Amelia itu pulih apabila Amelia memilih kembali kepada George Putnam dan meninggalkan Gene Vidal.

 

Gambar tahun 1937 semasa Amelia bersama Fred Noonan di Los Angeles sebelum berangkat mengelilingi dunia (Sumber: The Post Star)

Pada 17 March 1937, Amelia ingin meningkatkan prestasinya dengan terbang mengelilingi dunia. Amelia berangkat dari California untuk mengelilingi dunia dengan menaiki pesawat yang diberi nama Electra. Mengikut perancangan, lokasi akhir Amelia
adalah di negara Australia. Oleh kerana perjalanan itu dinilai sangat berbahaya, Amelia Earheart tidak terbang seorang diri tetapi ditemani seorang navigator bernama Fred Noonan.

 

Pulau Howland dari angkasa

Pada 2 July 1937, detik hitam mula terjadi apabila Amelia bersama Fred Noonan yang ketika itu dari Papua New Guinea
dan akan mendarat di Pulau Howland yang terletak di Samudera Pasifik, mulai sesat dan mereka tidak tahu dimana Pulau Howland itu berada.

Mereka berdua hanya mampu berpusing-pusing di Samudera Pasifik yang sangat luas itu tanpa menemukan satu pulau pun dan dalam waktu yang sama persediaan bahan bakar mulai berkurang.

 

Pulau Howland

Signal radio pesawat Electra sempat ditangkap oleh kapal peronda pantai Amerika yang bernama USS Itasca. Amelia sempat meminta bantuan daripada USS Itasca tetapi gagal. USS Itasca akhirnya kehilangan signal dari Pesawat Electra. Pemerintah Amerika sudah berusaha melakukan pencarian secara besar-besaran tetapi Amelia Earheart, Fred Noonan bersama pesawat Electra masih tidak dapat dijumpai.

 

Lautan Pasifik

Oleh kerana Amelia Earheart dan Fred Noonan masih tidak dijumpai, pada 5 Januari 1939, pemerintah Amerika Syarikat mengisytiharkan mereka berdua telah mati di Samudera Pasifik.

Credit: Jasson King Fans Official